SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Mei 2021

Bincang teguran kakitangan awam malas secara bersemuka, CUEPACS mahu isu diberi perhatian penuh

 FMT
29/5/2021


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan teguran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tentang kakitangan lewa, malas, dan hanya mengejar kenaikan pangkat dibincangkan secara bersemuka.

Presiden Adnan Mat melihat teguran Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu secara positif dan mahu ia diberi perhatian sepenuhnya.

“CUEPACS sama sekali tidak akan pertahan penjawat awam yang mengabaikan tanggungjawab – sama ada pemalas, tidak berintegriti atau menerima rasuah – malah menggalakkan mereka ini diambil tindakan sekiranya kelakuan itu benar berlaku,” katanya kepada FMT.


CUEPACS bersama JPA juga bersedia mengenalpasti sektor perkhidmatan awam yang perlu dan boleh digerakkan untuk mencapai hala tuju “yang dihasratkan kerajaan,” tambahnya.

Adnan bagaimanapun berkata tidak semua penjawat awam bermasalah kerana di sebalik teguran itu, rakyat tetap boleh mendapatkan perkhidmatan kerajaan seperti biasa, ekonomi negara tidak terjejas dengan begitu teruk sekali, serta jaminan keselamatan, ketenteraman, kesihatan dan bekalan keperluan asas masih lagi dapat dinikmati rakyat.

“Sekiranya semua penjawat awam melaksanakan tugasan secara sambil lewa, sudah tentu sistem penyampaian perkhidmatan awam ketika ini tidak sampai kepada rakyat dan memberi kesan yang lebih teruk kepada ekonomi,” katanya.

Semalam, Khairul menempelak sikap segelintir kakitangan kerajaan yang melaksanakan tugas diamanahkan secara sambil lewa.

Khairul berkata, ramai penjawat awam dilihat tidak membantu kerajaan untuk menjana serta merancakkan ekonomi negara, sebaliknya hanya mengharapkan kenaikan pangkat lebih tinggi.

Beliau berkata, penjawat awam seharusnya “menurunkan ego” masing-masing dan bersama-sama dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Tiada ulasan: