SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

17 Jun 2008

KOS HIDUP TINGGI JEJAS PRODUKTIVITI

Petikan dari Berita Harian
17/6/2008


KUALA LUMPUR: Cuepacs menerima lebih 500 panggilan daripada penjawat awam yang mengadu terpaksa mencatu perbelanjaan bulanan mereka kesan peningkatan mendadak harga barang makanan antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan harga petrol dan diesel. Presidennya, Omar Osman, berkata walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mengumumkan tiada lagi kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini tetapi kenyataan itu tidak mampu mengembalikan keresahan dan tekanan rakyat. Katanya, kesan kenaikan harga barang dipercayai akan mempengaruhi keputusan peperiksaan umum kerana ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak mereka daripada kelas tuisyen.
“Yuran tuisyen yang diperuntukkan antara RM200 hingga RM400 sebulan sebelum ini terpaksa dikorbankan bagi menampung perbelanjaan harian untuk membeli bahan makanan asas dan mengisi minyak kenderaan. “Kebanyakan mereka terlalu tertekan dengan masalah kenaikan harga barang dan aduan yang diterima menunjukkan masing-masing seperti sudah hilang punca, sekali gus menyebabkan pekerja hilang tumpuan di pejabat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Beliau diminta mengulas keputusan kabinet semalam bahawa harga pasaran petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata kenyataan Perdana Menteri mengenai pengekalan harga minyak sehingga tahun ini bagaikan keputusan tidak pasti. “Semua orang tahu mengenai krisis harga minyak dunia dan ramai menjangkakan harga minyak terus meningkat, macam mana nak selaraskan dengan perbelanjaan kerajaan yang semakin naik. “Kalau betul boleh selaraskan, semua rakyat akan gembira tetapi sekiranya kenyataan itu hanya untuk mengurangkan keresahan rakyat, tidak perlu berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan: