SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

09 Mei 2008

PDRM TAMBAH 3000 PEGAWAI AWAM

Petikan dari Akhbar Berita Harian

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah sehingga 3,000 pegawai awam dalam pasukan itu dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar. Beliau berkata, penambahan itu bertujuan mengisi perjawatan pegawai awam dalam PDRM yang berkembang selain menggantikan kakitangan bersara. Katanya, pengambilan itu sejajar tumpuan PDRM bagi memastikan anggota beruniform melaksanakan tugas kepolisan, terutama mencegah jenayah, berbanding melakukan tugas pentadbiran di pejabat berikutan kekurangan kakitangan awam.
"Ketika ini PDRM mempunyai kira-kira 10,000 kakitangan awam di seluruh negara dan kita mahu menambah bilangan mereka antara 2,000 hingga 3,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang. "Pengambilan ini membabitkan pegawai awam berjawatan eksekutif hingga kakitangan bawahan. "Proses ini dibuat berperingkat selepas keperluan mengenainya dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak beberapa tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Khas Pegawai-Pegawai Awam Sempena Sambutan 201 Tahun PDRM di Ibu Pejabat Bukit Aman di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Cuepacs, Omar Osman dan Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (Pacsu), Abdul Rahim Jantan. Ismail berkata, tindakan supaya anggota polis menumpukan tugas hakiki kepolisan dapat mengelak masalah yang timbul kalangan pegawai polis berpangkat rendah yang ditugaskan di bawah penyelia kalangan pegawai awam. "Berdasarkan hasil kajian dibuat ke atas kepuasan kerja pegawai awam di Bukit Aman menunjukkan ada perasaan ragu terhadap status pegawai awam dalam PDRM. "Keraguan wujud terutama dalam keadaan pegawai rendah polis ditugaskan di bawah penyeliaan pegawai awam.
"Pucuk pimpinan PDRM menyedari perkara ini dan usaha berperingkat dibuat menghantar pegawai rendah polis untuk melaksanakan tugas kepolisan, dan bukannya tugas pentadbiran di pejabat," katanya. Beliau berkata, PDRM menghargai peranan pegawai awam yang membantu tugas pentadbiran kepolisan, sekali gus menjayakan misi dan visi PDRM. "PDRM sendiri sedang mengambil langkah meningkatkan kemampuan pekerja seperti memastikan mereka lebih celik tadbir serta menggunakan teknologi maklumat (IT). "Kita juga memperkasakan modal insan dan bekerjasama rapat dengan Cuepacs," katanya.

1 ulasan:

Chinta Chundary berkata...

ramai penjenayah sekarang ni..mmg negara perlu ramai polis..sokongg