SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

15 Disember 2008

BEKU SEMENTARA PENGAMBILAN PEKERJA ASING SEDANG DIKAJI

Utusan Malaysia
15/12/2008 4:59pm


KUALA LUMPUR 15 Dis. — Kementerian Sumber Manusia sedang menimbang untuk membekukan sementara pengambilan pekerja asing, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim hari ini.
Beliau memberitahu Bernama tindakan itu adalah satu dari pilihan yang sedang diteliti oleh kementerian bagi membantu rakyat tempatan yang diketepikan peluang mendapat pekerjaan.
Sehingga bulan lepas, sejumlah 28,000 rakyat Malaysia yang menganggur telah berdaftar dengan Jabatan Tenaga Rakyat dan setakat ini jabatan itu dapat memberikan peluang pekerjaan kepada 6,000 orang daripada mereka.
Pada masa ini, terdapat 2.1 juta pekerja asing di Malaysia yang bersamaan dengan 20 peratus dari jumlah tenaga kerja di negara ini.
Baru-baru ini, ada laporan menyebut 2,000 hingga 3,000 penganggur berdaftar setiap bulan dengan kementerian itu.
Keadaan itu dijangka meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia tahun depan.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 550,000 pekerja sektor swasta dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menjadi payung bagi 1.2 juta kakitangan awam, mengalu-alukan langkah pembekuan itu dan menyifatkannya sebagai “langkah logik bagi melindungi pekerja tempatan”. Naib Presiden MTUC, A.Balasubramaniam berkata pada masa ini terdapat lebihan pekerja asing di negara ini dan kini tiba masanya bagi mengurangkan jumlah mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
Beliau mencadangkan supaya pekerja imigran yang telah menamatkan kontrak mereka supaya dihantar pulang ke negara masing-masing supaya tempat mereka dapat diisi rakyat tempatan.
Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zin berkata walaupun kakitangan awam tidak terjejas dengan kebanjiran pekerja asing, tetapi ia merupakan trend yang membimbangkan kerana ia bukan sahaja menafikan peluang kerja rakyat tempatan tetapi kehadiran mereka menimbulkan masalah sosial. - Bernama

Tiada ulasan: