SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

05 Jun 2012

SKUAD PENGGUNA BANTU LINDUNGI PENGGUNA

Bernama
Oleh Nabilah Saleh
5/5/2012

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Sejak diperkenalkan pada 2001, Sukarelawan Pemantau Harga (SPH) yang turut dikenali sebagai Rakan Pengguna aktif memainkan peranan dan fungsi menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dalam memantau harga barangan (penandaan harga) dan mutu perkhidmatan.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya, kementerian melihat penstrukturan Rakan Pengguna ini juga kurang mantap dan pelaksanaan aktiviti serta pendedahan mengenainya juga tidak menyeluruh.

Pendek kata, kewujudan Rakan Pengguna seolah-olah tidak disedari masyarakat umum.

Justeru melihat kepada permasalahan ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengorak langkah dengan melakukan penjenamaan semula kumpulan ini dengan memberi nama baru iaitu Skuad Pengguna oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

PENJENAMAAN SEMULA

Di bawah penjenamaan baru ini, Rakan Pengguna diberi suntikan serta nafas baru dari segi penstrukturan, imej dan sensitiviti sebagai satu langkah yang dapat menjadi pemangkin untuk menyemarakkan lagi penerapan ilmu kepenggunaan di kalangan masyarakat Malaysia.

Susulan penjenamaan baru itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan & Pengurusan), Datin Mahani Tan Abdullah memberitahu Bernama bahawa, kementerian memang menaruh harapan tinggi terhadap Skuad Pengguna supaya dapat membantu kerajaan meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang melalui kerjasama dan sokongan orang ramai.

Memandangkan aktiviti penawaran dan permintaan dalam pasaran yang semakin meningkat tanpa kawalan, situasi ini telah membataskan keupayaan pihak penguatkuasa KPDNKK untuk 'turun padang' dan melaksanakan tugas mereka.

"Maka, di sinilah peranan ahli skuad untuk memberikan kerjasama sekaligus dapat mamantau mana-mana amalan aktiviti perniagaan yang tidak sihat. Ini secara tidak langsung dapat mendisiplinkan pihak peniaga juga."

"Selain bertindak sebagai pemberi maklumat mengenai trend harga barangan dan perkhidmatan kepada kementerian, ahli skuad juga berperanan besar untuk menyebarkan maklumat mengenai isu-isu kepenggunaan kepada umum.

Lebih penting lagi, setiap ahli skuad juga berupaya untuk menjadi jurucakap bagi isu-isu berkaitan selain dapat menganjurkan program dan aktiviti kepenggunaan dalam komuniti masing-masing," katanya.

JALINAN KERJASAMA

Skuad Pengguna mempunyai anggota aktif seramai kira-kira 37,000 orang, kini mensasarkan untuk mencapai jumlah keanggotaan melebihi 50,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Menurut Mahani, melihat kepada pendekatan konsep 'serampang tiga mata' yang diambil oleh Skuad Pengguna selari dengan jalinan kerjasama yang dibuat bersama masyarakat peniaga, jumlah keanggotaan diharapkan dapat mencatat bilangan yang lebih tinggi daripada sasaran.

"Skuad Pengguna pada kali ini juga meluaskan fokus dan melibatkan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan badan-badan peniaga seperti Perdasama dan jaringan pasaraya besar seperti Giant dan Jusco.

Strategi ini adalah sangat bersesuaian dan menepati Dasar Pengguna Negara yang mahukan pengguna Malaysia untuk mempunyai amalan kawalan kendiri, peniaga pula dengan amalan kawalselia kendiri dan Kerajaan selaku fasilitatornya, iaitu berperanan meningkatkan tahap perlindungan terhadap pengguna," jelas Mahani.

Contohnya, CUEPACS, badan ini yang dilaporkan terdiri daripada 1.5 juta anggota, sememangnya diharapkan dapat menambah seberapa ramai anggota Skuad Pengguna sedia ada.

"Tambahan pula, ahli Skuad Pengguna bukan sahaja berkhidmat dengan 'tangan kosong', sebaliknya banyak manfaat dan keistimewaan yang boleh diperoleh dengan keanggotaan mereka sebagai anggota Skuad," katanya yang mengakui kewujudan Skuad Pengguna hari ini adalah sangat relevan.

MANFAAT

Sebagai anggota berdaftar, Skuad Pengguna boleh menikmati pelbagai keistimewaan antaranya mendapat kemudahan potongan harga dan diskaun yang ditawarkan oleh premis perniagaan iaitu 36 Rakan Dagang yang mengambil bahagian dengan menggunakan Kad Skuad Pengguna.

"Melalui kad Skuad Pengguna yang akan diperoleh anggota sebaik sahaja mendaftar, mereka boleh mendapat potongan harga antara dua peratus hingga 20 peratus daripada jumlah nilai barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang digunakan," jelas Mahani.

Rakan dagang yang mengambil bahagian adalah panel yang dilantik oleh Bank Rakyat dan terdiri daripada kedai-kedai operasi yang terdapat di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

"Selain pemberian diskaun, anggota Skuad Pengguna juga menerima pengiktirafan kepada anggota terbaiknya yang banyak membantu serta memberi sumbangan kepada KPDNKK. Ia akan disampaikan sama ada di peringkat kebangsaan dan negeri," katanya.

Keistimewaan lain yang layak diterima oleh anggota skuad adalah peluang menyertai seminar dan bengkel anjuran KPDNKK, mengikuti kursus 'Training for Trainers' bagi tujuan latihan selain aktiviti kepenggunaan yang dikelolakan oleh pihak swasta dengan kerjasama kementerian.

GAYA HIDUP LESTARI

Tanpa sedar selain memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan, tanggungjawab anggota Skuad Pengguna adalah sebenarnya jauh lebih besar dan penting.

Mahani berkata anggota skuad seharusnya menjadi pemangkin gaya hidup yang lestari iaitu ke arah corak penggunaan sumber alam secara optimum, kreatif dan berhemah.

"Apabila kita bercakap mengenai kepenggunaan lestari, pengguna harus ingat bahawa corak penggunaan sehari-hari kita memberi kesan secara tidak langsung kepada alam sekitar.

"Contohnya, permintaan tinggi terhadap penggunaan beg plastik sememangnya ada dan sentiasa meningkat disebabkan oleh banyak faktor. Pada masa yang sama, beg plastik yang banyak digunakan ini juga berpotensi untuk dibuang merata-rata oleh pengguna.

Walhal sekiranya beg-beg plastik ini dibuang atau teralir ke mana-mana sumber air misalnya laut, haiwan boleh terkesan seperti tercekik lalu mati akibat pencemaran ini. Ini berkemungkinan mengundang masalah kepupusan.

Saliran air seperti longkang juga boleh tersumbat dan seterusnya jika hujan turun dengan lebat, banjir boleh berlaku. Kalau beg plastik itu dibakar pula, ia akan menyebabkan udara tercemar dengan asap tebal," jelasnya.

Justeru melihat kepada contoh itu, Mahani menegaskan adalah penting untuk pengguna melakukan amalan lestari dalam memastikan kelangsungan alam sekitar sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.

"Bayangkan, betapa pentingnya tindakan kecil kita seperti Kempen 'No Plastic Bag Day' yang dilaksanakan sekarang (mengurangkan penggunaan beg plastik) dapat mengubah nasib anak cucu. Dalam pada itu, untuk melahirkan pengguna lestari, pendidikan tentang cara-cara kepenggunaan yang berhemah dan bijak perlu didedahkan kepada anggota skuad," katanya.

PENGGUNA BIJAK

Untuk mewujudkan ciri-ciri pengguna yang bijak dalam amalan kepenggunaan, pengguna haruslah 'celik' dan bertindak ikut rasional akal, selain bertanya atau membuat selidikan terlebih dahulu sebelum membeli atau menggunakan sebarang perkhidmatan yang ditawarkan.

"Isu pembelian menerusi transaksi atas talian khususnya memerlukan pengguna untuk lebih waspada sebelum membuat keputusan untuk membeli. Misalnya kenalpasti dahulu dengan siapa mereka berurusniaga, adakah akaun transaksi yang digunakan adalah akaun milik peribadi seseorang atau bagaimana pula testimoni pembeli sebelumnya tentang produk yang dibeli menerusi laman web atau individu tertentu.

"Pihak KPDNKK menerima banyak aduan dan rungutan mengenai pengguna yang tertipu dengan konsep pembelian secara online. Apa yang kami boleh katakan, ia di luar kawalan pihak KPDNKK lebih-lebih lagi jika transaksi dibuat tanpa merujuk kepada pihak kami. Tetapi dalam apa keadaan pun, KPDNKK mengambil serius permasalahan ini dan pihak penguatkuasa kami dengan giatnya akan menyiasat dan menangkap mereka yang bersalah," kata Mahani.

Selain itu, bentuk aduan yang dibuat oleh pengguna dan ahli Skuad sama ada menerusi talian telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), laman web mahupun ke kaunter KPDNKK, hendaklah dinyatakan secara lebih spesifik dan jelas butirannya.

"Pernyataan aduan yang lebih khusus dan spesifik adalah sangat penting untuk pihak KPDNKK melakukan tindakan susulan dengan pantas dan segera. Contohnya, sekira berlaku kekurangan bekalan di kawasan tertentu, nyatakan alamat kawasan itu dengan lebih tepat supaya pihak KPDNKK tidak perlu tercari-cari lokasi itu dan tindakan yang boleh dilakukan segera terpaksa ditangguh.

"Apa yang saya boleh kata, kebergantungan pihak KPDNKK untuk bertindak sama ada lambat atau cepat adalah tertakluk sepenuhnya kepada aduan yang kami terima. Tindakan lambat sememangnya merugikan rakyat atau pengguna sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk pengguna mahupun ahli Skuad bertindak bijak untuk menyatakan aduan dengan sejelas-jelasnya," kata beliau yang berharap Skuad Pengguna dapat menjadi medium penggerak bagi masyarakat memahami dan menterjemahkan ilmu kepenggunaan dalam kehidupan seharian.

PERANCANGAN

Mengenai perancangan seterusnya KPDNKK untuk Skuad Pengguna, Mahani berkata, walaupun pelaksanaan skuad ini masih baru, KPDNKK tetap meletakkan harapan yang jelas iaitu untuk melihat Skuad Pengguna ini menjadi medan bagi pengguna, peniaga dan Kerajaan untuk berganding bahu mewujudkan pasaran ekonomi dan sosial yang lebih kondusif untuk generasi pada masa akan datang.

"Walaupun ia nampak seperti sukar direalisasikan, KPDNKK tidak pernah berputus asa untuk mencari titik keseimbangan antara kehendak pengguna dan keuntungan peniaga. Elemen ini penting supaya kepuasan utiliti maksimum dapat dicapai," kata Mahani mengakhiri perbualan.

Orang ramai yang berminat mendaftar sebagai anggota Skuad Pengguna boleh layari laman web http://www.1pengguna.com/sp.

-- BERNAMA

18 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam. Abis tu ape pulak peranan Pegawai Pemantau Harga(PPH) KPDNKK yg berperanan memantau harga barang? Adakah PPH akan ditamatkan pada tahun depan?

Tanpa Nama berkata...

Rakan Pengguna aktif memainkan peranan dan fungsi menjadi 'mata dan telinga'.

Pegawai Pemantau Harga(PPH) KPDNKK yg berperanan memantau harga barang menjadi 'kaki dan tangan' kerajaan.

Tanpa Nama berkata...

aku tak faham macam-macam ada pegawai tapi harga tak terkawal naik...tak faham! tak faham!

Tanpa Nama berkata...

panjangnya artikel ni!

Tanpa Nama berkata...

Bagi je jawatan Pegawai Pemantau Harga jd TETAP pada tahun depan. Kesian diaorang.

Tanpa Nama berkata...

PANTAU TAHI KUCING KOT....BARANG NAIK MEMANJANG.......DAH MELAMPAU SANGATLAH SAYA DENGAN KENAIKAN HARGA BARANG SEKARANG........

Tanpa Nama berkata...

marah nampak. apesal nk marah? itu bukan salah PPH.

Tanpa Nama berkata...

Hidupkan semula slogan INFLASI SIFAR semasa diterajui oleh Y.Bhg. Dato' Seri Abu Hassan bin Omar - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada masa itu. Lancarkan Kempen Sukarelawan Pemantau Harga (Diberi insentif elaun bulanan berdasarkan 10% gaji kerja dengan Kerajaan. Contoh:Gred N17 gaji rm2,431.03 diberi elaun bulanan rm121.55sebulan oleh KPDN&HEP

Tanpa Nama berkata...

aku rasa makanan plg mahal dlm dunia ni kat Gua Musang. nasi pagi boleh sampai RM5 sepinggan. teh rm1.50 secawan. aku makan kat UITM merbuk nasi TOMYam makan t/hari pun RM2.50 je..tambah sirap free lagi....

apasal ha...?

Tanpa Nama berkata...

pegawai dia dalam pejabat je, asik mesyuarat sana sini mana ada masa nak pantau harga barang, kalau nak memantau pun 2 minggu sebelum memantau dah dimaklumkan, minta di ambil di airport lah entah apa2 yg dia minta, maacam mana nak dapat buat pemantauan....

Tanpa Nama berkata...

aku rasa peranan Pegawai Pemantau Harga (PPH)jauh lg baik sbb diaorg pantau tiap-tiap hari.

Tanpa Nama berkata...

so, tetapkn jawatan mereka.

Tanpa Nama berkata...

Ada skuad pengguna pun same jer la...harga barangan sukar dikawal juga la....harga brg naik naik naik jer sbb harga minyak mentah sentiasa berubah dari masa ke semasa...

Tanpa Nama berkata...

Agaknya peranan NGO spt Rakan Pengguna dilihat lebih berkesan dpd PPH?
Lagi pun kerajaan tak perlu bayar emolumen kpd mereka, NGO ini dah dapat faedah spt diskaun harga dpd kedai terpilih & pelbagai insentif.

NGO baru ini dilihat menjadi watch dog rakyat dan PA di KPDNKK perlu kompiten !
Kita tak mau dengar rakan kerja kita di KPDNKK di panggil utk mengadap SPRM.

Tanpa Nama berkata...

dgn gaji dan kos sara hidup skarang mmg tak cukup walaupun suami isteri bkerja.. harga rumah naik mendadak.. klu harga rumah rm150k byar selama 30thun sebulan dlm rm700.. ni br rumah.. blum tolak hutang kereta, bil-bil, bagi duit pd makayah, duit pengasuh lg.. bila gaji duit abis byar utang.. xde saving utk masa depan.. krajaan sepatutnya kena kawal harga rumah.. bkn nye melulukan pinjaman perumahan yg besar kpd rakyat pd hal rakyat x mampu nk mbyar.. yg untung sape?? fikir2kan...

Tanpa Nama berkata...

Tetapkan je jawatan PPH.Confirm harga barangan bole dipantau sbb keja PPH setiap hari bukan mcm skuad pengguna. Amacam setuju?

Tanpa Nama berkata...

Kenaikan harga tiada kaitan dengan kawalan harga. Tetapi permintaan yg tinggi serta cost raw material yang meningkat. Walaupun kita memantau harga tetapi kita tidak berkuasa utk mengawal harga. Jadi saya minta PPH diberi kuasa tambahan bukan saja memantau harga TETAPI DAPAT MENGAWAL HARGA barang. Mohon kerajaan terutama Pihak Cuepacs juga membantu Peg Pemantau Harga dalam isu KONTRAK mereka yang telah banyak menyumbang serta membantu pihak KPDNKK dalam pelbagai urusan kementerian.

biar berkata...

skuad menghabiskan beras