SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Mei 2008

SAYA TIDAK BUAT KEPUTUSAN UNTUK JADI POPULAR

Petikan Dari Akhbar Utusan


PUTRAJAYA 10 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak akan membuat sesuatu keputusan yang tidak realistik semata-mata untuk menjadi popular di kalangan penjawat awam negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, cara itu bukan hanya akan menyusahkan dirinya dan negara, tetapi juga sektor awam secara keseluruhan di kemudian hari.
''Saya bukan seronok (lihat) orang (penjawat awam) susah dan jika boleh tolong, saya akan tolong tetapi jika tidak boleh, apa boleh buat.
''Bukan sengaja nak jadi kedekut tetapi penjawat awam perlu faham, kalau hari ini tidak boleh, mungkin esok boleh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 yang dihadiri seramai 4,000 penjawat awam seluruh negara di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.
Dalam amanatnya hampir sejam itu, Abdullah mengingatkan kakitangan kerajaan supaya terus menjadikan sektor awam sebagai pemangkin kepada kemajuan sektor swasta di negara ini.
Tegasnya, ingatan tersebut perlu kerana penerusan dasar dan polisi pembangunan negara bergantung kepada sejauh manakah keberkesanan sektor awam melaksanakannya.
''Usaha penjawat awam mencapai kecemerlangan bukan hanya dinikmati kalangan mereka sahaja tetapi juga sektor swasta.
''Kakitangan awam perlu mempunyai perasaan bangga kerana boleh melaksanakan apa yang dirancangkan oleh kerajaan, rakyat dan pelanggan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kakitangan awam perlu meningkatkan keupayaan dan memperkasakan diri dengan ilmu yang berkaitan dari semasa ke semasa.
''Ini supaya kita dapat tahu apa perubahan yang berlaku dan pendekatan terkini yang digunakan dalam menjadikan sektor awam lebih cemerlang dan gemilang," katanya.

Tiada ulasan: