SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

09 Jun 2008

BENARKAN KAKITANGAN AWAM KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akbar Utusan Malaysia
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT


KUALA LUMPUR 7 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
“Kumpulan tersebut terdiri daripada mereka yang berpendapatan bulanan bersih antara RM647 hingga RM1,600 tidak termasuk tambahan elaun sara hidup (COLA), perumahan dan perkhidmatan awam.
“Mereka mungkin boleh dibenarkan bekerja sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang, atendan pam minyak dan pencuci di kompleks membeli-belah,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sesetengah daripada kakitangan awam dalam kumpulan tersebut telah melakukan pelbagai kerja sampingan sejak 25 tahun lalu bagi menampung kos kehidupan mereka.
Omar memberitahu, purata pendapatan yang diperoleh hasil daripada kerja sampingan itu ialah kira-kira RM600 sebulan dan ia dilakukan dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
Mereka juga mungkin bekerja pada cuti hujung minggu.
“Sebelum ini CUEPACS tidak menggalakkan mereka membuat kerja sambilan terutama selepas menerima kenaikan gaji pada Julai 2007 kerana bimbang ia akan menjejaskan produktiviti kerja mereka dalam sektor kerajaan.
“Bagaimanapun, keadaan sekarang sudah berubah. Semua kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk beras yang menyebabkan mereka perlu berbelanja dengan lebih teliti,’’ ujarnya.
Omar berkata, sekiranya hanya harga minyak naik, mereka boleh merancang perjalanan seharian tetapi apabila ia turut melibatkan harga barangan keperluan lain, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
“CUEPACS menerima lebih 500 aduan berhubung kesan kenaikan harga minyak dan kita sokong sekiranya kakitangan awam itu bekerja sambilan termasuk membawa teksi, menjadi pekerja kilang dan berniaga di pasar malam,’’ kata beliau.
Ditanya mengenai empat langkah yang bakal diumumkan oleh kerajaan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan harga minyak, Omar memberitahu, ia adalah satu cara yang berkesan dan amat dialu-alukan.
Katanya, penubuhan Majlis Inflasi Negara yang dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta, iaitu salah satu daripada langkah itu, bertepatan dengan masa ketika rakyat berdepan dengan krisis ekonomi dan makanan.
“Peranan Majlis Kawalan Harga Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu dipertingkatkan lagi supaya rakyat memahami fungsi yang dimainkan badan tersebut,’’ ujar Omar.

Tiada ulasan: