SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

23 April 2011

CUEPACS, FOMCA MAHU SKIM PINJAMAN PELABURAN AMANAH SAHAN DIPERINCI

Berita Harian
2011/04/2



KUALA LUMPUR: CUEPACS dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan skim baru yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah membuat pinjaman untuk melabur dalam dana Amanah Saham 1Malaysia, tetapi mahu kerajaan merangka mekanisma terbaik bagi memastikan pinjaman berkenaan tidak membebankan rakyat.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata langkah berkenaan memberi keuntungan untuk jangka masa panjang kerana ia memberi pendapatan tambahan kepada golongan terbabit. Beliau berkata, bagaimanapun skim itu perlu diperincikan dengan teliti dan hanya mereka yang mempunyai kewangan mencukupi dibenarkan berbuat demikian bagi mengelakkan bebanan membayar ansuran pinjaman setiap bulan. Sekiranya kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat berpendapatan rendah, mereka sepatutnya dibenarkan mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur.

"Melalui cara itu, mereka tidak perlu membayar ansuran pinjaman. Ia lebih selamat dan dapat mengelakkan diisytiharkan muflis sekiranya gagal membayar pinjaman dalam tempoh ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan skim pinjaman mudah bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia.

Omar berkata, langkah itu juga dapat mengelakkan rakyat terutama kakitangan awam melabur dalam skim cepat kaya atau saham yang berisiko tinggi.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, skim terbabit membuka peluang kepada golongan berkenaan menambah pendapatan pada masa depan.

Beliau berkata, walaupun amanah saham itu memberi pulangan kecil, namun ia lebih terjamin berbanding saham lain berisiko besar dan mengelakkan melabur dalam skim cepat kaya.

"Langkah berkenaan baik, namun, setiap individu perlu memastikan kedudukan kewangan mereka sebelum melakukan pinjaman," katanya.

1 ulasan:

Cina bumiputera berkata...

Kuota bukan Bumiputera untuk Amanah Saham 1 Malaysia sudah lamaaaaaa dah penuh. Tolong tambahkan lagi sebelum skim pinjaman KWSP ini diluluskan.

Kan kata SATU MALAYSIA? Kenapa ada pilih kasih lagi?