SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Jun 2008

HAPUSKAN CUKAI PERKHIDMATAN, KERAJAAN DI RESTORAN

Oleh AU YEONG HOW
Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia
10/6/2008

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kerajaan disaran menghapuskan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas kedai makan dan restoran.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Mustafar Maarof berkata, kedua-dua cukai itu membebankan rakyat.
Ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata, dalam keadaan harga minyak yang melambung sekarang, rakyat menanggung kos sara hidup yang tinggi dan pengenaan cukai tersebut menambahkan lagi beban mereka.
“Kedua-dua cukai perkhidmatan dan kerajaan itu jika dicampur berjumlah 10 peratus dan ia menyebabkan harga makanan di restoran mahal sehingga memberi kesan terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Mustafar memberikan contoh, makanan yang berharga RM45 di restoran akan dikenakan cukai sebanyak RM4.50 iaitu 10 peratus menyebabkan pengguna terpaksa membayar RM49.50.
Tegasnya: “Kadar cukai itu agak membebankan.”
Beliau mempersoalkan adakah cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan yang dibayar oleh pengguna itu sampai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengadakan dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dengan kesatuan sekerja bagi membincangkan penyelesaian terbaik dalam menghadapi kenaikan harga barang-barang keperluan.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman pula mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan pengenaan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan ke atas kedai makan dan restoran memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.
“Kerajaan boleh menimbangkan semula pelaksanaan cukai tersebut apabila ekonomi negara kembali pulih,” katanya.
Pada 4 Jun lalu, kerajaan telah meningkatkan perolehan jualan tahunan restoran di luar hotel yang dikenakan cukai perkhidmatan.
Dalam usaha untuk meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga bahan api, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan perolehan jualan tahunan restoran itu ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta
.

09 Jun 2008

K-TANGAN AWAM DIGESA BIJAK URUS BELANJA HARIAN

Petikan dari New Sabah Times
9th June, 2008


KOTA KINABALU: Kakitangan sektor awam di negeri ini digesa supaya bijak dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka ekoran kenaikan harga petrol dan diesel di negara ini
Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pe-kerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Cawangan Sa-bah, Pengiran Anak Pengiran Mubin, berkata pihaknya sedar bahawa dengan kenaikan harga petrol dan diesel itu anggota perkhidmatan awam terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk perbelanjaan harian mereka.
“Ini terutamanya kos membeli minyak kenderaan untuk mereka berulang alik daripada kediaman ke tempat kerja … malah ramai kakitangan awam yang tinggal jauh daripada tempat mereka bekerja dan ini sudah tentu akan menghadapi bebanan tambahan,”kataya di sini, kelmarin.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meng-umumkan pakej penstrukturan semula subsidi membabitkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70 sen, manakala harga diesel dinaikkan RM1 seliter daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.
Beliau berkata, ramai kakitangan sektor awam tinggal melebihi 30 kilometer daripada tempat kerja me-reka … kalau sebelum ini kos minyak kenderaan mereka antara RM300 hingga RM400 sebulan kini kos itu sudah meningkat antara RM500 hingga RM600 sebulan.
Bagimanapun, beliau berharap kakitangan awam di negeri ini menerima hakikat kenaikan harga petrol dan diesel itu seperti yang dijelaskan kerajaan ekoran kesan daripada ke-naikan harga minyak di pasaran dunia.
“Cuepacs Sabah beerharap jangan pula disebabkan kenaikan harga bahan api itu ada kakitangan awam di negeri ini melupakan tanggungjawab mereka dengan tidak hadir bertugas … tanggungjawab perlu dilaksanakan seperti biasa,” katanya.
Pengiran Anak juga berkata, jika perlu untuk menjimatkan kos membeli minyak yang tinggi, kakitangan awam boleh menggunakan kaedah berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja.
Beliau juga berkata, Cuepacs Sabah juga sedang mencari jalan terbaik untuk mengurangkan bebaban kakitangan sektor awam di negeri ini dan akan memberi cadangan kepada kerajaan untuk membentuk sektor awam terutamanya berkaitan dengan elaun yang perlu diberikan kepada mereka.
Sehubungan itu, beliau juga berharap kakitangan awam di negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan tindakan pihak-pihak tertentu terutamanya menyertai perhimpunan ha-ram bagi membantah kenaikan harga minyak itu.
“Kita ada saluran untuk mencari penyelesaian terbaik dan kerajaan tentunya akan mendengar apa yang kita suarakan itu jika ianya untuk kebaikan dan bukannya melalui perhimpunan haram yang hanya mendatangkan masalah terutamanya dari segi keselamatan,” tambahnya.

JPA DIMINTA KAJI BALIK BENAR KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
9 Jun 2008

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mengkaji cadangan membenarkan kakitangan awam bekerja sambilan selepas waktu pejabat bagi menambah pendapatan berikutan kenaikan harga api dan barangan baru-baru ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, berkata kajian itu antara lain bagi mengenal pasti kesan terhadap kualiti kerja kakitangan awam khususnya ketika kerajaan berusaha meningkatkan mutu penyampaian sektor awam. "Perkara ini memerlukan kajian kerana ia membabitkan prestasi dan kualiti kerja. Ia dikhuatiri menjejaskan sistem penyampaian sektor awam. Pada masa yang sama, kerajaan memahami tujuan Cuepacs mengemukakan cadangan itu, kerana ia dapat meringankan beban sara hidup kakitangan awam berikutan kenaikan harga minyak dan barang keperluan," katanya semalam.
Beliau mengulas cadangan Cuepacs meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat. Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji rendah menambah pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Katanya, kumpulan itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan bersih RM647 hingga RM1,600 tidak termasuk elaun sara hidup (Cola), elaun perumahan dan elaun khidmat awam.
Antara kerja sambilan boleh dilakukan ialah sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang, atendan pam minyak dan pencuci di kompleks beli-belah. Difahamkan, JPA menetapkan peraturan kerja sambilan hanya boleh dilakukan di luar waktu pejabat selepas mendapat persetujuan ketua jabatan dan tidak menjejaskan prestasi mereka.

KAKITANGAN AWAM DILARANG KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia
9 Jun 2008

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Sumber Manusia tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk membolehkan kakitangan kumpulan sokongan bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kakitangan awam tidak boleh melakukan kerja sambilan kerana ia telah terikat dengan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikhuatiri boleh mengganggu produktiviti mereka.
‘‘Jika kakitangan awam berterusan hendak melakukan kerja sambilan, mereka hendaklah berbincang dengan pihak JPA sendiri,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penyampaian Anugerah Hari Ibu anjuran sebuah akhbar harian dan Secret Garden di Hotel Nikko di sini hari ini.
Semalam, CUEPACS mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Menurut kongres itu, kakitangan awam bagi kumpulan P1 T1 kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Noraini menjelaskan, seseorang kakitangan awam tidak boleh melakukan pekerjaan sambilan walaupun ia tidak mengganggu produktiviti mereka.
Malah, katanya, kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu bagi tujuan mengurangkan beban yang mereka tanggung.
‘‘Kenaikan gaji itu diberi bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih tanpa perlu melakukan kerja sambilan,” ujarnya.

BENARKAN KAKITANGAN AWAM KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akbar Utusan Malaysia
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT


KUALA LUMPUR 7 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
“Kumpulan tersebut terdiri daripada mereka yang berpendapatan bulanan bersih antara RM647 hingga RM1,600 tidak termasuk tambahan elaun sara hidup (COLA), perumahan dan perkhidmatan awam.
“Mereka mungkin boleh dibenarkan bekerja sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang, atendan pam minyak dan pencuci di kompleks membeli-belah,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sesetengah daripada kakitangan awam dalam kumpulan tersebut telah melakukan pelbagai kerja sampingan sejak 25 tahun lalu bagi menampung kos kehidupan mereka.
Omar memberitahu, purata pendapatan yang diperoleh hasil daripada kerja sampingan itu ialah kira-kira RM600 sebulan dan ia dilakukan dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
Mereka juga mungkin bekerja pada cuti hujung minggu.
“Sebelum ini CUEPACS tidak menggalakkan mereka membuat kerja sambilan terutama selepas menerima kenaikan gaji pada Julai 2007 kerana bimbang ia akan menjejaskan produktiviti kerja mereka dalam sektor kerajaan.
“Bagaimanapun, keadaan sekarang sudah berubah. Semua kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk beras yang menyebabkan mereka perlu berbelanja dengan lebih teliti,’’ ujarnya.
Omar berkata, sekiranya hanya harga minyak naik, mereka boleh merancang perjalanan seharian tetapi apabila ia turut melibatkan harga barangan keperluan lain, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
“CUEPACS menerima lebih 500 aduan berhubung kesan kenaikan harga minyak dan kita sokong sekiranya kakitangan awam itu bekerja sambilan termasuk membawa teksi, menjadi pekerja kilang dan berniaga di pasar malam,’’ kata beliau.
Ditanya mengenai empat langkah yang bakal diumumkan oleh kerajaan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan harga minyak, Omar memberitahu, ia adalah satu cara yang berkesan dan amat dialu-alukan.
Katanya, penubuhan Majlis Inflasi Negara yang dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta, iaitu salah satu daripada langkah itu, bertepatan dengan masa ketika rakyat berdepan dengan krisis ekonomi dan makanan.
“Peranan Majlis Kawalan Harga Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu dipertingkatkan lagi supaya rakyat memahami fungsi yang dimainkan badan tersebut,’’ ujar Omar.

06 Jun 2008

REAKSI PEMIMPIN PERSATUAN

Sedutan dari Akhbar Berita Harian
6/6/2008

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan semalam mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak dengan ada yang menyifatkan ia agak tinggi walaupun kerajaan terpaksa mengambil langkah itu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, menyifatkan ia sebagai satu keputusan yang tidak dijangka sama sekali akan diambil kerajaan memandangkan tanggungan rakyat yang semakin meningkat dengan kenaikan barang sebelum ini. “Pada saya kenaikan ini membebankan kerana sebelum ini kita terpaksa menstruktur semula perbelanjaan ke tahap paling minimum dan dengan kenaikan petrol kini kita terpaksa memikirkan inisiatif lain untuk menghadapinya,” katanya.
Pengerusi, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat, berkata kenaikan ini terlalu tinggi dan akan menjejaskan aktiviti nelayan yang terpaksa menanggung kerugian kerana peningkatan kos operasi. “Saya bimbang ia akan menyebabkan nelayan tidak mampu ke laut kerana kosnya yang terlalu tinggi. Kita juga berharap kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan masyarakat nelayan mendapat pembelaan sewajarnya. Presiden Fomca, Datuk N Marimuthu, berkata ia adalah keputusan yang terpaksa diambil kerajaan bagi menghadapi masalah global ini dan diharapkan subsidi yang ditarik balik dapat disalurkan bagi membangunkan sektor penting dan memerlukan lebih peruntukan seperti pertanian.
“Pengguna perlu memahami bebanan yang ditanggung kerajaan kerana kenaikan harga minyak adalah masalah global dan kita perlu menghadapinya bersama-sama. Pengguna perlu berusaha mengubah gaya hidup bagi mengurangkan kesan kenaikan harga petrol,” katanya. Pemangku Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Wahid Bidin, menyambut baik pengumuman itu kerana subsidi yang ditarik balik membolehkan kerajaan memperuntukkan wang itu bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kebaikan rakyat terutama rakyat miskin.

05 Jun 2008

NGO BERI REAKSI BERBEZA

Oleh NORILA DAUD
Sedutan dari Akhbar Utusan Malaysia
5/6/2008

KUALA LUMPUR 4 Jun - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi reaksi berbeza berhubung pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga minyak yang berkuat kuasa tengah malam ini.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu menyifatkan kerajaan masih prihatin untuk membantu rakyat berpendapatan rendah walaupun harga petrol dinaikkan sebanyak 40 peratus mulai tengah malam ini.
Beliau berkata, kerajaan masih memberi subsidi kepada rakyat walaupun dijangka pada tahun 2013, negara tidak lagi menjadi pengeluar minyak.
"Sekurang-kurangnya, kerajaan membuat langkah seperti memberikan RM150 setahun kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin 250cc dan RM625 setahun kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick-up dan jip berkapasiti sehingga RM2,500.
"Kerajaan juga berjanji wang subsidi yang berlebihan itu akan diperuntukkan untuk kemudahan pengangkutan awam, pendidikan dan sektor awam,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenaikan harga petrol sebanyak RM0.78 seliter kepada RM2.70, berbanding RM1.92 sebelum ini yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya petang ini.
Menurut beliau, kenaikan harga petrol ini adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan.
Malah, katanya, negara India juga hari ini turut mengumumkan kenaikan petrol sebanyak 10 peratus di mana sebelum ini, negara berkenaan telah menaikkan harga bahan api itu beberapa kali.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan kenaikan harga petrol dan diesel itu yang akan memberi kesan buruk kepada kakitangan sektor awam yang berpendapatan rendah.
"Kakitangan sektor awam baru hendak menikmati keseimbangan pendapatan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan dan hari ini dikejutkan dengan kenaikan harga petrol dan diesel.
"Kenaikan harga bahan bakar ini hanya akan mendorong mereka membuat kerja sampingan dan tindakan itu hanya akan menjejaskan prestasi dan produktiviti mereka di tempat kerja,'' jelasnya.
Katanya, kenaikan harga petrol dan diesel ini sudah pasti akan membebankan mereka berikutan kos kehidupan yang akan melambung tinggi.
Bagaimanapun, menurutnya, CUEPACS akan mengadakan mesyuarat khas pada pertengahan Julai ini bagi membincangkan isu kenaikan minyak dan impak selepas setahun kenaikan gaji.
Sementara itu, tambah beliau, satu rumusan akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum 1 Ogos ini.
Beliau seterusnya menyatakan kesal terhadap tindakan kerajaan yang menaikkan harga bahan bakar itu secara mengejut tanpa mengadakan perbincangan dengan pihaknya atau pertubuhan berkaitan rasional kenaikan itu.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga minyak tidak dapat dikawal dan pengguna perlu lebih bijak berbelanja dan mengikut kemampuan.
"Kenaikan ini memang tak boleh dielakkan. Apa yang penting, rakyat perlu lebih berjimat dan berusaha mencari pendapatan lebih.
"Apa yang kita takut sekarang, lazimnya bila harga minyak naik, bahan-bahan makanan pun akan naik.
"Kita harap kerajaan ada mekanisme baru untuk mengelak harga makanan naik sebab seperti kelaziman pasti akan ada orang yang akan menangguk di air keruh,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

02 Jun 2008

DALAM KEGAWATAN EKONOMI ADA PENJAWAT AWAM YANG DAPAT KENAIKAN ELAUN. FIKIRKANLAH BERSAMA

By: Wan Mokhtar
on June 27, 2008 at 5:08 pm

Salam sejahtera,
Saudara/i sahabat KEPAK sekelian. Saya tertarik dengan satu Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 10/2008.
Dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang ini semua Kementerian/Jabatan dinasihat supaya berbelanja berhemah dan pihak Perbendaharaan akan mengeluarkan Waran Tarik Balik Perbelanjaan Mengurus sebanyak 10%. Para Menteri dan EXCO juga bersetuju memotong elaun mereka sebanyak 10%.
Dalam masa yang sama ada pula yang naik elaun. Agaknya golongan yang naik elaun ini adalah dari golongan yang “pecah Kepala” memikirkan cara untuk memulihkan ekonomi negara. Jadi itulah sebabnya dalam keadaan ekonomi sebegini diluluskan kenaikan elaun bagi mereka.
Bagi kita semua ini terutama Kumpulan Sokongan kalau nak tambah pendapatan bolehlah buka gerai “Pisang Goreng” depan halaman rumah atau jadi tauke VCD dekat pasar malam. Nak buka gerai depan rumah bagi penghuni di Putrajaya nampaknya Sorry lah kerana pihak Perbadanan Putrajaya tak boleh kompromi nanti kena saman. Kenalah cari jalan yang lain nak tambah pendapatan.
Kita PPT ini apa nak buat bagi tambah pendapatan. Kalau kawan-kawan ada cadangan boleh sama-sama kita kongsikan dalam blog kita ni. Mungkin tambah Cola kot? Yang tinggal Rumah Kerajaan bayarlah penuh Cola tu kerana ia tiada kaitan dengan Kuarters? Cola adalah bantuan sara hidup. Apakah yang tinggal di Kuarters sara hidupnya lebih baik? Boleh beli minyak dengan harga lama?
Marilah bersama kongsi pandangan dan bersama-sama kita renungkan.
Wassalam.

30 Mei 2008

AKTA UMUR PERSARAAN DILULUS

Sedutan dari Akhbar Berita Harian
Oleh Anwar Hussin, Faiza Zainuddin, Sazarina Shahrim dan Norliza Wasilan
30 Mei 2008

Lanjutan usia pencen dianggap peluang kakitangan awam tabur bakti, jasa kepada negaraKUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan pindaan kepada Akta Pencen 1980 yang diberi nama Akta Pencen (Pindaan) 2008 bagi membolehkan umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun, berkuat kuasa 1 Julai ini. Akta itu membabitkan pegawai dan kakitangan yang bekerja sepenuh masa, namun mereka diberi pilihan untuk bersara pada umur persaraan wajib, 55 atau 56 tahun seperti pilihan mereka sebelum 1 Julai ini.
Turut diluluskan Rang Undang-undang Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008. Rang Undang-undang itu membabitkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan tetapi jumlahnya belum lagi ditentukan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kajian yang dibuat pada 2001 mendapati lanjutan umur persaraan itu tidak akan memberi kesan kepada masalah pengangguran.
"Perlanjutan ini tiada tujuan politik. Kalau ada tujuan politik kita dah lakukan sebelum pilihan raya. Lagipun ia hanya membabitkan 31,000 peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam sedangkan jawatan kosong yang ada 200,000. Peluang pekerjaan tidak terjejas," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu. Beliau berkata, kerajaan juga akan menimbangkan untuk melanjutkan umur persaraan sehingga 60 tahun secara berperingkat. Katanya, umur persaraan itu tidak menimbulkan masalah kerana ramai kakitangan yang boleh bertugas sehingga berusia 60 tahun. "Ada anggota polis yang dipanggil semula untuk bekerja kerana mereka mempunyai kepakaran yang tidak ada pada pegawai yang sedia ada.
"Pada sesi akan datang saya akan mengatur taklimat khas bersama pegawai pencen dengan Ahli Parlimen," katanya. Beliau juga mahu lanjutan umur persaraan ini dianggap sebagai peluang keemasan untuk mereka menabur jasa kepada rakyat dan negara. Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum menangguhkan mesyuarat berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan dewan dan boleh dipertingkatkan.

AKTA PENCEN 2008 DILULUS

Sedutan dari akhbar Utusan Malaysia
30 Mei 2008

KUALA LUMPUR 29 Mei - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Akta Pencen (Pindaan) 2008 dengan menaikkan umur persaraan daripada 56 kepada 58 tahun berkuatkuasa 1 Julai ini.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, akta berkenaan dibuat khusus bagi kakitangan dan pegawai yang bekerja sepenuh masa dalam sektor awam.
Bagaimanapun, katanya, mereka yang terlibat juga diberi pilihan untuk bersara pada usia 55 atau 56 tahun.
"Kajian terperinci dasar telah dibuat berdasarkan pengalaman dan maklum balas yang dibuat sejak 2001 dan tidak ada kesan negatif pengangguran.
"Sekarang ini ada 200,000 kekosongan (jawatan dalam sektor awam) jadi peluang pekerjaan yang ada tidak terjejas," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Pencen (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat hari ini.
Johari memberitahu, pelaksanaan undang-undang itu tidak ada kena mengena dengan kepentingan politik dan ia berteraskan kepada keperluan negara yang memerlukan pakar dalam bidang tertentu.
''Kita (kerajaan) juga bakal melanjutkan umur persaraan sehingga 60 tahun secara berperingkat. Semua kakitangan awam termasuk polis yang sudah bersara dan masih mahu bekerja, boleh berbuat demikian," jelasnya.
Katanya, rang undang-undang berkenaan melibatkan perbelanjaan wang tambahan, bagaimanapun jumlahnya masih belum dapat ditentukan lagi.
Dalam perkembangan lain, Dewan Rakyat juga meluluskan Rang Undang-Undang Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008 hari ini.

28 Mei 2008

PENCEN: KERAJAAN BAYAR RM718.8J

Dari Akhbar Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM718.8 juta setahun bagi membayar pencen pesara yang akan dihitung berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, meskipun peruntukan itu agak besar tetapi ia wajar untuk manfaat lebih 300,000 pesara yang pastinya akan meningkatkan kualiti hidup mereka.
''Ia (peruntukan RM718.8 juta) akan dibelanjakan dengan sebaik-baiknya,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Dana PNB-SIF, di sini hari ini.
Menurut beliau, perbelanjaan tambahan itu akan mula dihitung pada 1 Januari 2009.
Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan yang bersetuju untuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun dan menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Sabtu lalu mengumumkan dasar baru pemberian pencen selain melanjutkan umur persaraan kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun dan menambah baik kaedah pelaksanaan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Dasar baru pemberian pencen yang melibatkan sejumlah 310,000 pesara berkuat kuasa 1 Januari 2009, manakala pelanjutan umur berkuat kuasa 1 Julai ini.
Sebelum ini pencen kakitangan dan pegawai awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan yakin bajet defisit pada tahun ini kekal pada 3.1 peratus meskipun menghadapi tekanan kerana terpaksa memperuntukkan perbelanjaan tambahan bagi pembayaran pencen itu.
''Cabaran kepada kerajaan adalah hebat berdasarkan persekitaran semasa, pada masa sekarang, tidak ada perubahan pada unjuran bajet negara,'' kata beliau.

USIA PERSARAAN PENJAWAT AWAM BUKAN AUTOMATIK

Oleh Abdul Razak Raaff
Dari Akhbar Berita Harian

JPA jangka 830,000 kakitangan pilih berkhidmat hingga 58 tahun PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjangkakan seramai 830,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam atau 70 peratus, memilih untuk terus berkhidmat sehingga mencapai usia 58 tahun iaitu umur persaraan wajib yang baru ditetapkan kerajaan. Sumber JPA berkata, 30 peratus atau 370,000 kakitangan awam pula tidak memilih untuk berbuat demikian, sebaliknya memohon persaraan pilihan apabila mencapai had usia 40 tahun. Katanya, dasar baru itu tidak dilaksanakan secara automatik sebaliknya tertakluk kepada opsyen yang akan dibuat setiap individu yang sedang berkhidmat, selain dilaksanakan sebagai syarat perkhidmatan kepada anggota yang sedang dilantik mulai 1 Julai ini.
Beliau berkata, setiap tahun dianggarkan kira-kira 15,000 anggota sektor awam pelbagai jawatan yang sedang berkhidmat di jabatan dan agensi kerajaan akan bersara. "Secara purata, antara 1,000 hingga 1,200 kakitangan awam yang akan bersara setiap bulan sama ada bersara wajib atau membuat pilihan untuk bersara awal," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam. Pada majlis perhimpunan sempena Hari Pekerja Sektor Awam 2008, di sini baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan insentif baru termasuk melanjutkan had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun, mulai 1 Julai ini.
Insentif lain ialah pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga kakitangan awam yang meninggal dunia dan bayaran pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun masing-masing bermula 1 Januari 2009, manakala ibu atau bapa kakitangan awam meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia. Mengulas lanjut, sumber itu berkata, kakitangan awam yang mencapai usia 56 tahun sebelum 1 Julai ini, hendaklah bersara wajib apabila tiba masanya kerana tidak tertakluk dengan dasar baru berkenaan. Sebaliknya, katanya, mereka yang sepatutnya bersara wajib selepas mencapai usia 56 tahun pada Julai ini, akan diberi pilihan untuk berkhidmat sehingga bersara wajib apabila mencapai usia 58 tahun pada 1 Julai 2010. "Pada tarikh dasar baru persaraan wajib dikuatkuasa semua kakitangan awam yang belum mencapai usia 58 tahun boleh terus berkhidmat, jika memilih untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata, bayaran faedah persaraan kepada kakitangan awam yang bersara pada atau selepas 1 Julai ini dan sudah menerima Kad Pesara dan Surat Kelulusan Faedah Persaraan, akan ditangguh sehingga Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA menerima maklum balas mengenai pilihan umur persaraan wajib mereka. Katanya, tawaran pelantikan secara kontrak selepas persaraan kepada anggota yang tidak memilih untuk bersara wajib pada 58 tahun adalah tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa yang melantik.

LANJUTAN USIA PERKHIDMATAN PERLU SYARAT TAMBAHAN

PESARA 2006
Kuala Lumpur

Keratan dari Akhbar Utusan Malaysia

TAHNIAH kepada pemimpin CUEPACS yang telah berjaya mendesak untuk lanjut usia persaraan dan sekali gus mereka juga mungkin akan melanjutkan perkhidmatan. Sebagai bekas kakitangan kerajaan dan menjadi orang biasa selepas bersara, saya berpendapat lanjutan umur persaraan merupakan satu pembaziran guna tenaga, kos dan masa.
Apakah desakan atau cadangan ini datang dari kakitangan bawahan, yang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk diperguna dalam membuat apa-apa 'keputusan' pentadbiran?.
Selama lebih 30 tahun saya berkhidmat dalam pelbagai jabatan, kecemerlangan sebenar tidak dapat diperolehi walaupun adanya anugerah khidmat cemerlang. Apatah lagi setelah bersara dan memerlukan perkhidmatan dari sesebuah jabatan. Ada sahaja dalih kakitangan kerajaan yang kita berurusan untuk melambatkan urusan. Semasa saya berkhidmat, kerenah-kerenah orang bawahan tidak terkawal kerana pelbagai 'silap mata' digunakan.
Setiap tahun puluhan ribu lepasan sekolah, kolej dan IPT keluar dari pusat pengajian dan mereka ini berebut-berebut di pasaran pekerjaan sedangkan penawaran terhad terutama sektor awam. Dengan lanjutan usia persaraan ke 58 tahun, maka sekali gus mereka terpaksa menunggu dua tahun untuk mengisi mana-mana jawatan yang sepatutnya kosong.
Faktor kesihatan adalah yang paling perlu diambil kira dalam melanjutkan usia persaraan. Kita tidak mahu dengar dan lihat, apabila kita berurusan, seseorang kakitangan membuat kerja dengan 'lemah lembut,' kerana tidak sihat, selalu pergi klinik/hospital, tidak hadir kerja kerana dapat cuti sakit. Hilang dari meja untuk berehat kerana penyakit lelah, sakit lutut tak boleh berdiri lama atau sebagainya.
Paling malang sekali, ada pula nanti membuat alasan hantar cucu/suami/isteri ke klinik. Ini disebabkan dalam tempoh umur begini suami atau isteri perlu rawatan. Akibatnya kerja ditinggalkan terbengkalai dan seterusnya pelanggan yang menjadi mangsa.
Oleh itu dalam melanjutkan umur persaraan ini, saya ingin memberi pendapat supaya diadakan tempoh percubaan sebagaimana tempoh percubaan pelantikan pertama.
Pada umur 55 dan 56 kekerapan seseorang itu mengambil rawatan dan bilangan cuti sakit yang diperolehi hendaklah diambil kira. Jumlah tertentu hendaklah ditetapkan kecuali kecederaan akibat kemalangan atau bersalin dalam dua tahun itu. Jika melebihi daripada hadnya, tidak perlu dilanjut tempuh perkhidmatan.
Seterusnya dalam tempoh usia 57 dan 58 juga had mengambil rawatan dan cuti sakit diambil kira. Kita tak mahu urusan kerja ditinggalkan yang mana mendatangkan kesusahan kepada pelanggan. Anggaplah kerja ini sebagai amanah dan bukan dua tahun berbulan madu dalam menghabiskan sisa-sisa usia atau mengambil dan mempergunakan peluang merebut sesuatu oleh mereka yang ada kuasa.

23 Mei 2008

KENAKAN SYARAT LANJUTAN USIA PERSARAAN 58 TAHUN

Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia
- MOHAMED HATTA ABKem Terendak, Melaka.
23 Mei 2008


RAMAI kakitangan awam menyambut gembira pengumuman Perdana Menteri melanjutkan usia persaraan daripada 56 kepada 58 tahun. Keputusan itu tentu sekali menggembirakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang telah membuat pelbagai tuntutan meskipun pada waktu yang cukup gawat bagi kerajaan memenuhinya.
Kita percaya bahawa memang ada rasionalnya dalam perkara-perkara tuntutan CUEPACS. Tetapi isu kenaikan usia persaraan sudah cukup untuk diperkatakan di ruang yang kecil ini.
Pertama, berkaitan dengan isu kesihatan kakitangan awam. Kita semua tahu bahawa mereka yang telah mencecah usia 40-an mulai menghadapi risiko yang besar terhadap penyakit-penyakit seperti darah tinggi, gout, penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. Risiko terhadap penyakit-penyakit itu dan penyakit lain sudah pasti semakin tinggi pada usia sekitar 50-an.
Mungkin kita boleh memberi laluan kepada kakitangan untuk terus bekerja pada usia sehingga 58 tahun berasaskan jangka hayat secara umum. Persoalannya, apakah semua kakitangan awam layak diberi lanjutan tempoh persaraan secara automatik tanpa mengambil kira keupayaan dan kesihatannya?
Ini harus difikirkan kerana sekiranya seseorang itu tidak mampu melakukan tugas seperti biasa, tentulah hal itu akan menjejaskan kecekapan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Kedua, kita ucapkan tahniah kepada semua kakitangan awam yang telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang baik dan atas ganjaran yang diberikan oleh kerajaan.
Namun harus diingat bahawa terdapat juga sebahagian kecil kakitangan yang tidak menyumbang kepada prestasi kerja yang baik dan menumpang tuah daripada titik peluh mereka yang bekerja keras menyumbang kepada pembangunan, produktiviti dan perkhidmatan yang baik.
Wajarkah mereka yang tidak cekap dan bekerja sambil lewa untuk menikmati gaji bulanan ini menerima ganjaran kenaikan gaji sehingga maksimum 40 peratus sedangkan sikap dan motivasi kerja tidak berubah?
Apakah implikasinya kepada kerajaan yang terpaksa melanjutkan dua tahun lagi tempoh kerja untuk mereka sedangkan kerajaan sendiri mengalami kesukaran untuk memberi pencen awal kepada kakitangan yang bermasalah?
Saya ingin sarankan supaya kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam menyemak kembali perkara ini dalam konteks sumbangan positif yang boleh diperolehi oleh pihak kerajaan apabila memberi lanjutan tempoh bekerja selama dua tahun lagi.
Bagi mereka yang proaktif, mampu memberi idea yang baik, membawa perubahan berterusan dalam kerjaya dan kerjanya, menyumbangkan kepakaran dalam bidang atau kerja yang diceburi dan berkemampuan meneruskan produktiviti dan prestasi kerja yang baik, apa salahnya disambungkan perkhidmatan mereka. Bahkan itu merupakan suatu tindakan yang wajar dilakukan.
Tetapi bagi mereka yang kian merosot prestasi kerja, malas, suka curi tulang, tiada motivasi, tidak produktif dan boleh memberi imej yang buruk kepada perkhidmatan awam, haruskah ganjaran dua tahun lanjutan tempoh perkhidmatan itu diberi secara automatik?
Tidakkah ini juga melanjutkan beban kepada pihak majikan. Persoalan seperti ini kita ajukan, bukan bermakna kita tidak bersetuju dengan CUEPACS mahupun dengan keputusan kerajaan. Namun demi mempertahankan sikap murah hati kerajaan itu agar mendapat pulangan yang tidak merugikan, pelaksanaannya mungkin boleh diubah suai di mana perlu.
Dalam hal ini, saya memikirkan bahawa sangat baik jika kerajaan menetapkan suatu peraturan atau kaedah yang bersesuaian dan rasional sebelum seseorang itu diberikan lanjutan tempoh persaraan sehingga 58 tahun.
Contohnya, seseorang yang sudah mencapai usia 55 tahun diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan dia sihat dan boleh menjalankan kerja seperti biasa. Kakitangan itu juga wajar mempunyai laporan penilaian prestasi kerja yang baik atau cemerlang.
Demikian juga bagi kakitangan yang hendak diluluskan lanjutan tempoh persaraan harus mendapat sokongan dan pengesahan daripada ketua jabatannya terlebih dahulu berkaitan sikap serta kemampuan fizikal, emosi dan mentalnya.
Dengan cara ini, kerajaan akan mendapat jaminan tenaga kerja kakitangan awam yang berterusan produktif, cekap dan amanah.
Sekali lagi ingin saya ingatkan bahawa tidak semua buah dalam satu bakul itu baik semuanya. Berpada-padalah kita menunaikan permintaan sesetengah pihak yang terlalu ghairah. Ada masanya kita perlu realistik dan melihat hakikat yang sebenarnya.

22 Mei 2008

10,000 BERMASALAH MASIH BERKHIDMAT

Petikan dari Akhbar Berita Harian
22 Mei 2008

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 kakitangan awam yang dikategorikan sebagai pekerja bermasalah masih bertugas di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun jumlah itu kecil berbanding keseluruhan kakitangan awam, 1.2 juta orang, sikap dan masalah mereka boleh memberi kesan kepada prestasi perkhidmatan awam. “Mereka antaranya menghadapi masalah kesihatan, gangguan mental dan tidak berdisiplin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Bagaimanapun, Omar berkata, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Awam 9/2007 yang baru, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), boleh bertindak tegas ke atas pekerja terbabit termasuk dibersarakan awal. “Kita berharap mereka yang dikategorikan tidak disiplin boleh mengubah sikap dan menjalankan tugas sebaik mungkin. “Kalau tidak mereka bakal berdepan tindakan kerajaan yang boleh dibersarakan awal daripada perkhidmatan,” katanya.
Omar juga berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan JPA bagi membincangkan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang baru untuk kakitangan awam Kumpulan Sokongan Satu (Gred 17 hingga 40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 hingga 54). Katanya, perjumpaan sama sudah diadakan minggu lalu untuk kategori kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua (Gred 1 hingga 16) dan ujian PTK untuk kumpulan itu dihapuskan, tetapi proses kenaikan pangkat dinilai mengikut prestasi kerja dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan. “Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh memenuhi tuntutan kakitangan awam, kita juga hendaklah memenuhi harapan Perdana Menteri dan menjadi jentera pentadbiran kerajaan yang cekap dan berdisiplin,” katanya.

20 Mei 2008

PENGIKTIRAFAN SKIM TUKANG

Pengiktirafan Skim Tukang K1, K2, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Ketukangan) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (Ketukangan) sebagai Perkhidmatan Kritikal. Sila rujuk pekeliling JPA
http://www.jpa.gov.my/docs/se/2008/se142008.pdf

19 Mei 2008

TINGKATKAN KEBERKESANAN SEKTOR AWAM: GHANI

Oleh Patricia Gari
Dari Akhbar Borneo Sarawak


Lanjut umur persaraan wajib membolehkan kakitangan berpengalaman mengajar kakitangan baru
KUCHING: Gabungan kakitangan berpengalaman dengan yang baru akan memantap dan meningkatkan lagi keberkesanan sistem penyampaian sektor awam di negara ini, kata Pengerusi Cuepacs Sarawak William Ghani Bina.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan melanjutkan umur persaraan wajib kakitangan awam daripada 56 kepada 58 tahun mulai 1 Julai 2008, semalam.
“Secara profesionalnya, pada usia 55 dan 56 tahun seseorang itu berada di kemuncak profesionalismenya dan jika mereka diberi peluang berkhidmat untuk tiga tahun lagi, kumpulan ini mampu memimpin serta memberi tunjuk ajar kepada kakitangan baru.
“Gabungan darah muda dan lama juga akan membentuk sumber tenaga manusia yang berkualiti, baik dan berkesan.
“Ini secara tidak langsung akan membantu sektor swasta memainkan peranan berkesan sebagai jentera pembangunan negara,” ujarnya.
Kemantapan sistem penyampaian, katanya juga boleh dikongsi dengan pekerja baru.
Tidak dinafikan graduan yang baru bertugas berilmu tetapi mereka masih cetek pengalaman.
Menurut William, pada usia 55 hingga 58 tahun kakitangan awam mahupun swasta lebih matang dan mampu memfokus sepenuhnya kepada bidang tugas mereka kerana sudah memiliki kehidupan lebih stabil berbanding kakitangan yang baru bekerja.
“Saya percaya peringkat umur ini, kehidupan seseorang itu lebih stabil dan kukuh, anak-anak sudah besar dan ada yang sudah bekerja, dengan itu tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada tugas,” tambah beliau.
William, yang juga Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) berkata, keputusan itu adalah tindakan bijak kerajaan bagi meningkatkan lagi kemantapan sistem penyampaian kerana dalam kerajaan hanya ada 1.2 juta kakitangan sedangkan sektor swasta menghampiri 10 juta orang.
“Bagaimanapun, Kejayaan pihak swasta dan kemasukan pelabur asing di negara ini amat bergantung kepada kebolehan dan keberkesanan sistem pentadbiran sektor kerajaan yang diterajui kumpulan pekerja berpengalaman dan profesional,” ujarnya.
Beliau berkata tanpa sistem pentadbiran sektor awam dan swasta yang mantap, Malaysia hanya akan dilabel sebagai pembekal tenaga buruh murahan dan ini menjejaskan kedu-dukan negara di mata dunia.
“Saya percaya dengan memiliki tenaga buruh yang mahal tetapi terbukti berkualiti akan menarik lebih banyak pelabur asing melabur di negara ini kerana mereka yakin usaha mereka pasti membawa pulangan menguntungkan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, graduan tidak perlu panik kerana nescaya kerajaan telah dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memerlukan tenaga mahir serta lepasan universiti.
“Graduan harus panik kerana sebelum membuat keputusan ini kerajaan telah mengkaji dengan mendalam kesannya dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

FEDERAL HOUSING LOANS IN THREE DAYS, SAYS JOHARI

By Irene C
From Borneo Newspaper
16 May 2008


KUCHING: Federal civil servants will have their housing loan applications processed within three working days beginning next month, said Housing Minister Dato Sri Abang Johari Tun Openg.
THANK YOU: Saifullah (left) presents a souvenir to Aziz (third left) while Johari (second left) looks on.
He said this would be made possible with the opening of the Federal Housing Office here this June.
“Previously, federal civil servants have to wait one to three years to get their housing loan applications processed as the applications are sent to Kuala Lumpur. With the opening of the office here, the processing will be much faster,” said Johari.
Aside from that, people without stable income like fishermen and farmers are now eligible to apply for loans amounting from RM25,000 to RM100,000.
He said financial aid of RM50 million was approved to help those without pay-slips to apply for the loan through Bank Simpanan Negara and Islamic Bank.
“As long as they have an income and a bank account, they can apply for the loan. The loan can also be used to purchase Rumah Mesra Rakyat (RMR), with only RM100 monthly payment until the age of 65 years,” he said.
Johari said this when launching the Defence Ministry Malaysia Civil Service Union (Kesatria) Sarawak Branch’s 2008 state-level Labour Day Celebration held at Bangunan Sultan Iskandar here yesterday.
A blood donation drive was also held in conjunction with celebration to help replenish blood supply at the Blood Bank in Sarawak General Hospital.
Also present were Kesatria Sarawak Branch chairman Saifullah Yahya and Congress of Unions of Employees in the Public and Civil (Cuepacs) deputy president Aziz Muda.





NASIB KAKITANGAN PILIH SKIM KWSP TERABAI?

Petikan dari Akbar Utusan Malaysia
19 Mei 2008

SAYA terpanggil untuk memberikan komen atas pengumuman kerajaan terhadap kakitangan awam baru-baru ini khususnya mereka yang memilih skim pencen. Sejak dahulu hingga kini perjuangan CUEPACS lebih tertumpu kepada kakitangan awam yang memilih skim pencen. Kami amat menghormati usaha CUEPACS ini dan mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan awam yang memilih skim pencen atas manfaat yang kerajaan berikan kepada mereka.
Namun di sebalik usaha CUEPACS ini dan keprihatinan pihak kerajaan terhadap kakitangan awam, golongan pemilih skim KWSP yang terdiri hanya lima peratus sahaja dari mereka amat terabai dan dianaktirikan.

Rasanya berpuluh surat telah dipaparkan di dada akhbar dan isu ini telah diketengahkan kepada CUEPACS tetapi sayangnya golongan pemilih skim KWSP langsung tidak pernah diberikan perhatian oleh kerajaan mahupun diperjuangkan oleh CUEPACS. Sedangkan dengan jumlah yang kecil (5%) sepatutnya usaha untuk memberikan kebajikan kepada golongan ini adalah lebih mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Kami yang telah memilih skim ini akur atas keputusan yang telah dibuat disebabkan maklumat oleh majikan ketika itu adalah kabur dan tidak berpeluang untuk menukar kepada skim pencen.

Atas sebab itu kami merayu pihak kerajaan dan CUEPACS agar memberikan pertimbangan yang khusus kepada golongan pemilih skim KWSP iaitu:

l Menambah caruman majikan (kerajaan) kepada 17 peratus (sekarang 12 peratus).

l Menentukan dan menjamin jumlah dividen yang wajar untuk pencarum KWSP iaitu melebihi tujuh peratus setahun.

l Pemilih skim KWSP wajar dihargai atas sumbangan dengan perkhidmatan kerajaan dengan menerima ganjaran (graduiti) berdasarkan tempoh perkhidmatan.

l Pengeluaran khas untuk mengerjakan fardu haji pada usia muda (35 tahun ke atas) - syaratnya wang ini dibayar oleh KWSP terus kepada Tabung Haji.

l Kemudahan rawatan dan perubatan percuma di hospital kerajaan selepas bersara. (Apa yang dikesalkan ialah selepas ber- sara, pemilih skim KWSP tidak langsung dihargai sumbangannya).

Cadangan ini adalah amat wajar dipertimbangkan seterusnya diluluskan kerana pencarum KWSP dari kalangan kakitangan kerajaan tidak lagi mempunyai pendapatan selepas bersara, kos sara hidup yang semakin tinggi pada ketika usia tua, kadar inflasi yang menjejaskan simpanan, duit tabungan yang terpaksa dibelanjakan untuk perubatan dan kos-kos lain yang tidak dijangkakan. Segala kajian terhadap skim pencen selepas dari ini dan seterusnya tidak menguntungkan pemilih skim KWSP kerana mereka tidak terlibat apabila tamat perkhidmatan dengan kerajaan.

Pemilih KWSP yang terdiri dari hanya lima peratus dari keseluruhan kakitangan awam berharap agar kerajaan dan CUEPACS tidak terlepas pandang akan nasib mereka yang sehingga kini tiada pembelaan. Kepada CUEPACS yang sedang memperjuangkan kebajikan kakitangan awam, pandanglah juga pemilih skim KWSP yang selama ini diabaikan. Bantulah kami yang juga anggota perkhidmatan awam sama seperti pemilih skim pencen.

WAKIL PEMILIH SKIM KWSP

Kuala Nerang, Kedah.