SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

29 Mei 2010

TAK PERLU SIJIL CUTI SAKIT JIKA DOKTOR CUKUP - MTUC

Berita Harian
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2010/05/28





Cadangan wajar dilaksana sekiranya kebajikan pekerja terbela KUALA LUMPUR: Cadangan pekerja tidak perlu mengemukakan cuti sakit (MC), sebaliknya memaklumkan kepada majikan hanya akan dapat dilaksanakan jika negara mempunyai doktor mencukupi serta kebajikan dan pendapatan pekerja terbela.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamad, berkata sekiranya gaji pekerja di negara ini berada pada tahap maksimum maka cadangan berkenaan wajar dilaksanakan.
“Kita perlu melihat dari aspek doktor, apakah doktor yang ada hari ini mencukupi, seorang doktor nisbahnya untuk berapa ramai rakyat. Tahap perubatan di negara kita juga perlu berada pada tahap terbaik dan ini tidak bermakna hari ini kita tidak berada pada tahap yang baik. “Kalau kita masih berdepan dengan masalah penjagaan kesihatan, bagaimana kita mahu melaksanakannya. Kebajikan dan gaji pekerja juga mesti pada tahap sepatutnya barulah mereka boleh hidup tanpa tekanan dan kesihatan juga terjamin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Sebelum ini, Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan kaedah di negara maju yang pekerja mereka tidak perlu mengemukakan MC sebaliknya memadai dengan hanya memberitahu majikan yang mereka tidak dapat bekerja apabila sakit. Presiden Kesatuan Sekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad, Abdul Razak Md Hassan, berkata cadangan itu boleh dilakukan jika sikap pekerja negara ini sama seperti negara maju. Abdul Razak berkata, negara boleh mengikut jejak langkah negara maju yang melaksanakan sistem berkenaan, namun perlu ada persediaan dan perubahan sikap terlebih dulu sebelum melaksanakannya. “Satu kajian yang menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengadakan perbandingan antara kebaikan dan keburukan pelaksanaan sistem berkenaan, serta perbandingan sikap pekerja negara ini dan negara maju. “Juga satu definisi tepat mengenainya perlu ada, kita bimbang pelaksanaan cadangan itu terutama membabitkan bidang perkhidmatan akan menjejaskan produktiviti dan pendapatan syarikat. Bagaimanapun, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata cadangan terbabit boleh dilaksanakan sekiranya negara mempunyai mekanisme khusus bagi menyelaraskan sistem berkenaan. “Negara maju mereka sudah ada sistemnya yang tersendiri termasuk teknologi, bagi melaksanakannya kita perlu ada sistem hubungan antara majikan dengan pekerja dan hospital dengan majikan terlebih dulu,” katanya.

Tiada ulasan: