SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

18 Julai 2021

Cuepacs kecam GKA Malaysia

 Utusan Malaysia
18 Julai 2021


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan gerakan yang kononnya mewakili kumpulan penjawat awam mendesak supaya Yang di-Pertuan Agong merehatkan tugasan Perdana Menteri dan Ahli-Ahli Jemaah Menteri serta mewujudkan caretaker goverment yang diterajui Ketua Setiausaha Negara. 

Presidennya, Adnan Mat menyifatkan perkara itu adalah tidak bertanggungjawab kerana menggunakan nama dan cuba mengheret penjawat awam bagi mencapai tujuan tertentu sehingga boleh mencetuskan kegelisahan awam. 

Katanya, kenyataan daripada akaun Facebook ‘Gerakan Kakitangan Awam Malaysia – GKA Malaysia’ sama sekali tidak mewakili suara kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara.

“Sebagai penjawat awam, kami tetap berpegang teguh kepada kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan. 

“Mewujudkan caretaker goverment seperti yang disarankan merupakan satu langkah sukar untuk dilaksanakan dan tidak mampu menyelesaikan masalah. 

“Negara sejak sekian lama mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

“Negara juga sedang giat melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara. Sebarang usaha yang boleh mengganggu kejayaan program itu hanya mengheret negara dalam situasi yang tidak menentu sekali gus memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

GKA Malaysia dalam laman Facebooknya kelmarin mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong ‘merehatkan’ tugasan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet dan semua aktiviti politik dalam negara untuk sementara waktu.

Menurut Adnan, pihaknya berharap pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyiasat pemilik atau pengendali sebenar akaun itu yang menggunakan nama Gerakan Kakitangan Awam Malaysia. 

Katanya, tindakan tegas dan berat perlu diambil oleh individu yang terlibat bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam. 

“Orang ramai juga diminta tidak berkongsi atau menyebarkan kenyataan tersebut sama ada di media sosial atau medium perhubungan lain supaya tidak mengelirukan masyarakat. 

“Harus diingatkan, tugas dan fokus penjawat awam hanya tertumpu kepada khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada raja, negara, rakyat dan kerajaan yang memerintah,” katanya. 

Tambah beliau, pihaknya juga berharap dan menasihatkan mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan menggunakan nama penjawat awam untuk tujuan politik atau pun mencetuskan perbalahan. 

“Cuepacs turut menyeru supaya semua ahli politik baik di pihak kerajaan atau pembangkang dapat bersama bersatu hati dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang berlaku di negara kita agar wabak ini dapat dibendung dan kebajikan rakyat dapat dibela. 

“Sebarang usaha untuk mengganggu gugat keamanan dan perebutan kuasa pada masa Covid-19 sedang melanda dan rakyat sedang sengsara perlulah dielakkan buat masa ini,” katanya – UTUSAN ONLINE

 

Tiada ulasan: