SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 Januari 2009

CUEPACS TOLAK SEBAHAGIAN PAKEJ PTK

Utusan Malaysia
11/1/2009

SUNGAI PETANI 10 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mengadakan mesyuarat khas hari ini mencapai kata sepakat tidak akan menerima keseluruhan pakej butiran pindaan ke atas Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 1 Januari lalu.
Presidennya, Omar Osman berkata, tindakan berkenaan dibuat memandangkan kebanyakan ahli melahirkan rasa kurang senang dengan surat pekeliling bernombor 19/2008 tersebut yang didakwa tidak dibincangkan dengan kongres.
"Dalam perbincangan ini, kita hanya terima dua pekeliling iaitu melibatkan pengurangan cuti lima hari bagi kakitangan lantikan baru 1 Januari 2009 dan penambahan cuti ganjaran tahunan 150 hari.
"Sementara itu, surat pekeliling pindaan PTK 19/2009, kita tidak terima secara keseluruhan kerana 40 peratus daripada 34 perkara yang dikemukakan itu tidak memuaskan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis mesyuarat khas CUEPACS yang dihadiri 99 ahli gabungan persatuan di sini hari ini.
Pada 16 Disember lalu, CUEPACS menerima surat pekeliling butiran pindaan ke atas PTK setebal 27 muka surat dengan 34 perkara daripada JPA untuk diteliti dan dibincangkan dalam kalangan 120 kesatuan di bawah naungannya.
Antara butiran tersebut ialah setiap jabatan kerajaan diberi kuasa menetapkan corak peperiksaan dan penilaian ke atas kakitangan mengikut panduan pelaksanaan PTK untuk dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.
Dengan pindaan itu juga, kakitangan tidak perlu menduduki peperiksaan yang tidak bersesuaian dengan pekerjaan, pengalaman dan usia, sebaliknya mengikut keperluan di jabatan masing-masing.

Tiada ulasan: