SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

12 Mei 2010

KUALITI, PRODUKTIVITI MESTI JADI PENANDA ARAS SUMBANGAN PEKERJA

Berita Harian
Oleh Jami'ah Shukri
jamiah@bharian.com.my
2010/05/01




Kementerian Sumber Manusia cadang ubah sistem latihan sektor awam, swasta bantu warga kerja tingkat kemahiran, pengetahuan SEMPENA hari pekerja hari ini, kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia mahu warga kerja sama ada di sektor awam atau swasta lebih berdaya saing dan berkemahiran sejajar dengan misi Model Ekonomi Baru (MEB) yang mahukan pekerja meningkat keupayaan diri. Tema kali ini ialah 'Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi'.

Pihak kesatuan sekerja terutama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula menjadikan sambutan Hari Pekerja kali ini dengan mesej untuk meneruskan tuntutan lain yang masih tertunggak khususnya penambahbaikan Skim Gred Perkhidmatan Sektor Awam. Tema yang dipilih kesatuan ini ialah Kebajikan Cemerlang Gagasan Malaysia Terbilang. Apa pun, Hari Pekerja setiap 1 Mei, seharusnya memberi erti besar kepada pekerja atas sumbangan dan pengiktirafan mereka terhadap pembangunan negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pihaknya bersyukur di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mencatat banyak pencapaian membanggakan khususnya dalam suasana kelembapan ekonomi hingga negara kita tetap unggul sebagai negara aman makmur, harmoni dan meletakkan Malaysia di landasan betul di persada dunia. Kerajaan juga sentiasa prihatin merangka strategi untuk mewujudkan keseimbangan, menjaga kesejahteraan dan keselamatan pekerja yang begitu banyak menyumbang bakti kepada pembangunan negara. “Kita akui kemakmuran dan keharmonian itu hasil kerjasama erat antara pekerja, majikan dan kerajaan. Oleh itu, semua pihak perlu mengekalkan kefahaman pintar sebagai model terbaik negara untuk terus bergerak ke hadapan. Bagi merealisasikan matlamat itu tenaga kerja negara wajar menguasai kepakaran,” katanya. Subramaniam berkata, kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang menjadi tuntutan utama ketika ini untuk memastikan situasi baik dan mampu berdaya saing setanding pekerja di negara maju. Dalam konteks ini, Kementerian Sumber Manusia sebagai peneraju pembangunan dan pengurusan sumber manusia negara sentiasa memainkan peranan membantu membangunkan tenaga mahir, mewujudkan peluang pekerjaan, menjamin kebajikan, keselamatan, hak pekerja serta keselamatan sosial mereka. “Sempena Hari Pekerja, saya merakamkan penghargaan kepada warga pekerja sama ada dalam sektor awam atau swasta yang memberi sokongan kepada kerajaan di bawah gagasan 1Malaysia,” katanya. Sejajar dengan MEB, seluruh warga pekerja sepatutnya dilengkapi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pekerjaan masing-masing bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih dua atau tiga kali ganda berbanding sekarang. Oleh itu, kementerian akan memberi penekanan dengan menyediakan peluang lebih luas kepada pekerja untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan pada pelbagai peringkat. Kementerian tetap optimis dengan latihan kemahiran dan pengetahuan tinggi dibekalkan itu, mampu meningkatkan produktiviti, sekali gus dapat menambah keuntungan kepada syari kat dan memberi gaji lebih tinggi kepada pekerja. Namun, tidak semua datang bergolek, apa yang penting kementerian akan melakukan perubahan sistem latihan dalam institusi kerajaan dan swasta. Kurikulum dan isi kandungan latihan kemahiran pula perlu selaras antara kedua-dua sektor dengan mengutamakan keperluan semasa. Kerjasama erat antara kerajaan, pekerja dan majikan perlu terus terjalin erat dengan masing-masing saling melengkapi bagi menyumbang tenaga ke arah produktiviti negara. Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman mahu kakitangan sektor awam meliputi 1.2 juta memberi fokus untuk meningkatkan integriti, kualiti dan produktiviti dalam bidang tugas masing-masing bagi menghapuskan persepsi lapuk masyarakat bahawa penjawat awam tidak cekap dan kerap terbabit dengan rasuah. Kerjasama Cuepacs dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah dalam sektor awam memberikan suntikan baru supaya ia tidak terus berada pada tahap kritikal. “Sepanjang tahun lalu, 41 peratus kakitangan sektor awam didapati terbabit dengan gejala rasuah. Oleh itu, tahun ini, tumpuan kita mengesan siapa pemberi rasuah itu,” katanya. Sempena Hari Pekerja, katanya, Cuepacs tetap mengharapkan ada berita baik diumumkan sebagai insentif dan memberikan semangat kepada pekerja untuk memberikan perkhidmatan lebih cemerlang, selain meneruskan tuntutan lain yang masih tertunggak khususnya penambahbaikan Skim Gred Perkhidmatan Sektor Awam. Dalam apa juga kemelut dihadapi, Malaysia dianggap bertuah kerana tidak timbul huru-hara atau demonstrasi besar-besaran antara kerajaan, kesatuan sekerja, pekerja dan majikan dalam merealisasikan tuntutan berkaitan kebajikan seperti kenaikan gaji untuk kepentingan ahli masing-masing. Justeru, pihak kesatuan perlu lebih realistik dalam sebarang tuntutan mereka demi kepentingan ahlinya dan bukan mencampuradukkan perjuangan kesatuan dengan agenda politik dan platform memecah-belah antara golongan pekerja dan kerajaan. Bagi pekerja, sewajarnya tidak hanya 1 Mei dijadikan penanda aras terhadap sumbangan mereka kepada syarikat dan pembangunan negara, sebaliknya perlu juga mengukur keupayaan pada badan sendiri adakah gaji atau pendapatan diterima itu selari dengan kualiti, produktiviti, kemahiran dan pengetahuan? Wajarkah mereka terus mendesak untuk menuntut gaji yang tinggi dan insentif lain sedang kemampuannya masih di takuk lama? Selamat Hari Pekerja.

Tiada ulasan: