SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 September 2021

Jangan libatkan penjawat awam dengan politik: Cuepacs Artikel Penuh

Sinat Harian
11/9/2021


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap penjawat awam tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung mereka adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing.


Presidennya, Adnan Mat berkata, sebagaimana larangan penjawat awam untuk tidak mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, perkara tersebut perlu dihormati pemimpin politik dengan tidak mengaitkan golongan itu dengan sebarang pertikaian politik.

“Penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional serta neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Tindakan mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik hanya memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu sesi webinar pada Khamis yang membuat kesimpulan mengenai pemikiran politik penjawat awam tanpa dapatan atau kajian kukuh bagi membuktikan dakwaan beliau.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.

Katanya, sebagai jentera kerajaan, fokus mereka adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa.

“Pada masa sama, Cuepacs turut meminta seluruh penjawat awam untuk kekal fokus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara kembali di landasan yang terbaik,” jelasnya.