SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 November 2010

CUEPACS MINTA LANJUT TEMPOH PINDAH PENGHUNI COCHRANE

Utusan Malaysia
23/11/2010




KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta tempoh perpindahan lebih 500 keluarga yang menetap di kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini ke Putrajaya dilanjutkan daripada 15 Disember ini kepada 31 Disember tahun depan.

Presidennya, Omar Osman berkata, ia bagi membolehkan keluarga tersebut membuat persediaan sepenuhnya kerana perpindahan itu melibatkan kos yang besar.

Menurutnya, satu surat bantahan mengenai tarikh akhir perpindahan yang ditetapkan itu telah dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk pertimbangan pada 13 Oktober yang lalu.

"Bagaimanapun, sehingga kini kami belum menerima jawapan berhubung bantahan yang dikemukakan.

"Justeru, CUEPACS akan mengadakan satu lagi mesyuarat bersama penduduk terlibat pada 12 Disember ini bagi menjelaskan pendirian mereka yang enggan berpindah dalam masa terdekat ini," katanya di sini semalam.

Pada 3 Oktober lalu, CUEPACS menyuarakan perkara yang sama berikutan tarikh yang diberi tidak sesuai dan terlalu singkat kerana ramai anak penjawat awam yang tinggal di kuarters itu akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Perkara itu kemudian mendapat maklum balas daripada Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang membenarkan penghuni kuarters itu memohon menangguhkan pengosongan kuarters itu sehingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut hanya diberi kepada penghuni yang mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian dan mereka layak menuntut elaun pindah berdasarkan kemampuan kewangan jabatan masing-masing.

Mengulas mengenai perkara itu, Omar memberitahu, sebagai kakitangan kerajaan, kebanyakan penghuni kuarters itu sedia untuk berpindah.

Bagaimanapun, katanya, notis sebulan yang diberikan sebelum ini tidak sesuai kerana mereka akan berpindah secara beramai-ramai.

"Kalau boleh, kami berharap agar golongan ini (penghuni kuarters Jalan Cochrane) diberikan lebih masa dan disediakan sebuah kuarters baru atau sekurang-kurangnya beberapa buah lori bagi memudahkan urusan perpindahan mereka nanti.

"Selain itu, CUEPACS juga memohon kepada kerajaan agar memberi wang pampasan RM5,000 kepada setiap keluarga yang berpindah bagi meringankan beban mereka," ujar beliau.

Tambah Omar, buat masa ini, pihaknya meminta agar penghuni berkenaan bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kredibiliti mereka selaku penjawat awam.

Tiada ulasan: