The Malaysian Insider
18/8/2010
KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Susulan pertemuan bersejarah dengan dua badan induk kesatuan sekerja hari ini, Pemuda Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan menyegerakan penetapan gaji minimum sebagai menyokong matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Ini kali pertama sayap BN itu membuat pendirian ini seiring dengan ‘sokongan positif’ ke arah itu.
Pertemuan lebih sejam berlangsung di Menara Dato’ Onn tengah hari ini.
Kementerian Sumber Manusia telah mengadakan persidangan kebangsaan mengenai isu itu awal bulan ini.
Ketika ditemui wartawan selepas pertemuan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya perkara itu tidak dimuktamadkan dengan segera, maka agak sukar untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi yang adil, saksama serta tiada jurang pendapatan yang begitu ketara.
Rombongan MTUC diketuai oleh Setiausaha Agungnya G Rajasekaran manakala Cuepacs pula Presidennya Omar Osman.
“Kita mendapati melalui kajian kita pada waktu ini, 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja di Malaysia mendapat pendapatan kurang daripada RM700 sebulan, iaitu pendapatan yang lebih rendah daripada garis kemiskinan (RM720 sebulan).
“Berdasarkan kepada kajian yang telah dibuat oleh Bank Dunia pula, Malaysia telah mencatat kenaikan gaji purata 2.6 peratus setiap tahun dalam tempoh masa 10 tahun yang lepas, berbanding dengan purata dunia iaitu 3.2 peratus.
“Kalau kita lihat dari segi gaji minimum juga, umum tahu bahawa 90 peratus daripada negara di dunia ini telah pun memperkenalkan beberapa bentuk gaji minimum,” kata beliau dipetik Bernama.
Khairy berkata Pemuda BN dengan kerjasama MTUC dan Cuepacs, akan menganjurkan “Forum Gaji Minimum” dalam masa terdekat dan segala ketetapan serta resolusi yang dihasilkan akan diserahkan kepada kerajaan supaya isu tersebut dapat ditangani dengan kadar segera.
“Pada waktu ini, masih terdapat banyak kes yang mana soal gaji ini tidak mencerminkan gaji yang boleh menampung kos sara hidup biasa, maka kita percaya bahawa isu ini telah menjadi terlalu mendesak.
“Apabila gaji itu tidak meningkat mengikut peningkatan kos sara hidup ataupun inflasi, maka akhirnya rakyat Malaysia menjadi lebih miskin, bukannya lebih berpendapatan tinggi.
“Jadi, atas kesedaran itu, hari ini Pemuda BN mencadangkan kepada pihak MTUC dan Cuepacs agar kita menganjurkan satu forum gaji minimum yang kita harap akan dapat dihadiri Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau juga berharap soal gaji minimum akan dapat diselesaikan sebelum dasar Model Baru Ekonomi diperkenalkan Oktober ini.
“Tiada gunanya mempunyai Model Baru Ekonomi bila satu aspek penting iaitu gaji minimum tidak ditangani, diperhalusi dan dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Dasar gaji minimum dijangka dibentangkan di Kabinet pada akhir Oktober ini.