SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 Januari 2009

SKIM KWSP ATAU PILIH PENCEN

Utusan Malaysia
Oleh MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN



Tahun 2009 mungkin dianggap sebagai tahun yang membawa kesejahteraan dan rahmat kepada 1.2 juta kakitangan kerajaan serta pesara kerajaan kerana menerima banyak faedah daripada kerajaan.
Sebagai tanda kesyukuran, kakitangan yang menerima pelbagai faedah itu sewajarnya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan menjaga kebajikan pekerja yang merupakan tulang belakang kepada pentadbiran negara.
Pada masa yang sama kakitangan kerajaan tidak harus melupakan usaha berterusan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang tanpa jemu memperjuangkan hak dan kebajikan kakitangan awam bagi menampung kehidupan semasa dan waktu persaraan kelak.
Oleh itu, sangat wajar penghargaan dan ucapan terima kasih diberi kepada CUEPACS atas usaha murni yang dilakukan itu.
Semasa memberi taklimat kepada kakitangan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 6 Januari lalu, Presiden CUEPACS, Omar Osman menjelaskan banyak perkara yang diperjuangkan oleh Kongres telah ditunaikan oleh kerajaan dan menganggap apa yang diberikan itu sebagai sesuatu di luar jangkaan.
Ini termasuk tawaran opsyen semula kepada anggota yang telah memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian Ex-Gratia terbitan sekali gus kepada ibu atau bapa anggota berpencen yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan yang belum berkahwin.
Selain itu, peningkatan maksimum cuti rehat dan cuti rehat khas yang boleh dikumpul untuk pemberian wang tunai sebagai gantian cuti rehat kepada 150 hari serta, tawaran opsyen pelanjutan umur persaraan wajib kepada 58 tahun.
Salah satu yang menarik untuk diperkatakan ialah tawaran opsyen semula kepada anggota yang telah memilih Skim KWSP oleh kerajaan kepada kakitangannya.
Statistik Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan setakat ini sebanyak 66,703 penjawat awam termasuk polis berada dalam skim KWSP.
Walaupun jumlahnya hanya 5.55 peratus daripada keseluruhan kakitangan awam, tetapi tawaran itu boleh dianggap sebagai sangat tepat memandangkan banyak penambahbaikan dilakukan terhadap skim pencen yang dilihat memberi kelebihan kepada mereka yang memilih skim pencen.
Semasa memberi taklimat, Omar begitu bersemangat mendorong kakitangan awam yang hadir memilih semula skim pencen itu. Ini kerana tidak ada lagi peluang keemasan seperti ini selepas ini.
Menurut Omar, apa yang diperjuangkan oleh CUEPACS selama ini perlu direbut supaya waktu persaraan nanti mereka dapat hidup bahagia bersama keluarga. Ini kerana beliau tidak mahu nanti ada pesara yang bekerja sebagai jaga, pemandu teksi dan lain-lain pekerjaan sambilan semata-mata kerana mahu menampung hidup selepas bersara akibat memilih KWSP yang tiada pencen bulanan.
Majlis taklimat JPA Bersama CUEPACS itu dihadiri oleh Pengarah, Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA Datuk Yeow Chin Kiong. Beliau turut memberi taklimat secara panjang lebar mengenai tawaran semula skim pencen kepada kakitangan yang memilih skim KWSP serta mengendalikan sesi soal jawab daripada kakitangan yang hadir.
Menurut CUEPACS, kakitangan kerajaan di bawah skim KWSP tidak mendapat tiga perkara seperti yang dinikmati oleh rakan mereka dalam skim pencen iaitu kad persaraan, kemudahan perubatan selepas bersara dan gratuiti iaitu gajaran dalam bentuk wang tunai.
Pujian harus diberikan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA yang diketuai Yeow kerana telah mengambil inisiatif mengadakan roadshow ke seluruh negara untuk memberi taklimat mengenai penawaran opsyen itu.
Berdasarkan maklumat dalam laman web bahagian itu, sebanyak 15 tempat dipilih dan dimulakan di UKM Bangi pada 6 Januari lalu dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada hari yang sama.
Semasa memberi taklimat, Omar menyeru kepada kakitangan awam supaya menjadikan tahun 2009 ini sebagai tahun penjenamaan semula perkhidmatan awam melalui penambahbaikan supaya lebih produktif dan efisien.
Pekerja harus bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat supaya perkhidmatan yang diberikan itu memberi kepuasan kepada pelanggan.
Malah beliau mahukan supaya pada tahun ini segala rungutan dan aduan daripada masyarakat mengenai perkhidmatan awam melalui Biro Pengaduan Awam dapat mencapai apa yang dikatakan sebagai 'sifar' rungutan dan aduan.
Menurut Omar, ini semua semata-mata untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa kakitangan awam benar-benar berterima kasih atas banyak penambahbaikan yang dilakukan terhadap skim perkhidmatan awam.
Peluang
Perkembangan yang berlaku menunjukkan kerajaan telah memberi peluang kedua kepada kakitangan skim KWSP untuk membuat pilihan. Mereka mempunyai tempoh masa selama sebulan iaitu sehingga 31 Januari ini untuk mengisi borang opsyen ke skim pencen.
Gunakanlah masa yang ada itu untuk membuat keputusan yang tepat dan betul. Ini kerana sebarang keputusan yang dibuat bakal mempengaruhi dan mencorak masa hadapan kakitangan sendiri, isteri atau isteri-isteri, suami, serta anak-anak semasa sedang berkhidmat dan masa persaraan kelak.
Persoalannya, adakah wang yang dikumpul dalam KWSP yang diterima sekali gus itu mempunyai nilai yang sama pada waktu persaraan kelak? Bagaimana pula dengan bayaran perubatan terutama bagi yang menghidap penyakit kritikal yang didapati semakin mahal? Mahukah meninggalkan orang yang tersayang tanpa adanya jaminan wang bulanan untuk meneruskan kehidupan mereka? Maka, mungkin skim pencen adalah jawapan kepada persoalan-persoalan di atas.
Ingatlah, tidak ada lagi peluang ketiga selepas ini.

Tiada ulasan: