SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Jun 2008

CUEPACS , MTUC MAHU PENDAPATAN SEKURANG-KURANGNYA RM3,500 LAYAK DIKIRA KUALA LUMPUR

Dari Akhbar Berita Harian
Oleh Nahar Tajri
14/6/2008

Dua kesatuan sekerja yang mewakili kakitangan awam dan swasta meminta kerajaan menaikkan kadar gaji minimum yang dikenakan cukai pendapatan kepada RM3,500 hingga RM5,000 sebulan bagi meringankan beban kakitangan sektor itu selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan Rabu lalu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata langkah itu lebih baik daripada mengurangkannya kerana kadar sedia ada RM2,500 dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
"Berdasarkan kepada keadaan sekarang gaji RM2,500 sudah dianggap kecil dan tidak layak dikenakan cukai pendapatan. Mereka yang berpendapatan sebanyak itu sekarang sudah tidak sama dengan keadaan beberapa tahun dulu selepas berlaku kenaikan harga minyak dan barang keperluan yang menyebabkan kos sara hidup meningkat mendadak. "Kami mencadangkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM3,500 untuk dikenakan cukai pendapatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau bagaimanapun menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji bagi mengurangkan cukai pendapatan dan menyifatkannya sebagai kesediaan kerajaan untuk membuka ruang bagi membolehkan perkara itu dibincangkan.
"Ia satu perkembangan baik dan kita akan berbincang dulu pada peringkat kesatuan sebelum membuat tindakan selanjutnya," katanya. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata kadar gaji minimum dikenakan cukai pendapatan patut dinaikkan kepada RM5,000 sebulan berdasarkan kepada kos sara hidup yang tinggi. "Jika dibandingkan dengan keadaan semasa dan kos sara hidup tinggi gaji antara RM2,500 hingga RM4,500 sudah tidak dianggap lumayan dan ia boleh dikira rendah bagi pekerja swasta di negara ini. "Oleh itu, kami cadangkan kadar minimum gaji sebulan dikenakan cukai pendapatan dinaikkan kepada RM5,000 kerana ia lebih bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan kerajaan akan menimbang kemungkinan mengurangkan cukai pendapatan individu dalam Bajet 2009 bagi membantu meringankan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dan makanan. Selain itu, Bajet 2009 juga akan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam, termasuk kemungkinan memperkenalkan perkhidmatan bas ekspres di lebuh raya utama dengan menjadikan kawasan rehat dan rawat (R&R) sebagai terminal atau perhentian.

Tiada ulasan: