SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

18 Januari 2009

CUEPACS SEDIA ANJUR KEMPEN BOIKOT BARANG AS, ISRAEL

Berita Harian
Oleh Azman Mahmood

KUALA LUMPUR: Cuepacs bersedia mengetuai perhimpunan besar-besaran membabitkan seluruh badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini untuk kempen memboikot pembelian semua barang keluaran Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang melancarkan keganasan di Semenanjung Gaza. Kesediaan menganjurkan kempen memboikot barang keluaran negara terbabit selepas beberapa NGO menghubungi Cuepacs supaya diadakan program gabungan bersama untuk menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa. Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya akan menghubungi semua NGO termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili kira-kira 800,000 ahli pekerja sektor swasta bagi mengadakan kempen boikot berkenaan secara bersama.
Beliau berkata, program itu dijangka mendapat sokongan padu semua NGO seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), selain MTUC yang mempunyai ratusan ribu ahli dan Cuepacs yang mewakili 1.3 juta pekerja sektor awam. “Saya akan menghubungi semua pemimpin NGO terbabit dalam masa terdekat bagi mengatur program itu dan membuat pernyataan bersama untuk diserahkan kepada Kedutaan Besar AS di sini. “Kita juga merancang menyerahkan pernyataan sokongan seluruh NGO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menyatakan pendirian tegas Malaysia menentang kezaliman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin dengan restu sekutu kuatnya AS.
“Jadi, adalah wajar kita boikot barang AS selagi dia (sebagai kuasa besar) tidak mengarahkan Israel hentikan serangan ketenteraan di bumi Palestin,” katanya di sini, semalam. Ditanya tempat perhimpunan yang akan diadakan, Omar berkata, perkara itu perlu dibincang bersama dengan NGO lain, tetapi tidak menolak kemungkinan diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, katanya program boikot barang AS dan Israel pada peringkat Cuepacs sudah bermula sejak awal tahun ini. “Kita sudah minta seluruh kakitangan awam supaya membeli barang buatan Malaysia dan berhenti membeli apa saja barang keluaran AS dan Israel. Orang ramai juga perlu berhenti membeli makanan segera yang ada hubung kait dengan pelaburan dari AS yang menjadi sekutu kuat Israel,” katanya.

Tiada ulasan: