SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 Januari 2009

CUEPACS GESA 1.2 JUTA AHLI SERTAI BOIKOT

Utusan Malaysia
Oleh OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 10 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa 1.2 juta pekerja di sektor awam memboikot produk Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai tanda protes sehingga isu kekejaman yang melanda penduduk Palestin dapat diselesaikan secara saksama.
Presidennya, Omar Osman berkata, semua anggota sektor awam diminta bersama-sama menjayakan tindakan sedemikian dengan menyokong kempen membeli barang buatan Malaysia mulai esok.
"Oleh kerana CUEPACS merupakan salah satu badan terbesar yang mewakili 1.2 juta pekerja sektor awam dan melibatkan 4.5 juta ahli keluarga mereka, jadi eloklah mengambil langkah membeli barang buatan Malaysia.
"Mulai esok, semua pekerja perlu memberi perhatian serius, kita boikot barang AS dan Israel sebagai tanda simpati terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin," katanya kepada pemberita selepas majlis mesyuarat khas CUEPACS yang disertai 99 gabungan persatuan berkenaan di sini hari ini.
Omar berkata, tindakan tersebut juga merupakan salah satu usaha CUEPACS menyahut kempen memboikot produk AS dan sekutunya berikutan rejim Israel menyerang penduduk Palestin di Genting Gaza sehingga mengorbankan ratusan dan mencederakan ribuan penduduknya sejak minggu lalu.
"Kita berharap supaya anggota sektor awam dan keluarga dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada negara kuasa besar berhubung isu penganiayaan dan kekejaman ke atas penduduk Palestin oleh kuasa-kuasa besar dunia," jelasnya.
Sementara itu, CUEPACS turut bersetuju melancarkan Tabung Gaza CUEPACS bagi membantu meringankan penduduk di Genting Gaza yang menderita akibat serangan Israel.
"Sebagai permulaan, kita sudah berjaya kutip sebanyak RM1,620 dan kita akan kumpul derma kilat ini sebelum diserahkan kepada pihak berwajib," katanya.
Kata beliau, pekerja sektor awam boleh menghulurkan derma kilat berkenaan kepada Pengerusi CUEPACS negeri bermula esok.

Tiada ulasan: