SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Jun 2008

CUEPACS , MTUC MAHU PENDAPATAN SEKURANG-KURANGNYA RM3,500 LAYAK DIKIRA KUALA LUMPUR

Dari Akhbar Berita Harian
Oleh Nahar Tajri
14/6/2008

Dua kesatuan sekerja yang mewakili kakitangan awam dan swasta meminta kerajaan menaikkan kadar gaji minimum yang dikenakan cukai pendapatan kepada RM3,500 hingga RM5,000 sebulan bagi meringankan beban kakitangan sektor itu selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan Rabu lalu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata langkah itu lebih baik daripada mengurangkannya kerana kadar sedia ada RM2,500 dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
"Berdasarkan kepada keadaan sekarang gaji RM2,500 sudah dianggap kecil dan tidak layak dikenakan cukai pendapatan. Mereka yang berpendapatan sebanyak itu sekarang sudah tidak sama dengan keadaan beberapa tahun dulu selepas berlaku kenaikan harga minyak dan barang keperluan yang menyebabkan kos sara hidup meningkat mendadak. "Kami mencadangkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM3,500 untuk dikenakan cukai pendapatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau bagaimanapun menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji bagi mengurangkan cukai pendapatan dan menyifatkannya sebagai kesediaan kerajaan untuk membuka ruang bagi membolehkan perkara itu dibincangkan.
"Ia satu perkembangan baik dan kita akan berbincang dulu pada peringkat kesatuan sebelum membuat tindakan selanjutnya," katanya. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata kadar gaji minimum dikenakan cukai pendapatan patut dinaikkan kepada RM5,000 sebulan berdasarkan kepada kos sara hidup yang tinggi. "Jika dibandingkan dengan keadaan semasa dan kos sara hidup tinggi gaji antara RM2,500 hingga RM4,500 sudah tidak dianggap lumayan dan ia boleh dikira rendah bagi pekerja swasta di negara ini. "Oleh itu, kami cadangkan kadar minimum gaji sebulan dikenakan cukai pendapatan dinaikkan kepada RM5,000 kerana ia lebih bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan kerajaan akan menimbang kemungkinan mengurangkan cukai pendapatan individu dalam Bajet 2009 bagi membantu meringankan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dan makanan. Selain itu, Bajet 2009 juga akan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam, termasuk kemungkinan memperkenalkan perkhidmatan bas ekspres di lebuh raya utama dengan menjadikan kawasan rehat dan rawat (R&R) sebagai terminal atau perhentian.

GAJI DUA KALI SEBULAN KURANGKAN BEBAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia
14/6/2008

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pembayaran gaji dua kali sebulan kepada pegawai dan kakitangan awam mulai Ogos ini, mampu meringankan beban kewangan mereka ekoran kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan.
Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan yang tepat pada masanya.
Presidennya, Omar Osman berkata, ia adalah langkah baik yang akan membantu pekerja sektor awam menguruskan kewangan mereka secara bijak.
"Ia akan dapat mengurangkan mereka yang bergaji sederhana yang terpaksa ikat perut setiap bulan kerana kehabisan gaji di tengah bulan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang mengumumkan langkah tersebut bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api.

13 Jun 2008

KOS HIDUP TINGGI JEJAS PRODUKTIVITI

Petikan dari Akhbar Berita Harian
13/6/2008


KUALA LUMPUR: Cuepacs menerima lebih 500 panggilan daripada penjawat awam yang mengadu terpaksa mencatu perbelanjaan bulanan mereka kesan peningkatan mendadak harga barang makanan antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.

Presidennya, Omar Osman, berkata walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mengumumkan tiada lagi kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini tetapi kenyataan itu tidak mampu mengembalikan keresahan dan tekanan rakyat.

Katanya, kesan kenaikan harga barang dipercayai akan mempengaruhi keputusan peperiksaan umum kerana ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak mereka daripada kelas tuisyen.



“Yuran tuisyen yang diperuntukkan antara RM200 hingga RM400 sebulan sebelum ini terpaksa dikorbankan bagi menampung perbelanjaan harian untuk membeli bahan makanan asas dan mengisi minyak kenderaan.

“Kebanyakan mereka terlalu tertekan dengan masalah kenaikan harga barang dan aduan yang diterima menunjukkan masing-masing seperti sudah hilang punca, sekali gus menyebabkan pekerja hilang tumpuan di pejabat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan kabinet semalam bahawa harga pasaran petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata kenyataan Perdana Menteri mengenai pengekalan harga minyak sehingga tahun ini bagaikan keputusan tidak pasti.

“Semua orang tahu mengenai krisis harga minyak dunia dan ramai menjangkakan harga minyak terus meningkat, macam mana nak selaraskan dengan perbelanjaan kerajaan yang semakin naik.

“Kalau betul boleh selaraskan, semua rakyat akan gembira tetapi sekiranya kenyataan itu hanya untuk mengurangkan keresahan rakyat, tidak perlu berbuat demikian,” katanya.

ANSURAN DUA KALI SEBULAN TIDAK BANTU KURANGKAN BEBAN RAKYAT: CUEPACS

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
13/6/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs berpendapat pembayaran gaji dua kali sebulan bagi kakitangan awam bukan cara efektif menyelesaikan masalah rakyat berikutan kenaikan harga minyak. "Cuepacs mencadangkan satu mekanisme lain, yang terbaik dan berkesan, bagi membantu mereka," kata Presidennya, Omar Osman yang menyambut baik usaha kerajaan mahu membantu meringankan beban kewangan rakyat. “Jika diberi ansuran dua kali sebulan, mereka yang berpendapatan RM5,000 atau RM6,000 tidak rasa kesannya tapi mereka yang bergaji RM3,000 ke bawah yang meliputi 650,000 pekerja akan rasa bebanannya,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata bayaran gaji secara ansuran jika dilaksanakan secara 50/50 dilihat boleh menambah masalah kerana rakyat akan berbelanja dengan lebih boros jika tidak diuruskan dengan betul. Omar sebaliknya mengusulkan kemungkinan kerajaan boleh melaksanakan ansuran gaji secara 30/70. Omar berkata Cuepacs tidak pernah dipanggil memberi pandangan terhadap isu berkenaan. - Bernama

KAKITANGAN AWAM WAJAR PILIH CARA PEMBAYARAN GAJI

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
13/6/2008

PEMBAYARAN gaji dua kali sebulan kepada kakitangan sektor awam yang dicadangkan bermula Ogos ini, adalah usaha terbaru kerajaan bagi mengurangkan bebanan rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak sebanyak 40 peratus, minggu lalu. Kaedah gaji dua kali sebulan memang sudah lama diamalkan pihak swasta bagi memastikan kakitangannya tidak berhadapan dengan beban kewangan ketika bertugas, manakala kehidupan lebih terurus tanpa menjejaskan produktiviti harian syarikat. Usaha kerajaan itu dilihat mempunyai tujuan sama, iaitu supaya kakitangan awam tidak tertekan berikutan kemelut ekonomi yang menyebabkan harga barang keperluan dan perkhidmatan meningkat. Bagaimanapun, kita berharap kajian teliti dibuat dengan mengambil kira pandangan kakitangan awam sendiri supaya ia tidak mengundang masalah baru selepas itu. Kita bimbang langkah itu menimbulkan masalah lain bukan saja kepada agensi kerajaan, malah turut memberi kesan negatif kepada kakitangan awam, terutama golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak bijak mengurus kewangan sendiri. Bagi golongan berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, mereka hanya mampu menerima sekitar RM600 hingga RM700 untuk dua minggu pertama. Bagi mereka yang tidak bijak menguruskan kewangan sendiri, wang sejumlah itu tidak akan cukup mereka gunakan untuk kelangsungan kehidupan, terutama pada pertengahan bulan. Berbeza dengan syarikat swasta yang sudah melaksanakan langkah itu, kakitangannya diberi pilihan sama ada untuk menerima gaji setiap dua minggu atau sebulan sekali. Mereka yang berasakan mampu menguruskan kewangan, biasanya mengambil skim setengah bulan, manakala yang bimbang kerana sifat boros boleh mengambil gaji sebulan sekali. Kumpulan kakitangan bergaji tinggi mungkin tidak berhadapan dengan masalah sekiranya skim berkenaan dilaksanakan. Yang kita khuatir ialah keupayaan majoriti kakitangan berpendapatan rendah dan sederhana yang sejak sekian lama menerima gaji pada akhir minggu setiap bulan, gagal mengurus kewangan mereka bila sistem gaji dua kali sebulan diperkenalkan. Kita juga berharap cadangan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya pembahagian mengikut kadar 30:70 diambil kira bagi memastikan mereka yang kurang berhemah berbelanja, masih mempunyai baki yang agak banyak pada akhir bulan. Selain itu, kerajaan harus memberi peluang kepada kakitangan untuk memilih sama ada mahu menerima gaji sekali atau dua kali sebulan. Kerajaan mempunyai waktu untuk memastikan pelaksanaan pembayaran gaji dua bulan sekali ini tidak menimbulkan rungutan kakitangan awam. Bagaimanapun, soal gaji sekali atau dua kali sebulan tidak menimbulkan masalah jika kakitangan awam sentiasa berhemah dalam mengurus kewangan mereka. Kita berharap bukan saja kakitangan awam, malah rakyat keseluruhannya menyusun semula corak perbelanjaan mereka dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang sekarang. Apa yang penting bukan isu gaji dibayar satu atau dua kali sebulan, tetapi bagaimana merancang kewangan yang terbatas untuk mengimbangi kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kita tidak mahu kemudahan gaji dua kali sebulan menyebabkan pekerja mengeluh kerana tidak dapat melunaskan hutang dan pinjaman yang biasanya dibuat pada akhir bulan. Sikap berjimat-cermat serta tidak membazir sama ada wang, makanan, waktu atau tenaga adalah amalan yang harus diamalkan sepanjang masa, bukan ketika menghadapi masalah saja.

CUEPACS SYOR BAYAR GAJI 30:70

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
Oleh Amin Ridzuan Ishak
13/6/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs mahu pembayaran gaji kakitangan awam secara dua ansuran yang akan dilaksanakan mulai Ogos depan, diubah mengikut mekanisme 30:70 bagi mengelakkan pekerja kehabisan wang pada setiap awal bulan. Presidennya, Omar Osman, berkata menerusi mekanisme itu 30 peratus daripada gaji kakitangan awam dibayar pada pertengahan bulan, manakala baki 70 peratus lagi pada akhir bulan. Katanya, pembayaran gaji mengikut mekanisme itu boleh mengelakkan kakitangan awam mengalami sindrom kehabisan wang pada setiap awal bulan.
"Kalau pembayaran dilakukan mengikut mekanisme 50:50, kakitangan gred rendah yang menerima gaji sekitar RM1,000 akan mengalami kesukaran kerana sebahagian besar gaji pada hujung bulan dibelanjakan untuk membayar bil dan potongan wajib seperti cukai pendapatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau membuat cadangan itu ketika mengulas keputusan kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam secara dua ansuran, iaitu separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan manakala separuh kedua pada hujung bulan atau 50:50. Potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula akan dilakukan pada hujung bulan.
Keputusan itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin, bertujuan membantu pengurusan perbelanjaan serta aliran tunai kakitangan awam berikutan kenaikan harga minyak, baru-baru ini. Sambil menyambut baik pengumuman itu, Omar berkata, kakitangan awam yang tidak setuju dengan kaedah pembayaran gaji berkenaan, boleh menyimpan gaji pertengahan bulan dan menggunakannya pada hujung bulan. Sementara itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bersetuju dengan mekanisme itu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada cara hidup kakitangan gred rendah. Setiausahanya, A Munian dalam satu kenyataan media berharap kerajaan menimbang semula pelaksanaannya kerana kakitangan gred rendah sudah biasa dengan sistem bayaran hujung bulan dan menganggapnya sebagai paling sesuai.

12 Jun 2008

JPA DIMINTA BUAT KEPUTUSAN BERHUBUNG KAKITANGAN SOKONGAN BUAT KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Bernama
12/6/2008

KUALA LUMPUR, 10 Jun 10 (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diminta supaya membuat keputusan segera bagi membenarkan pekerja kumpulan sokongan melakukan kerja sambilan selepas waktu pejabat.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata ia sebagai penyelesaian tetap atau jangka panjang dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang."Kita sedang mengkaji perkara ini dan akan mengeluarkan butiran terperinci mengenainya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mesyuarat dan bengkel kemiskinan Asia Timur ketujuh di sini, Selasa.Beliau diminta mengulas cadangan Cuepacs supaya kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.Presidennya Omar Osman berkata langkah itu bertujuan bagi memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.Sementara itu dalam ucapannya, Amirsham berkata kadar kemsikinan di negara ini menurun kepada 7.5 peratus pada 2000 berbanding 52.4 peratus pada 1970 dan 17.1 peratus pada 1990."Pada 2007 pula, kadar kemiskinan berkurangan kepada 3.6 peratus. Bagi kemiskinan tegar, ia berkurangan kepada 0.7 peratus pada tahun yang sama," katanya.-- BERNAMA

GAJI DUA KALI SEBULAN KURANGKAN BEBAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia
12/6/2008

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pembayaran gaji dua kali sebulan kepada pegawai dan kakitangan awam mulai Ogos ini, mampu meringankan beban kewangan mereka ekoran kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan.
Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan yang tepat pada masanya.
Presidennya, Omar Osman berkata, ia adalah langkah baik yang akan membantu pekerja sektor awam menguruskan kewangan mereka secara bijak.
"Ia akan dapat mengurangkan mereka yang bergaji sederhana yang terpaksa ikat perut setiap bulan kerana kehabisan gaji di tengah bulan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang mengumumkan langkah tersebut bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api.

11 Jun 2008

BERI GALAKAN BEKERJA SAMBILAN

Petikan Dari Utusan Malaysia
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
11/6/2008

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat memberi kelonggaran kepada kakitangan awam untuk bekerja sambilan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata, kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah, seharusnya diberi peluang daripada dulu lagi untuk bekerja sambilan bagi menampung kenaikan harga barang.
Katanya, kakitangan awam boleh bekerja selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu tidak kira dalam sektor swasta atau awam.
''Mereka boleh bekerja sebagai operator telefon, pengawal keselamatan dan penyambut tetamu, sekurang-kurangnya dalam jangka masa tiga hingga empat jam.
''Apa yang penting pada masa ini adalah masyarakat sendiri perlu merebut peluang tersebut bagi meningkatkan pendapatan untuk jangka masa panjang,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perundingan dan bengkel serantau mengenai pengawasan kemiskinan dan kesan, sempena Analisis Kemiskinan dan Inisiatif Data (PADI) peringkat Asia ke-7 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pakar Ekonomi Dunia, Shahid Khandker dan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob.
Sabtu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Amirsham berkata, dalam suasana ekonomi yang mencabar kini, kerajaan banyak menyediakan program membasmi pendapatan rendah bagi membantu golongan tersebut keluar daripada kelompok kemiskinan.
Jelas beliau, sejak program-program yang dilaksanakan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) semakin meningkat apabila berlaku penurunan sebanyak 6.7 peratus pada tahun 1971-1990.
Menurutnya, ia memperlihatkan penurunan setiap tahun apabila kadar kemiskinan semakin menurun kepada 3.6 peratus pada tahun 2007 daripada 5.7 peratus pada tahun 2004.
''Oleh itu, kini kerajaan lebih yakin sekiranya masyarakat terus bekerja keras supaya negara dapat membasmi kadar kemiskinan sebanyak 2.8 peratus pada tahun 2010," katanya.
Sementara itu, Amirsham memberitahu, bengkel yang diadakan itu bertujuan membasmi kemiskinan dengan mewujudkan program dan polisi untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, sejak bengkel seumpama itu dijalankan di beberapa buah negara, ia memberikan kesan yang memberangsangkan kepada rakyat dan KDNK negara.
''Empat faktor utama yang akan dibincangkan adalah bagaimana memberikan peluang pekerjaan yang lebih, meningkatkan pendapatan, pertumbuhan KDNK dan perancangan ekonomi untuk jangka panjang,'' ujarnya.
Beliau berharap dengan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini dan akan datang dapat membantu rakyat miskin menanggung kos sara hidup kini.

10 Jun 2008

TIGA JAWATANKUASA DITUBUHKAN TANGANI MASALAH INFLASI

Petikan dari Bernama
10/6/2008

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) -- Majlis Menangani Inflasi yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini bersetuju untuk mewujudkan tiga jawatankuasa bagi menangani masalah inflasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Beliau berkata jawatankuasa itu ialah jawatankuasa berkaitan dengan peningkatan kecekapan dalam menggunakan sumber-sumber tenaga.Ia akan turut dianggotai oleh individu lain yang ada kepakaran dalam syarikat atau agensi atau pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis tersebut di pejabatnya di sini.Selain itu, katanya jawatankuasa bagi menambah baik perkhidmatan bas di negara ini akan diwujudkan dengan mereka yang terlibat dalam industri itu menganggotainya.Abdullah berkata majlis itu turut bersetuju mewujudkan jawatankuasa media yang diketuai oleh Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini dilantik sebagai timbalannya.Perdana Menteri berkata jawatankuasa media itu berperanan menyebarkan maklumat keputusan yang dibuat oleh majlis itu.Mengulas mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata majlis itu terdiri daripada 28 anggota termasuk tujuh menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Mohd Annuar serta wakil Persekutuan Majikan Malaysia, Cuepacs, MTUC dan Fomca.Katanya mesyuarat hari ini berjalan dengan baik dengan pelbagai pandangan diberikan dan mesyuarat majlis itu akan diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tiap dua minggu.Ditanya sama ada kenaikan harga minyak akan dibuat sebulan sekali atau setahun sekali, Abdullah berkata: "Kerajaan sedang mengkaji perkara itu. Minyak naik cepat. Dulu (harga petrol pasaran tempatan) RM3 seliter. Sekarang RM3.45 seliter."Abdullah merujuk kepada harga petrol di pasaran tempatan sebanyak RM3 seliter ketika kerajaan mengumumkan pada Rabu lepas kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter harga di pam dengan 30 sen disubsidi oleh kerajaan.-- BERNAMA

PRICES INCREASE TO HAVE BIG IMPACT ON PEOPLE

From The Borneo Post
5/6/2008
KUCHING: The new price of petrol and diesel that was announced by Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yesterday will have a big impact on the people.
While some irresponsible eateries will increase the price of food and drinks, other traders will also increase the price of essential items. Trade enforcement officers and other relevant agencies will be working extra hard to see to it that no one increase prices according to their fancy.
President of Sarawak Teachers Union (STU) William Ghani Bina said even before the latest increase, prices of goods in Sabah and Sarawak were already very high.
“With the increase in fuel price, the government should take appropriate actions to lessen the burden of the people,” said Ghani, who is also the state Cuepacs chairman (Congress of Union of employees in the public service).
He said that STU, on its part, would help to monitor the prices of goods and give feedback to the relevant authorities.
He said even though the price of petrol was beyond the control of any government in the world, the government had to decide what action to take for the interest of the people.
Ghani, who is also chairman of Sabah-Sarawak Joint Committee Teachers Union pointed out that the government should look at alternative ways to lessen the burden of the rural people, who would be the hardest hit by the latest (price) increase.
He also suggested that the government devised special subsidy scheme for government officers, who had little choice but to drive quite a distance every single day to work.
Assistant Minister in the Chief Minister’s Department Datuk Daud Abdul Rahman, meanwhile said the people should accept the reality that the government had no choice, but to increase the petrol prices due to the spiralling price of the commodity in the global market.
Daud, who is also Assistant Minister of Industrial Development and Tupong assemblyman, said the price of petrol in Malaysia was still low, compared to some countries.
“For the lower income group of people, I believe the government has some mechanism to lessen their burden,” he said.
Sadong Jaya MP Nancy Shukri, also said the price hike of petrol and diesel would have big impact on the rural people, and that the government had to look for solution to help them.
She however said the increase was beyond the control of the (Malaysian) government or any government in the world for that matter, due to the global trend.

HAPUSKAN CUKAI PERKHIDMATAN, KERAJAAN DI RESTORAN

Oleh AU YEONG HOW
Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia
10/6/2008

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kerajaan disaran menghapuskan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas kedai makan dan restoran.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Mustafar Maarof berkata, kedua-dua cukai itu membebankan rakyat.
Ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata, dalam keadaan harga minyak yang melambung sekarang, rakyat menanggung kos sara hidup yang tinggi dan pengenaan cukai tersebut menambahkan lagi beban mereka.
“Kedua-dua cukai perkhidmatan dan kerajaan itu jika dicampur berjumlah 10 peratus dan ia menyebabkan harga makanan di restoran mahal sehingga memberi kesan terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Mustafar memberikan contoh, makanan yang berharga RM45 di restoran akan dikenakan cukai sebanyak RM4.50 iaitu 10 peratus menyebabkan pengguna terpaksa membayar RM49.50.
Tegasnya: “Kadar cukai itu agak membebankan.”
Beliau mempersoalkan adakah cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan yang dibayar oleh pengguna itu sampai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengadakan dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dengan kesatuan sekerja bagi membincangkan penyelesaian terbaik dalam menghadapi kenaikan harga barang-barang keperluan.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman pula mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan pengenaan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan ke atas kedai makan dan restoran memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.
“Kerajaan boleh menimbangkan semula pelaksanaan cukai tersebut apabila ekonomi negara kembali pulih,” katanya.
Pada 4 Jun lalu, kerajaan telah meningkatkan perolehan jualan tahunan restoran di luar hotel yang dikenakan cukai perkhidmatan.
Dalam usaha untuk meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga bahan api, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan perolehan jualan tahunan restoran itu ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta
.

09 Jun 2008

K-TANGAN AWAM DIGESA BIJAK URUS BELANJA HARIAN

Petikan dari New Sabah Times
9th June, 2008


KOTA KINABALU: Kakitangan sektor awam di negeri ini digesa supaya bijak dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka ekoran kenaikan harga petrol dan diesel di negara ini
Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pe-kerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Cawangan Sa-bah, Pengiran Anak Pengiran Mubin, berkata pihaknya sedar bahawa dengan kenaikan harga petrol dan diesel itu anggota perkhidmatan awam terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk perbelanjaan harian mereka.
“Ini terutamanya kos membeli minyak kenderaan untuk mereka berulang alik daripada kediaman ke tempat kerja … malah ramai kakitangan awam yang tinggal jauh daripada tempat mereka bekerja dan ini sudah tentu akan menghadapi bebanan tambahan,”kataya di sini, kelmarin.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meng-umumkan pakej penstrukturan semula subsidi membabitkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70 sen, manakala harga diesel dinaikkan RM1 seliter daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.
Beliau berkata, ramai kakitangan sektor awam tinggal melebihi 30 kilometer daripada tempat kerja me-reka … kalau sebelum ini kos minyak kenderaan mereka antara RM300 hingga RM400 sebulan kini kos itu sudah meningkat antara RM500 hingga RM600 sebulan.
Bagimanapun, beliau berharap kakitangan awam di negeri ini menerima hakikat kenaikan harga petrol dan diesel itu seperti yang dijelaskan kerajaan ekoran kesan daripada ke-naikan harga minyak di pasaran dunia.
“Cuepacs Sabah beerharap jangan pula disebabkan kenaikan harga bahan api itu ada kakitangan awam di negeri ini melupakan tanggungjawab mereka dengan tidak hadir bertugas … tanggungjawab perlu dilaksanakan seperti biasa,” katanya.
Pengiran Anak juga berkata, jika perlu untuk menjimatkan kos membeli minyak yang tinggi, kakitangan awam boleh menggunakan kaedah berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja.
Beliau juga berkata, Cuepacs Sabah juga sedang mencari jalan terbaik untuk mengurangkan bebaban kakitangan sektor awam di negeri ini dan akan memberi cadangan kepada kerajaan untuk membentuk sektor awam terutamanya berkaitan dengan elaun yang perlu diberikan kepada mereka.
Sehubungan itu, beliau juga berharap kakitangan awam di negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan tindakan pihak-pihak tertentu terutamanya menyertai perhimpunan ha-ram bagi membantah kenaikan harga minyak itu.
“Kita ada saluran untuk mencari penyelesaian terbaik dan kerajaan tentunya akan mendengar apa yang kita suarakan itu jika ianya untuk kebaikan dan bukannya melalui perhimpunan haram yang hanya mendatangkan masalah terutamanya dari segi keselamatan,” tambahnya.

JPA DIMINTA KAJI BALIK BENAR KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
9 Jun 2008

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mengkaji cadangan membenarkan kakitangan awam bekerja sambilan selepas waktu pejabat bagi menambah pendapatan berikutan kenaikan harga api dan barangan baru-baru ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, berkata kajian itu antara lain bagi mengenal pasti kesan terhadap kualiti kerja kakitangan awam khususnya ketika kerajaan berusaha meningkatkan mutu penyampaian sektor awam. "Perkara ini memerlukan kajian kerana ia membabitkan prestasi dan kualiti kerja. Ia dikhuatiri menjejaskan sistem penyampaian sektor awam. Pada masa yang sama, kerajaan memahami tujuan Cuepacs mengemukakan cadangan itu, kerana ia dapat meringankan beban sara hidup kakitangan awam berikutan kenaikan harga minyak dan barang keperluan," katanya semalam.
Beliau mengulas cadangan Cuepacs meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat. Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji rendah menambah pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Katanya, kumpulan itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan bersih RM647 hingga RM1,600 tidak termasuk elaun sara hidup (Cola), elaun perumahan dan elaun khidmat awam.
Antara kerja sambilan boleh dilakukan ialah sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang, atendan pam minyak dan pencuci di kompleks beli-belah. Difahamkan, JPA menetapkan peraturan kerja sambilan hanya boleh dilakukan di luar waktu pejabat selepas mendapat persetujuan ketua jabatan dan tidak menjejaskan prestasi mereka.

KAKITANGAN AWAM DILARANG KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia
9 Jun 2008

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Sumber Manusia tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk membolehkan kakitangan kumpulan sokongan bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kakitangan awam tidak boleh melakukan kerja sambilan kerana ia telah terikat dengan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikhuatiri boleh mengganggu produktiviti mereka.
‘‘Jika kakitangan awam berterusan hendak melakukan kerja sambilan, mereka hendaklah berbincang dengan pihak JPA sendiri,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penyampaian Anugerah Hari Ibu anjuran sebuah akhbar harian dan Secret Garden di Hotel Nikko di sini hari ini.
Semalam, CUEPACS mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Menurut kongres itu, kakitangan awam bagi kumpulan P1 T1 kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Noraini menjelaskan, seseorang kakitangan awam tidak boleh melakukan pekerjaan sambilan walaupun ia tidak mengganggu produktiviti mereka.
Malah, katanya, kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu bagi tujuan mengurangkan beban yang mereka tanggung.
‘‘Kenaikan gaji itu diberi bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih tanpa perlu melakukan kerja sambilan,” ujarnya.

BENARKAN KAKITANGAN AWAM KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akbar Utusan Malaysia
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT


KUALA LUMPUR 7 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
“Kumpulan tersebut terdiri daripada mereka yang berpendapatan bulanan bersih antara RM647 hingga RM1,600 tidak termasuk tambahan elaun sara hidup (COLA), perumahan dan perkhidmatan awam.
“Mereka mungkin boleh dibenarkan bekerja sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang, atendan pam minyak dan pencuci di kompleks membeli-belah,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sesetengah daripada kakitangan awam dalam kumpulan tersebut telah melakukan pelbagai kerja sampingan sejak 25 tahun lalu bagi menampung kos kehidupan mereka.
Omar memberitahu, purata pendapatan yang diperoleh hasil daripada kerja sampingan itu ialah kira-kira RM600 sebulan dan ia dilakukan dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
Mereka juga mungkin bekerja pada cuti hujung minggu.
“Sebelum ini CUEPACS tidak menggalakkan mereka membuat kerja sambilan terutama selepas menerima kenaikan gaji pada Julai 2007 kerana bimbang ia akan menjejaskan produktiviti kerja mereka dalam sektor kerajaan.
“Bagaimanapun, keadaan sekarang sudah berubah. Semua kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk beras yang menyebabkan mereka perlu berbelanja dengan lebih teliti,’’ ujarnya.
Omar berkata, sekiranya hanya harga minyak naik, mereka boleh merancang perjalanan seharian tetapi apabila ia turut melibatkan harga barangan keperluan lain, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
“CUEPACS menerima lebih 500 aduan berhubung kesan kenaikan harga minyak dan kita sokong sekiranya kakitangan awam itu bekerja sambilan termasuk membawa teksi, menjadi pekerja kilang dan berniaga di pasar malam,’’ kata beliau.
Ditanya mengenai empat langkah yang bakal diumumkan oleh kerajaan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan harga minyak, Omar memberitahu, ia adalah satu cara yang berkesan dan amat dialu-alukan.
Katanya, penubuhan Majlis Inflasi Negara yang dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta, iaitu salah satu daripada langkah itu, bertepatan dengan masa ketika rakyat berdepan dengan krisis ekonomi dan makanan.
“Peranan Majlis Kawalan Harga Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu dipertingkatkan lagi supaya rakyat memahami fungsi yang dimainkan badan tersebut,’’ ujar Omar.

06 Jun 2008

REAKSI PEMIMPIN PERSATUAN

Sedutan dari Akhbar Berita Harian
6/6/2008

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan semalam mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak dengan ada yang menyifatkan ia agak tinggi walaupun kerajaan terpaksa mengambil langkah itu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, menyifatkan ia sebagai satu keputusan yang tidak dijangka sama sekali akan diambil kerajaan memandangkan tanggungan rakyat yang semakin meningkat dengan kenaikan barang sebelum ini. “Pada saya kenaikan ini membebankan kerana sebelum ini kita terpaksa menstruktur semula perbelanjaan ke tahap paling minimum dan dengan kenaikan petrol kini kita terpaksa memikirkan inisiatif lain untuk menghadapinya,” katanya.
Pengerusi, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat, berkata kenaikan ini terlalu tinggi dan akan menjejaskan aktiviti nelayan yang terpaksa menanggung kerugian kerana peningkatan kos operasi. “Saya bimbang ia akan menyebabkan nelayan tidak mampu ke laut kerana kosnya yang terlalu tinggi. Kita juga berharap kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan masyarakat nelayan mendapat pembelaan sewajarnya. Presiden Fomca, Datuk N Marimuthu, berkata ia adalah keputusan yang terpaksa diambil kerajaan bagi menghadapi masalah global ini dan diharapkan subsidi yang ditarik balik dapat disalurkan bagi membangunkan sektor penting dan memerlukan lebih peruntukan seperti pertanian.
“Pengguna perlu memahami bebanan yang ditanggung kerajaan kerana kenaikan harga minyak adalah masalah global dan kita perlu menghadapinya bersama-sama. Pengguna perlu berusaha mengubah gaya hidup bagi mengurangkan kesan kenaikan harga petrol,” katanya. Pemangku Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Wahid Bidin, menyambut baik pengumuman itu kerana subsidi yang ditarik balik membolehkan kerajaan memperuntukkan wang itu bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kebaikan rakyat terutama rakyat miskin.

05 Jun 2008

NGO BERI REAKSI BERBEZA

Oleh NORILA DAUD
Sedutan dari Akhbar Utusan Malaysia
5/6/2008

KUALA LUMPUR 4 Jun - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi reaksi berbeza berhubung pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga minyak yang berkuat kuasa tengah malam ini.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu menyifatkan kerajaan masih prihatin untuk membantu rakyat berpendapatan rendah walaupun harga petrol dinaikkan sebanyak 40 peratus mulai tengah malam ini.
Beliau berkata, kerajaan masih memberi subsidi kepada rakyat walaupun dijangka pada tahun 2013, negara tidak lagi menjadi pengeluar minyak.
"Sekurang-kurangnya, kerajaan membuat langkah seperti memberikan RM150 setahun kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin 250cc dan RM625 setahun kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick-up dan jip berkapasiti sehingga RM2,500.
"Kerajaan juga berjanji wang subsidi yang berlebihan itu akan diperuntukkan untuk kemudahan pengangkutan awam, pendidikan dan sektor awam,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenaikan harga petrol sebanyak RM0.78 seliter kepada RM2.70, berbanding RM1.92 sebelum ini yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya petang ini.
Menurut beliau, kenaikan harga petrol ini adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan.
Malah, katanya, negara India juga hari ini turut mengumumkan kenaikan petrol sebanyak 10 peratus di mana sebelum ini, negara berkenaan telah menaikkan harga bahan api itu beberapa kali.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan kenaikan harga petrol dan diesel itu yang akan memberi kesan buruk kepada kakitangan sektor awam yang berpendapatan rendah.
"Kakitangan sektor awam baru hendak menikmati keseimbangan pendapatan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan dan hari ini dikejutkan dengan kenaikan harga petrol dan diesel.
"Kenaikan harga bahan bakar ini hanya akan mendorong mereka membuat kerja sampingan dan tindakan itu hanya akan menjejaskan prestasi dan produktiviti mereka di tempat kerja,'' jelasnya.
Katanya, kenaikan harga petrol dan diesel ini sudah pasti akan membebankan mereka berikutan kos kehidupan yang akan melambung tinggi.
Bagaimanapun, menurutnya, CUEPACS akan mengadakan mesyuarat khas pada pertengahan Julai ini bagi membincangkan isu kenaikan minyak dan impak selepas setahun kenaikan gaji.
Sementara itu, tambah beliau, satu rumusan akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum 1 Ogos ini.
Beliau seterusnya menyatakan kesal terhadap tindakan kerajaan yang menaikkan harga bahan bakar itu secara mengejut tanpa mengadakan perbincangan dengan pihaknya atau pertubuhan berkaitan rasional kenaikan itu.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga minyak tidak dapat dikawal dan pengguna perlu lebih bijak berbelanja dan mengikut kemampuan.
"Kenaikan ini memang tak boleh dielakkan. Apa yang penting, rakyat perlu lebih berjimat dan berusaha mencari pendapatan lebih.
"Apa yang kita takut sekarang, lazimnya bila harga minyak naik, bahan-bahan makanan pun akan naik.
"Kita harap kerajaan ada mekanisme baru untuk mengelak harga makanan naik sebab seperti kelaziman pasti akan ada orang yang akan menangguk di air keruh,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

02 Jun 2008

DALAM KEGAWATAN EKONOMI ADA PENJAWAT AWAM YANG DAPAT KENAIKAN ELAUN. FIKIRKANLAH BERSAMA

By: Wan Mokhtar
on June 27, 2008 at 5:08 pm

Salam sejahtera,
Saudara/i sahabat KEPAK sekelian. Saya tertarik dengan satu Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 10/2008.
Dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang ini semua Kementerian/Jabatan dinasihat supaya berbelanja berhemah dan pihak Perbendaharaan akan mengeluarkan Waran Tarik Balik Perbelanjaan Mengurus sebanyak 10%. Para Menteri dan EXCO juga bersetuju memotong elaun mereka sebanyak 10%.
Dalam masa yang sama ada pula yang naik elaun. Agaknya golongan yang naik elaun ini adalah dari golongan yang “pecah Kepala” memikirkan cara untuk memulihkan ekonomi negara. Jadi itulah sebabnya dalam keadaan ekonomi sebegini diluluskan kenaikan elaun bagi mereka.
Bagi kita semua ini terutama Kumpulan Sokongan kalau nak tambah pendapatan bolehlah buka gerai “Pisang Goreng” depan halaman rumah atau jadi tauke VCD dekat pasar malam. Nak buka gerai depan rumah bagi penghuni di Putrajaya nampaknya Sorry lah kerana pihak Perbadanan Putrajaya tak boleh kompromi nanti kena saman. Kenalah cari jalan yang lain nak tambah pendapatan.
Kita PPT ini apa nak buat bagi tambah pendapatan. Kalau kawan-kawan ada cadangan boleh sama-sama kita kongsikan dalam blog kita ni. Mungkin tambah Cola kot? Yang tinggal Rumah Kerajaan bayarlah penuh Cola tu kerana ia tiada kaitan dengan Kuarters? Cola adalah bantuan sara hidup. Apakah yang tinggal di Kuarters sara hidupnya lebih baik? Boleh beli minyak dengan harga lama?
Marilah bersama kongsi pandangan dan bersama-sama kita renungkan.
Wassalam.