SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

05 Julai 2021

LPPSA wajar beri moratorium penjawat awam- Cuepacs

 Utusan Malaysia
4 Julai 2021


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam seperti mana yang dilaksanakan institusi kewangan di bawah selian Bank Negara.

Presidennya, Adnan Mat, berkata alasan bahawa penjawat awam dan pesara tetap menerima gaji serta pencen penuh bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk membayar pinjaman LPPSA tidak lagi relevan digunakan untuk menolak pemberian moratorium.

“Konteks yang cuba disampaikan oleh bekas menteri tersebut tidak begitu tepat kerana menyentuh penjawat awam sebagai individu dan bukannya sebagai isi rumah. 

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) , Tan Sri Rafidah Aziz semalam yang mempersoalkan alasan permohonan penangguhan pembayaran balik pinjaman perumahan yang diambil oleh penjawat awam kerana tidak melihat perkara itu sebagai satu keperluan untuk memberi bantuan kewangan kepada orang yang menerima pendapatan tetap.

Adnan mengakui dari sudut individu, penjawat awam sememangnya tidak terkesan daripada segi pendapatan. 

“Bagaimanapun daripada sudut isi rumah,  hampir 50 peratus pasangan tidak bekerja di sektor kerajaan dan turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Adnan berkata, kebanyakan penjawat awam memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.

Jelasnya, jika mereka tidak berbuat demikian, sudah tentu pembiayaan terbabit sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.

Beliau berkata, jika LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, penjawat awam yang terkesan akan mempunyai lebihan pendapatan, yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga dalam kesusahan.

“Cuepacs merasakan LPPSA tidak wajar menolak pemberian moratorium dengan menggunakan alasan gaji penjawat awam dan pencen pesara kerajaan masih lagi dibayar penuh,” katanya.

Justeru, Cuepacs sekali lagi menggesa kerajaan dan LPPSA mempertimbangkan secara serius terhadap keperluan menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman perumahan untuk penjawat awam sama seperti bank swasta yang tidak dikawal oleh kerajaan secara langsung. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: