SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2022 : KELESTARIAN PENDIGITALAN MENDEPANI CABARAN

16 Jun 2008

CUEPACS CADANG KERAJAAN BERI ELAUN KERJA MALAM

Petikan Dari Utusan Malaysia
16/6/2008

KUANTAN 15 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mempertimbangkan elaun khas untuk kakitangan yang bekerja pada waktu malam selain mengkaji semula kadar Elaun Kos Sara Hidup (COLA).
Presiden CUEPACS, Omar Osman (gambar) berkata, kakitangan awam yang bertugas pada waktu malam wajar mendapat elaun atau insentif khas sebagai dorongan kepada mereka memandangkan waktu bekerja yang berbeza daripada orang lain.
Dengan alasan bekerja pada waktu malam lebih memerlukan tumpuan yang tinggi sehingga menyebabkan ada antara pekerja mengalami tekanan, tegasnya, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan perkara tersebut bagi menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Malah beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan kakitangan bomba dan penyelamat, penguat kuasa, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi membincangkan perkara tersebut dua minggu lalu.
"Kita sedar pekerja agensi-agensi seperti ini ada yang bekerja antara pukul 1 pagi hingga 7 pagi, bukan sahaja perlu bekerja dalam tempoh itu, mereka turut terdedah kepada risiko keselamatan.
"Golongan ini juga terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kerana bekerja pada masa yang sepatutnya dimanfaatkan untuk tidur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-15 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perubatan dan Kesihatan Pahang, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Omar berkata, sebagai golongan yang bekerja untuk memastikan keselamatan orang awam, mereka seharusnya menerima keistimewaan daripada kerajaan.
Menyentuh isu kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini yang kemudian disusuli kenaikan harga barang keperluan yang tidak menentu, beliau berkata, kongres akan meminta kerajaan menyelaras semula COLA.
Katanya, jumlah yang ditentukan berdasarkan lokasi bekerja itu tidak lagi relevan pada masa kini kerana pekerja awam yang tinggal di luar bandar juga perlu membayar harga yang sama bagi membeli petrol seperti penduduk di bandar.
Kata beliau, pihaknya mencadangkan kerajaan menyelaraskan semula COLA kepada satu jumlah yang sama tanpa mengira lokasi bekerja.
Jelas Omar, beliau akan mengemukakan dua isu tersebut pada mesyuarat kongres pada 28 Jun ini bagi meminta persetujuan ahli.
''Turut akan dibincangkan dalam mesyuarat itu, keputusan kongres sama ada untuk menerima atau menolak cadangan kerajaan memberikan dua kali gaji sebulan," ujar beliau.

Tiada ulasan: