SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

10 November 2010

CUTI BERSALIN : JANGAN DISKRIMINASI PEKERJA SWASTA, KATA KESATUAN

The Malaysia Insider
10/11/2010




Rajasekaran
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Pekerja-pekerja sektor swasta tidak wajar didiskriminasi daripada turut menikmati cuti bersalin 90 hari, gesa pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang berpendapat kerajaan tidak harus mengehadkan kemudahan itu kepada sektor awam.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G Rajasekaran berkata, oleh kerana kerajaan telah memutuskan untuk memperuntukkan cuti bersalin 90 hari kepada kakitangan awam, maka adalah wajar Akta Kerja dipinda bagi membolehkan ia dipanjangkan meliputi sektor swasta.

“MTUC menyambut baik langkah kerajaan menyediakan cuti bersalin kepada kakitangan wanita sektor awam, tetapi kami melihat seolah-olah pekerja-pekerja sektor swasta yang merupakan sebahagian besar tenaga kerja negara ini dianaktirikan.

“Tidak harus ada diskriminasi dalam soal ini, seolah-olah pekerja swasta adalah pekerja kelas kedua,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam mengumumkan Bajet 2011 bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sememangnya pun, kerajaan sungguh mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita.

“Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutamanya anak yang baru dilahirkan.

“Bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, kerajaan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini,” katanya.

Najib berkata kemudahan tersebut adalah tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

Cuti bersalin merupakan sebahagian tuntutan kesatuan sekerja sejak dua tahun lalu.

Menurut Rajasekaran, MTUC telah pun menghantar memorandum dua bulan lalu meminta Kementerian Sumber Manusia agar meminda Akta Kerja untuk menyediakan peruntukan cuti bersalin 90 hari.

“Dalam memorandum itu, kami meminta agar Rang Undang-undang Kerja ditangguhkan daripada dibentangkan di Parlimen dan dimasukkan perkara-perkara baru termasuk soal cuti bersalin,” katanya.

Awal bulan lalu, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan Dewan Rakyat bahawa ia menarik balik rang undang-undang itu daripada bacaan kali kedua.

Pada Ogos lalu, salah satu anggota gabungan MTUC, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengumumkan bahawa sektor perbankan telah bersetuju untuk melaksanakan kemudahan cuti bersalin mulai perjanjian kolektif yang ditandatangani baru-baru ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung NUBE J. Solomon memberitahu, kerajaan perlu komited dengan memastikan kemudahan cuti bersalin diperluaskan kepada kepada pekerja-pekerja sektor swasta yang lain.

“Jika kerajaan boleh memberikan kepada kakitangan wanita awam, mengapa tidak ia tidak boleh diberikan kepada pekerja-pekerja sektor swasta,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau turut berpendapat Akta Kerja perlu dipinda dalam hal ini memandangkan pekerja swasta mewakili sejumlah besar tenaga kerja iaitu sekitar 10 juta orang.

“Daripada ini separuh adalah wanita, yang sebahagiannya besarnya telah berkahwin,” katanya lagi.

“Melainkan akta ini dipinda, majikan sektor swasta tidak akan patuh dan amalkannya. Tidak adil swasta ketinggalan dalam soal ini,” kata Solomon lagi.

Sebelum ini, tiga kerajaan negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Selangor dan Kelantan juga telah mengumumkan mereka akan melaksanakan cuti bersalin 90 hari mulai tahun depan berbanding 60 hari sekarang.

Kelantan sebelum ini merintis pemberian cuti bersalin kepada kakitangan wanita negeri ini daripada 42 hari kepada 60 hari.

2 ulasan:

anak ibu ayah berkata...

Terima kasih kerana berjuang untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari....tapi macamana kalau orang itu kurang subur atau tidak bo mengandung????bukan kah mereka ini macam diabaikan sahaja???Rasanya isu cuti ni boleh ditambahbaik untuk CUTI MENJAGA IBUBAPA uzur....rasanya semua orang mempunyai masalah cuti untuk menjaga ibubapa....Ramai yang terpaksa bercuti tanpa gaji untuk menjaga ibubapa sakit...rasanya 60hari cuti bersalin sudah memadai untuk kita sihat....

Tanpa Nama berkata...

salam...
sy tak kisah dgn berapa jumlah ari cuti bersalin...tp biar la adil antara sektor swasta dan awam. tak adil asyik minta utk pekerja awam jer...utk swasta tak de sape amik tahu...gj pun utk pekerja awam...cuti utk pekerja awam...sy bekerja dgn jwtn kelas A...bidang professional...tp gaji RM1300 ja...tekanan lg...dgn kenaikan itu dan ini...kami masih di takok lama...sy yg ada ijazah pun byk tu ja...apatah lg yg spm ja...kesian la kat org mcm kami ni...sakit telinga dgr pekerja awam dpt mcm2...kami tgk sj...akta pekerja dan majikan perlu diperbaharui agar adil utk semua....