SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 November 2010

SKIM PAMPASAN PEMBERHENTIAN PEKERJA TAHUN DEPAN

Utusan Malaysia
20/11/2010



KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kerajaan akan mewujudkan Skim Pampasan Pemberhentian Pekerja bagi menjaga kebajikan pekerja-pekerja yang diberhentikan oleh majikan mulai Januari tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana untuk membantu golongan yang kehilangan kerja berikutan masalah kewangan yang dihadapi syarikat sehingga terpaksa gulung tikar.

Bagaimanapun menurutnya, skim itu hanya untuk jangka pendek dan satu mekanisme baru akan diwujudkan bagi menggantikan untuk jangka masa panjang.

"Bantuan ini akan diberikan sebagai langkah jangka masa pendek. Peruntukan dana skim ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Tujuan skim ini diperkenalkan bagi membantu pekerja yang kehilangan kerja serta tidak menerima sebarang pampasan. Bantuan kebajikan ini akan diberikan antara satu hingga dua tahun sehingga mendapat kerja lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya 2010, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif MyEvents, Shahul Hameed Dawood.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini menggesa diwujudkan skim berkenaan bagi menjaga kebajikan pekerja-pekerja serta menampung keperluan sementara ketika mereka mencari kerja baru.

Dalam pada itu Subramaniam berkata, pada tahun ini seramai 100,000 pemohon berjaya mendapatkan pekerjaan melalui portal kerjaya dan program yang dianjurkan kementerian.

"Setakat ini, kekosongan yang didaftarkan oleh majikan kepada Jabatan Tenaga Kerja di dalam portal tersebut adalah 280,000 meliputi pelbagai jenis bidang," katanya

Sementara itu beliau berkata, melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan dalam bidang profesional diperlukan di negara ini.

"Oleh itu, kerajaan telah menyediakan bidang latihan di universiti dan pusat latihan kemahiran untuk membentuk tenaga kerja profesional selaras dengan keperluan negara bagi mengelakkan kebergantungan pakar dari luar,'' katanya.

Tiada ulasan: