SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

28 Januari 2009

PTK MASIH ADA KELEMAHAN GEORGE TOWN

Sinar
28/1/2009



Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang melalui proses penambahbaikan tahun lalu perlu dikemas kini lagi kerana masih ada beberapa kelemahan. Bagi tujuan itu, Cuepacs menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menyediakan kertas cadangan bagi kelulusan jawatankuasa tertingginya sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut selewat-lewatnya pada bulan depan. Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, hampir 40 peratus daripada syarat atau kandungan PTK tidak dipersetujui kerana tidak membantu kakitangan mencapai sasaran meningkatkan kecekapan, kemahiran atau prestasi kerja. Sebagai contoh, kakitangan hanya dibenar menduduki peperiksaan PTK dua kali dalam setahun iaitu mengulang semula jika gagal kali pertama. Sebelum ini mereka bebas untuk menduduki pada bila-bila masa iaitu empat kali setahun. “Kakitangan yang mendapat Tahap Empat tidak mendapat anjakan gaji atau kenaikan pangkat secara automatik tetapi tertakluk kepada prestasi baik selama tiga tahun berturut-turut serta mendapat sokongan ketua jabatan. Ia juga bergantung kepada kekosongan jawatan,” katanya dalam sidang media selepas bertemu dengan kakitangan awam Pulau Pinang di Komtar semalam. Menurutnya, Cuepacs juga mencadangkan agar kakitangan yang berkhidmat lebih 25 tahun dikecualikan daripada menduduki peperiksaan PTK, yang mula diperkenalkan pada 2002, sebaliknya penilaian dibuatkan berdasarkan pengetahuan dan kemahiran bidang tugasnya seperti yang ditetapkan untuk perkhidmatan ikhtisas termasuk doktor. Beliau berkata kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK atas faktor usia berbanding kakitangan muda yang baru menamatkan pengajian tetapi faktor lain boleh diambil kira seperti pengetahuan, kemahiran serta membantu meningkatkan prestasi atau produktiviti organisasi. Beliau berkata matlamat Cuepacs adalah untuk memastikan setiap kakitangan awam mendapat sekurang-kurangnya satu anjakan gred yang lebih baik sebelum menamatkan tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan seperti dari gred 17 ke 22, 26 atau dari gred 41 ke 44.

Tiada ulasan: