SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

18 Jun 2008

KERAJAAN SEDIA KAJI PEMBAYARAN GAJI DUA KALI SEBULAN

Petikan dari Bernama
18/6/2008
IPOH, 17 Jun (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kerajaan sedia mengkaji semula pembayaran gaji dua kali sebulan bagi kakitangan kerajaan jika pelaksanaannya tidak dipersetujui oleh kakitangan awam."Saya percaya kerajaan boleh kaji semula. Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan oleh kerajaan jika para pekerja (kakitangan awam) rasa pembayaran itu membawa lebih banyak kesusahan," katanya selepas merasmikan Pesta Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PMSB) di sini hari ini.Beliau berkata demikian semasa mengulas bantahan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terhadap pembayaran gaji dua kali sebulan yang dianggap bukan cara efektif menyelesaikan masalah rakyat berikutan kenaikan harga minyak.Presidennya Omar Osman sebaliknya mengusulkan kemungkinan kerajaan melaksanakan ansuran gaji secara 30/70.Turut meminta kerajaan membuat kajian semula ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU).Cuepacs akan mengadakan kongres khas pada 28 Jun bagi membuat keputusan sama ada menyokong atau menolak langkah kerajaan itu.Dr Subramaniam berkata langkah yang diambil kerajaan itu bertujuan membantu kakitangan awam menyusun semula cara berbelanja bagi menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup.Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya sedang berusaha menggalakkan lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan tabung PMSB bagi melatih semula pekerja mereka."Pada masa ini hanya 67 peratus majikan PKS menggunakan tabung PMSB untuk melatih pekerja...kita telah menjalankan kempen bagi menggalak lebih banyak majikan melatih pekerja supaya meningkatkan taraf kemahiran sejajar dengan keperluan semasa," katanya.Beliau berkata majikan perlu memberi peluang kepada pekerja untuk mendapatkan latihan semula dalam pelbagai bidang dan meningkatkan taraf termasuk mengikuti kursus yang menawarkan kelulusan diploma dan ijazah.-- BERNAMA

Tiada ulasan: