Berita Harian
Oleh Amir Hamzah Nordin
bhnews@bharian.com.my18/11/2008
Peperiksaan beri tekanan kepada kakitangan awam berusiaRAUB: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) bersetuju tindakan yang bakal diambil oleh Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk memboikot Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) jika ia tidak dimansuhkan tahun hadapan. Presidennya, Sabri Mohd Arsad, berkata PTK memang memberi tekanan kepada kakitangan awam terutama kepada golongan yang berusia dan mempunyai banyak pengalaman dalam bidang tugas masing-masing.
"Malah kakitangan awam ini (yang berusia) turut mendapat pengiktirafan cemerlang dalam tugas sebelum ini serta turut menunjukkan prestasi yang baik dan sentiasa berada di tahap tinggi. "Berbanding golongan muda yang hanya menunjukkan prestasi cemerlang di atas kertas peperiksaan dan selepas mendapat keputusan Aras 4 kedua-dua kertas maka mereka mendapat anjakan gaji," katanya. Katanya, cara itu tidak adil bagi golongan veteran yang mengakui tidak dapat memberi tumpuan dalam peperiksaan seterusnya menjejaskan mutu kerja masing-masing.
"Sebaliknya, golongan guru muda yang masih segar minda dan tidak melakukan banyak perkara di luar kelas dapat memberi tumpuan kepada peperiksaan untuk memperolehi keputusan cemerlang. "Keputusan itu membolehkan mereka mendapat tangga gaji yang lebih tinggi dan mungkin dapat merapatkan jurang gaji dengan golongan senior," katanya kepada Berita Harian. Sabri berpendapat PTK harus dimansuhkan bagi menjaga kekananan seseorang pegawai itu untuk terus bertugas dengan cemerlang dan berkualiti," katanya. Sementara itu, katanya tempoh perkhidmatan seseorang guru lulusan lepasan diploma pada gred DGA29, DGA32 dan DGA34 dan kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah turut dijaga kebajikan mereka.
"Ada guru lepasan diploma mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan sebelum menyahut seruan kerajaan melanjutkan pelajaran menjadi mangsa keadaan. "Mereka bukan sahaja menerima gaji yang rendah berbanding rakan seangkatan yang tidak melanjutkan pelajaran, malah terus ketinggalan dalam tawaran kenaikan pangkat dalam perkhidmatan," katanya. Menurutnya, guru lepasan diploma yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah menjadi golongan guru muda di gred DG41 dan terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapat gred DG44, dan sesetengahnya tidak sempat menerima tawaran kerana bersara. "Sebaliknya, guru yang tidak melanjutkan pelajaran terus mendapat pembelaan dari segi perjawatan dan menikmati gaji yang lebih tinggi," katanya. Sehubungan itu, Sabri mencadangkan semua guru yang melebihi 10 tahun perkhidmatan sebelum memiliki ijazah dinaikkan gred DG44 secara otomatik selepas disahkan dalam jawatan bagi mengelak berlaku perasaan tidak puas hati. "Jika ini tidak dilaksanakan, ia akan menjejaskan hasrat kementerian melahirkan lebih ramai guru sekolah rendah berijazah," katanya.