SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 Disember 2008

CUTI SAKIT: MAJIKAN BOLEH KESAN PEKERJA TIPU

Utusan Malaysia
12/12/2008

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kementerian Sumber Manusia mengesyorkan supaya semua majikan sama ada di sektor awam atau swasta menggunakan pendekatan proaktif dalam usaha menangani sikap pekerja yang tidak jujur tentang cuti sakit.
Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, walaupun masalah ini tidak begitu meruncing, namun ia boleh menjejaskan tahap produktiviti negara sekiranya tidak dibendung.
Beliau berkata, dalam hal ini, majikan biasanya dapat mengesan mana-mana kakitangannya yang tidak jujur menerusi dokumen cuti sakit yang mencurigakan.
''Perbuatan kakitangan yang tidak jujur biasanya boleh dikesan, bagaimanapun majikan juga perlu profesional dalam menangani kes begini.
''Untuk menanganinya, saya syorkan supaya mereka guna pendekatan proaktif seperti memberi nasihat atau khidmat kaunseling kepada kakitangan terbabit atau terus merujuk kepada pusat perubatan yang terlibat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Kelly Services melaporkan sebanyak 27 peratus daripada tiga perempat pekerja Malaysia yang mengambil cuti sakit pada tahun lalu didapati tidak jujur dalam tindakan mereka itu.
Pengurus Besar Kelly Services (M) Sdn. Bhd., Melissa Norman berkata, pekerja-pekerja itu sebenarnya tidak sakit tetapi memperoleh cuti sakit.
Menurutnya, hampir 48 peratus lagi pekerja menyatakan bahawa mereka yang benar-benar sakit dan diberi cuti sakit pula berasa seolah-olah 'dipersalahkan' oleh majikan kerana bercuti.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Omar Osman berkata, kegiatan licik kakitangan yang tidak jujur lazimnya boleh dikesan melalui kadar kekerapan cuti sakit yang diambil termasuk jumlah hari yang tidak munasabah.
''Contohnya, pekerja terbabit mendakwa menerima cuti sakit sehingga lima hari tetapi apabila diselidik, cuti yang diterima tidak setimpal dengan sakit yang dialami, itu tidak logik.
''Ini kerana lazimnya doktor atau pakar perubatan tidak akan memberikan cuti sakit melebihi dua hari kepada mana-mana pesakit yang mengalami gangguan kesihatan yang tidak serius,'' katanya.

Tiada ulasan: