SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2022 : KELESTARIAN PENDIGITALAN MENDEPANI CABARAN

13 Jun 2008

CUEPACS SYOR BAYAR GAJI 30:70

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
Oleh Amin Ridzuan Ishak
13/6/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs mahu pembayaran gaji kakitangan awam secara dua ansuran yang akan dilaksanakan mulai Ogos depan, diubah mengikut mekanisme 30:70 bagi mengelakkan pekerja kehabisan wang pada setiap awal bulan. Presidennya, Omar Osman, berkata menerusi mekanisme itu 30 peratus daripada gaji kakitangan awam dibayar pada pertengahan bulan, manakala baki 70 peratus lagi pada akhir bulan. Katanya, pembayaran gaji mengikut mekanisme itu boleh mengelakkan kakitangan awam mengalami sindrom kehabisan wang pada setiap awal bulan.
"Kalau pembayaran dilakukan mengikut mekanisme 50:50, kakitangan gred rendah yang menerima gaji sekitar RM1,000 akan mengalami kesukaran kerana sebahagian besar gaji pada hujung bulan dibelanjakan untuk membayar bil dan potongan wajib seperti cukai pendapatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau membuat cadangan itu ketika mengulas keputusan kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam secara dua ansuran, iaitu separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan manakala separuh kedua pada hujung bulan atau 50:50. Potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula akan dilakukan pada hujung bulan.
Keputusan itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin, bertujuan membantu pengurusan perbelanjaan serta aliran tunai kakitangan awam berikutan kenaikan harga minyak, baru-baru ini. Sambil menyambut baik pengumuman itu, Omar berkata, kakitangan awam yang tidak setuju dengan kaedah pembayaran gaji berkenaan, boleh menyimpan gaji pertengahan bulan dan menggunakannya pada hujung bulan. Sementara itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bersetuju dengan mekanisme itu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada cara hidup kakitangan gred rendah. Setiausahanya, A Munian dalam satu kenyataan media berharap kerajaan menimbang semula pelaksanaannya kerana kakitangan gred rendah sudah biasa dengan sistem bayaran hujung bulan dan menganggapnya sebagai paling sesuai.

Tiada ulasan: