SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 Jun 2008

KAKITANGAN AWAM WAJAR PILIH CARA PEMBAYARAN GAJI

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
13/6/2008

PEMBAYARAN gaji dua kali sebulan kepada kakitangan sektor awam yang dicadangkan bermula Ogos ini, adalah usaha terbaru kerajaan bagi mengurangkan bebanan rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak sebanyak 40 peratus, minggu lalu. Kaedah gaji dua kali sebulan memang sudah lama diamalkan pihak swasta bagi memastikan kakitangannya tidak berhadapan dengan beban kewangan ketika bertugas, manakala kehidupan lebih terurus tanpa menjejaskan produktiviti harian syarikat. Usaha kerajaan itu dilihat mempunyai tujuan sama, iaitu supaya kakitangan awam tidak tertekan berikutan kemelut ekonomi yang menyebabkan harga barang keperluan dan perkhidmatan meningkat. Bagaimanapun, kita berharap kajian teliti dibuat dengan mengambil kira pandangan kakitangan awam sendiri supaya ia tidak mengundang masalah baru selepas itu. Kita bimbang langkah itu menimbulkan masalah lain bukan saja kepada agensi kerajaan, malah turut memberi kesan negatif kepada kakitangan awam, terutama golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak bijak mengurus kewangan sendiri. Bagi golongan berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, mereka hanya mampu menerima sekitar RM600 hingga RM700 untuk dua minggu pertama. Bagi mereka yang tidak bijak menguruskan kewangan sendiri, wang sejumlah itu tidak akan cukup mereka gunakan untuk kelangsungan kehidupan, terutama pada pertengahan bulan. Berbeza dengan syarikat swasta yang sudah melaksanakan langkah itu, kakitangannya diberi pilihan sama ada untuk menerima gaji setiap dua minggu atau sebulan sekali. Mereka yang berasakan mampu menguruskan kewangan, biasanya mengambil skim setengah bulan, manakala yang bimbang kerana sifat boros boleh mengambil gaji sebulan sekali. Kumpulan kakitangan bergaji tinggi mungkin tidak berhadapan dengan masalah sekiranya skim berkenaan dilaksanakan. Yang kita khuatir ialah keupayaan majoriti kakitangan berpendapatan rendah dan sederhana yang sejak sekian lama menerima gaji pada akhir minggu setiap bulan, gagal mengurus kewangan mereka bila sistem gaji dua kali sebulan diperkenalkan. Kita juga berharap cadangan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya pembahagian mengikut kadar 30:70 diambil kira bagi memastikan mereka yang kurang berhemah berbelanja, masih mempunyai baki yang agak banyak pada akhir bulan. Selain itu, kerajaan harus memberi peluang kepada kakitangan untuk memilih sama ada mahu menerima gaji sekali atau dua kali sebulan. Kerajaan mempunyai waktu untuk memastikan pelaksanaan pembayaran gaji dua bulan sekali ini tidak menimbulkan rungutan kakitangan awam. Bagaimanapun, soal gaji sekali atau dua kali sebulan tidak menimbulkan masalah jika kakitangan awam sentiasa berhemah dalam mengurus kewangan mereka. Kita berharap bukan saja kakitangan awam, malah rakyat keseluruhannya menyusun semula corak perbelanjaan mereka dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang sekarang. Apa yang penting bukan isu gaji dibayar satu atau dua kali sebulan, tetapi bagaimana merancang kewangan yang terbatas untuk mengimbangi kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kita tidak mahu kemudahan gaji dua kali sebulan menyebabkan pekerja mengeluh kerana tidak dapat melunaskan hutang dan pinjaman yang biasanya dibuat pada akhir bulan. Sikap berjimat-cermat serta tidak membazir sama ada wang, makanan, waktu atau tenaga adalah amalan yang harus diamalkan sepanjang masa, bukan ketika menghadapi masalah saja.

Tiada ulasan: