SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

06 Mei 2010

SPRM PERLU TUMPU ASPEK PENYELIDIKAN

Berita Harian
Oleh Mohd Anwar Patho
Rohmanwananwar@bharian.com.my
2010/05/06

Laporan, fakta tepat elak salah penilaian CPI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran mewujudkan 'hubungan mesra' dengan pihak penilai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) supaya mereka dapat memberikan laporan tepat mengenai usaha suruhanjaya itu menangani gejala rasuah di negara ini.
Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, berkata tanpa hubungan baik itu, pihak penilai CPI seperti Tranparency International (TI) dalam dan luar negara mungkin akan membuat laporan tidak tepat mengenai gejala rasuah di Malaysia.
“Kita menggalakkan SPRM mengambil pendekatan mendekati pihak membuat penilaian rasuah kita kerana CPI kita sering dipertikai oleh penilai sama ada dari dalam atau luar negara. “Mungkin disebabkan ketiadaan hubungan rapat ini, penyelidik mereka tidak membuat penyelidikan yang betul sehingga membuat kesimpulan yang salah terhadap CPI kita,” katanya pada sidang media di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, semalam. Mengulas lanjut, Hadenan berkata, selain SPRM, kerajaan juga wajar memberikan fakta tepat dan menjelaskan kepada masyarakat termasuk badan penilai rasuah mengenai CPI. Katanya, panel berkenaan turut mencadangkan SPRM mewujudkan unit penyelidikan mengenai bidang yang berisiko berlaku rasuah. “Sudah sampai masa SPRM memantapkan lagi penyelidikan untuk membolehkan mereka membuat kerja lebih berkualiti,” katanya. Sementara itu, katanya, panel penilaian secara keseluruhannya menerima dengan positif laporan operasi SPRM dan berharap suruhanjaya itu akan menjadi agensi penguatkuasaan yang bebas, telus dan profesional. Hadenan berkata, panel penilaian turut berbangga dengan peningkatan kesedaran penjawat awam untuk tidak terbabit dalam rasuah bagi tempoh 2005 hingga 2009.

Tiada ulasan: