SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 Januari 2009

SISTEM TELEKERJA: MAJIKAN WAJIB MENDAFTAR

Utusan Malaysia
10/1/2008

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan mewajibkan syarikat yang ingin mewujudkan sistem telekerja mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, langkah itu bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan kerana mereka boleh menyemak mengenai syarikat itu.
''Cadangan sistem ini amat baik, namun rakyat perlu menyiasat secara terperinci akan kesahihan syarikat berkenaan dengan merujuk kepada JTK atau menyertai syarikat yang sudah dikenali umum bagi mengelakkan penipuan.
''Kami menyambut baik cadangan ini kerana ia adalah satu sistem kerja yang fleksibel terutamanya kepada golongan yang perlu sentiasa ada di rumah seperti suri rumah atau ibu tunggal untuk menambahkan pendapatan,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam mengumumkan kerajaan akan mewujudkan sistem telekerja iaitu sistem bekerja dari rumah bagi menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan suri rumah, ibu tunggal, pesara dan siswazah menganggur.
Berpeluang
Melalui sistem itu, kira-kira 7.1 juta rakyat Malaysia yang tidak tergolong dalam sektor tenaga kerja berpeluang menyertai pasaran buruh menerusi konsep Pusat Telekerja yang bakal diwujudkan kelak.
Selain itu, Shamsuddin berpendapat telekerja adalah satu sistem yang baik kerana ia juga dapat mengurangkan kos kedua-dua pihak iaitu kos menyediakan ruang kerja bagi majikan dan kos kenderaan bagi pekerja.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman turut menyambut baik cadangan kerajaan itu.
Bagaimanapun, katanya, majikan perlu mewujudkan satu sistem pemantauan terhadap tahap kerja.
''Sistem pemantauan ini perlu diwujudkan supaya dapat menilai tahap kualiti, produktiviti dan prestasi pekerja yang bekerja dari rumah memandangkan majikan tidak dapat memantau sendiri,'' jelasnya.
Menurut beliau, sistem berkenaan mungkin telah lama digunakan di luar negara tetapi ia masih baru di negara ini dan pelaksanaannya perlu dirancang secara teliti.
''Jika kita ingin mengikut langkah mereka, maka sistem ini juga perlu dimajukan,'' katanya.

Tiada ulasan: