SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Mei 2008

PENCEN: KERAJAAN BAYAR RM718.8J

Dari Akhbar Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM718.8 juta setahun bagi membayar pencen pesara yang akan dihitung berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, meskipun peruntukan itu agak besar tetapi ia wajar untuk manfaat lebih 300,000 pesara yang pastinya akan meningkatkan kualiti hidup mereka.
''Ia (peruntukan RM718.8 juta) akan dibelanjakan dengan sebaik-baiknya,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Dana PNB-SIF, di sini hari ini.
Menurut beliau, perbelanjaan tambahan itu akan mula dihitung pada 1 Januari 2009.
Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan yang bersetuju untuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun dan menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Sabtu lalu mengumumkan dasar baru pemberian pencen selain melanjutkan umur persaraan kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun dan menambah baik kaedah pelaksanaan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Dasar baru pemberian pencen yang melibatkan sejumlah 310,000 pesara berkuat kuasa 1 Januari 2009, manakala pelanjutan umur berkuat kuasa 1 Julai ini.
Sebelum ini pencen kakitangan dan pegawai awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan yakin bajet defisit pada tahun ini kekal pada 3.1 peratus meskipun menghadapi tekanan kerana terpaksa memperuntukkan perbelanjaan tambahan bagi pembayaran pencen itu.
''Cabaran kepada kerajaan adalah hebat berdasarkan persekitaran semasa, pada masa sekarang, tidak ada perubahan pada unjuran bajet negara,'' kata beliau.

Tiada ulasan: