SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

25 November 2010

DEWAN RAKYAT: PERSEPSI MASYARAKAT BUKAN REALITI RASUAH DI MALAYSIA : LIEW

Bernama
25/11/2010



KUALA LUMPUR 24 Nov (Bernama) -- Persepsi negatif masyarakat mengenai rasuah dalam politik negara tidak boleh dijadikan ukuran untuk menilai tahap gejala itu di negara ini secara keseluruhan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

"Persepsi masyarakat tidak semestinya selari dengan realiti kerana ia banyak dicorakkan oleh faktor semasa yang tidak jelas atau tepat," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu ketika menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang bertanya sama ada kerajaan sedar bahawa berdasarkan Global Corruption Barometer Survey 2009, persepsi rakyat Malaysia terhadap rasuah parti politik adalah teruk manakala Laporan Tahunan 2009 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyatakan hanya 15 ahli parti politik menghadapi pendakwaan akibat rasuah.

Liew berkata bahawa persepsi tidak semestinya satu realiti sedangkan tindakan pendakwaan SPRM terhadap 15 ahli politik itu adalah berdasarkan fakta dan undang-undang.

Jawapan Liew itu mendorong Fuziah mendakwa timbalan menteri itu cuba menafikan kenyataan dengan memberi gambaran bahawa gejala rasuah di negara ini hanya persepsi masyarakat dan bukannya realiti.

Fuziah turut mencabar kerajaan untuk mewajibkan pengisytiharan harta oleh ahli politik seperti mana yang dibuat di Indonesia ketika musim pilihan raya, sebagai lambang ketelusan kerajaan dalam memerangi rasuah di negara ini.

"Kemungkinankah, adanya 'asset disclosure' dan tidak takutnya Perdana Menteri dan semua pimpinan Barisan Nasional untuk buat 'asset disclosure'... adakah itu yang buat persepsi rakyat Malaysia jatuh dan merasakan kerajaan tidak bersungguh-sungguh memerangi gejala rasuah," katanya.

Cabaran Fuziah itu membuka ruang kepada Liew untuk memulangkan paku buah keras dengan membangkitkan pula persepsi rakyat terhadap pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang katanya terpalit dengan unsur-unsur penipuan.

"Saya setuju persepsi dibentuk daripada pengalaman. Jadi apakah persepsi rakyat terhadap PKR dalam pemilihan baru-baru ini di mana turut ditumpukan banyak penipuan," katanya.

Liew berkata bahawa faktor dalam kajian Global Corruption Barometer Survey oleh Transparency International itu turut mengambil kira sektor dan organisasi lain, dan parti politik adalah antara enam organisasi, selain Parlimen, sektor swasta, media, penjawat awam dan bahagian kehakiman yang diambil kira.

Beliau berkata kajian itu berdasarkan maklumat yang diperoleh sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan dan memperkenalkan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Di bawah NKRA kerajaan menetapkan agenda memerangi rasuah sebagai teras utama dalam negara kita, tapi ini tidak diambil kira. Jadi YB Kuantan, tolonglah beri maklumat benar kepada Dewan yang mulia ini," kata Liew.

Mengenai ketelusan pendakwaan oleh SPRM, Liew berkata sekiranya mahkamah gagal untuk mendakwa seseorang ahli politik tidak bermakna SPRM telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

"Apabila seseorang ahli politik itu dibawa ke mahkamah, dia dibenarkan untuk mendapatkan peguam bela yang terbaik. Jadi kalau tidak disabitkan dengan kesalahan, ini tidak bermakna SPRM tak buat kerja, tetapi mungkin orang yang disabitkan itu mempunyai peguam bela yang terbaik untuk mewakilinya," katanya.

-- BERNAMA

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ala,mengaku jer la yang rasuah dalam kerajaan BN ni mmg banyak..dan menyebabkan duit negara defisit teruk dan segala cukai meningkat untuk menampung kerugian akibat gejala rasuah..

selalu tgk berita kat TV cakap ekonomi meningkat la,perkembangan positif..tapi gambaran sebenar adalah sebaliknya.skrg rakyat berpendidikan.kene ingat itu..sumber bukan hanya dari media TV sahaja yang telah dikawal penuh oleh kerajaan.kata negara demokrasi,laporan sangat berat sebelah mengenai politik, ekonomi DLL

nak tuduh PKR buat ape..skrg ni sape yang memerintah negara?BN atau PKR?tgk diri sendiri dulu bila berkata mengenai rasuah..statistik SPRM?boleh percaya ke 15 laporan rasuah ahli politik?..saya percaya 90% rakyat yang baca artikel ni tidak bersetuju..

lagi satu,kalau nak buat perbandingan.selalu sgt banding dengan indonesia dan negara jiran.macam mana ni?tahun 2020 semakin hampir. perlukah kita bandingkan negara mereka dengan kita?

Tanpa Nama berkata...

"Saya setuju persepsi dibentuk daripada pengalaman. Jadi apakah persepsi rakyat terhadap PKR dalam pemilihan baru-baru ini di mana turut ditumpukan banyak penipuan," katanya. <---- apa yang ditulis tipu belaka

PETALING JAYA, 26 Nov: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail mendakwa media arus perdana sengaja memburukkan parti itu dengan menggunakan gambar-gambar dan keterangan yang mengelirukan rakyat dalam proses pemilihan parti.

Saifuddin dalam sidang media di Kongres Nasional PKR hari ini merujuk satu gambar yang memaparkan seorang pengawas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sedang menuding jari kepada seorang ahli yang sedang mengundi.

"Sedangkan, pengawas itu sedang membantu seorang pengundi yang buta huruf. Senarai calon panjang, bukan seperti pilihan raya umum yang ada dua atau tiga calon sahaja. Untuk MPP sahaja, kita ada 20 calon," katanya yang juga ahli Parlimen Machang.

Menurut Saifuddin, insiden di Cabang Merbok itu digembar-gembur akhbar The Star, seolah-olah gambar berkenaan menjadi bukti sahih hingga mendorong pembaca menyangka 'penyelewengan' sedemikian benar-benar berlaku.

Dalam laporan sebuah portal pula, beliau berkata, media itu menyiarkan gambar kiriman ahli parti dengan merujuk individu yang sedang mengundi adalah seorang pengawas JPP sedangkan ia tidak benar.

Beliau turut hairan apabila aduan beserta gambar yang diemel kepada portal berita itu tidak disalurkan kepada JPP.

"Bagaimana kita hendak siasat jika aduan dihantar kepada Regina (wartawan Malaysiakini) tetapi tidak sampai ke meja JPP?" katanya berseloroh.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, hanya 12 aduan peringkat cabang dari 289 keseluruhan aduan yang masih dalam siasatan manakala sembilan lagi di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sedang diteliti.