SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2021 : PEKERJA TERAS, ,MENDEPANI CABARAN

08 Jun 2021

Isi segera kekosongan jawatan Naib Canselor di lima universiti - Cuepacs

Astrowani
8/6/2021


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi segera membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Canselor di lima universiti awam, sejak awal tahun ini.
Kesemua universiti berkenaan ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).


Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mohd Nordin menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata kekosongan terlalu lama jawatan nombor satu itu dengan hanya dipangku oleh Timbalan Naib Canselor boleh menjejaskan hala tuju dan pentadbiran universiti.
"Walaupun Timbalan Naib Canselor yang menjalankan tugas Naib Canselor itu individu berpengalaman, sudah tentu terdapat beberapa kekangan yang menghalang beliau daripada menjalankan tugas dengan sepenuhnya.
Hal-hal kebajikan kakitangan terutama kumpulan sokongan juga tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya kerana ketiadaan Naib Canselor yang sentiasa menjadi rujukan permasalahan kakitangan," katanya.
Menurut Abdul Rahman, kelewatan kerajaan membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit boleh menjejaskan operasi pentadbiran sekali gus hala tuju universiti bagi melaksanakan visi dan misi masing-masing.
Kelompangan pada barisan pengurusan kanan juga boleh menyebabkan potensi sepenuhnya institusi pengajian tinggi itu tidak dapat diterokai sepenuhnya terutama ketika negara sedang berhadapan pandemik COVID-19, katanya.
"Justeru itu, Cuepacs melihat keperluan untuk melantik segera Naib Canselor yang baharu bagi membolehkan pentadbiran universiti berjalan seperti biasa dan berharap Menteri (Pengajian Tinggi) dapat mempertimbangkan perkara ini dengan segera," katanya.
Abdul Rahman berkata dalam situasi pandemik ketika ini sewajarnya semua jabatan dan agensi kerajaan dimantapkan agar boleh menjadi pemangkin kepada permasalahan yang melanda.

Tiada ulasan: