SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

15 Mei 2010

PM: TRANSFORMASI BESAR AKAN BERLAKU

Utusan Malaysia
15/5/2010



PUTRAJAYA 14 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya transformasi besar akan berlaku di negara ini jika momentum ekonomi dan program transformasi kerajaan dapat dipupuk dan diperkukuhkan.
Perdana Menteri menegaskan, sebab itu tempoh 10 tahun akan datang ini memerlukan semua pihak terutama para penjawat awam menunjukkan kecergasan dan kehebatan luar biasa dalam menggalas cabaran mencapai matlamat negara maju 2020.
Beliau menarik perhatian bahawa Malaysia ketika ini belum mencapai peringkat kemantapan tetapi dalam perjalanan untuk merapati fasa akhir negara maju.
''Kita sudah dekat dengan garis penamat, kita kena pecut dan bukannya sudah habis angin... tercungap-cungap.
''Saya tidak mahu sesiapapun memperlekehkan Malaysia dan sedikit sebanyak apabila saya jumpa Presiden (Barack) Obama (baru-baru ini), saya tidak fikir dia bagi pertemuan dua hala dengan saya kalau dia tidak lihat Malaysia ini negara yang stabil dan berjaya.
''Dalam hal ini, kita perlu menjadi kerajaan yang berkesan supaya dapat mengisi jangkaan dan harapan rakyat yang semestinya semakin kritikal. Oleh itu tanda aras kita mesti global, kelas dunia dan bukan sekadar slogan," kata Najib.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Awam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman dan beberapa menteri Kabinet.
Dalam aspek ini, Perdana Menteri turut menjelaskan maksud kerajaan berkesan yang ingin dilihat oleh beliau berlaku iaitu berkesan pada peringkat makro (keseluruhan) dan berkesan dari segi memenuhi jangkaan dan harapan rakyat.
''Ini kerana dari sudut makro penting kerana kalau (kerajaan) tidak diuruskan dengan baik dan tepat, maka sesebuah negara boleh terjerumus dalam lembah yang tidak menentu dengan pelbagai masalah dalaman seperti rusuhan.
''Perkara ini (rusuhan) tidak terbatas di negara membangun tetapi juga berlaku di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang tidak sepatutnya terjadi seperti di Greece yang dibebani masalah hutang," katanya.
Kata beliau: ''Apabila kerajaan tidak diuruskan dengan baik, maka yang sengsara adalah rakyat dan pekerja.
''Sebab itu soal dalam menghasilkan kerajaan yang berkesan ini menjadi tanggungjawab bersama dan Alhamdulillah, berkat kerjasama bekerja sebagai satu pasukan, pertumbuhan ekonomi dalam suku pertama tahun ini melonjak kepada 10.1 peratus."
Menurut Perdana Menteri, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu bukan kerana dasar fiskal, kewangan dan usaha kerajaan semata-mata tetapi juga disebabkan bantuan serta komitmen para penjawat awam.

Tiada ulasan: