SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

15 Julai 2021

Cuepacs gesa kerajaan fokus semua perjawatan kontrak

Sinar Harian
15 Julai 2021


KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada menyelesaikan isu perjawatan secara kontrak di semua kementerian.

Presidennya, Adnan Mat berkata, selain pegawai kesihatan kontrak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat puluhan ribu lagi perjawatan di KKM dan kementerian lain yang masih berstatus kontrak serta menunggu masa untuk ditamatkan.

Faktor kos serta kekangan kewangan dihadapi kerajaan tidak sepatutnya menghalang usaha menyerap semua petugas kepada status tetap kerana perjawatan itu menjadi keperluan ketika ini dan akan datang.

Di KKM sendiri terdapat perjawatan kritikal lain yang masih berstatus kontrak seperti doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran dan lain-lain.

"Tanpa sokongan daripada pasukan (petugas berstatus kontrak) ini, sudah berlaku ketidakseimbangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan awam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa berkata, rayuan pegawai kesihatan kontrak untuk diserapkan terus ke dalam perkhidmatan awam dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Mengulas lanjut, Adnan menegaskan kerajaan seharusnya tidak terikat dengan waran perjawatan yang lama dalam mengisi perjawatan perkhidmatan awam kerana ia sepatutnya boleh disesuaikan mengikut situasi semasa negara.

Katanya, tempoh ujian sebenar kerajaan adalah sejauh mana kerajaan mampu menjaga kebajikan pekerja dan rakyat.

"Dalam situasi semasa negara ketika ini, kerajaan tidak boleh terlalu berkira dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Selain itu, Adnan berkata, kesatuan itu difahamkan terdapat kira-kira 1,200 pegawai pemantau harga di sebuah kementerian akan ditamatkan kontrak mereka pada penghujung tahun ini. - Bernama


Tiada ulasan: