SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 November 2008

MINDA PENGARANG: KAKITANGAN AWAM PERLU LEBIH BERDEDIKASI SETIMPAL INSENTIF DIBERI

Berita Harian
29/11/2008



KAKITANGAN awam di negara ini sewajarnya bersyukur kerana kerajaan cukup prihatin terhadap nasib mereka. Sepanjang tahun ini saja, pelbagai insentif diberi kepada kira-kira 1.3 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara. Selepas pengumuman mengenai lanjutan usia persaraan daripada 56 kepada 58 tahun pertengahan tahun ini, elaun sara hidup (Cola) dan bonus turut diberi, selain kebenaran kepada kakitangan tertentu bekerja sambilan dalam kegawatan ekonomi sekarang. Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan empat lagi langkah memperkemaskan sektor awam yang sudah pastinya dialu-alukan. Jika sebelum ini, ramai kakitangan awam yang menyertai skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluh kerana tidak mendapat faedah sama seperti dinikmati kakitangan kerajaan yang memilih opsyen pencen, kini mereka boleh menarik nafas lega. Mulai awal tahun depan, kira-kira 40,000 kakitangan awam yang sebelum ini memilih skim KWSP boleh membuat pilihan semula sama ada kekal dalam skim KWSP atau pencen. Dengan pelaksanaan itu, kerajaan dijangka terpaksa membelanjakan tambahan sehingga RM20 juta setahun bagi memenuhi keperluan kakitangan untuk memilih skim pencen. Kerajaan turut memberi ex-gratia kepada ibu bapa anggota bujang yang meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan. Selain itu, kerajaan juga bersetuju menambahbaik skim bagi pegawai hingga pembantu siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) serta pegawai kanan hingga konstabel polis bagi memperkasakan kegiatan pencegahan rasuah dan jenayah. Turut menikmati insentif ialah pegawai dan anggota lain-lain pangkat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bakal menerima kenaikan gaji 20 peratus. Kita berharap sikap prihatin kerajaan ini mendapat sokongan penuh kakitangan awam untuk bekerja lebih dedikasi bagi memenuhi hasrat negara dan rakyat. Kita tidak mahu mendengar lagi rungutan kakitangan kerajaan mengenai gaji dan insentif yang diterima. Sepatutnya mereka perlu berterima kasih berbanding kakitangan swasta yang tiada siapa membela, kecuali majikan yang turut perhatian terhadap kebajikan pekerja. Nasib pekerja sektor swasta memang tidak menentu berbanding kakitangan kerajaan yang dijamin tidak akan kehilangan kerja ketika ekonomi meleset. Justeru, semua 1.3 juta kakitangan sektor awam di seluruh negara harus bermuhasabah diri bahawa mereka ditatang bagai 'anak emas' oleh kerajaan. Oleh itu, tahap profesional mereka perlu turut meningkat selaras imbuhan dan insentif diberikan. Mereka perlu bekerja lebih dedikasi dan rajin dengan mengamalkan slogan mesra rakyat. Kita juga berharap panggilan telefon ke jabatan kerajaan terus dijawab, begitu juga layanan baik di semua kaunter yang berurusan dengan orang ramai. Kita berharap sudah sampai masanya, Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menimbangkan semula tuntutan terhadap kerajaan, sebaliknya melihat kembali sumbangan dan tanggungjawab diamanahkan kepada ahli kesatuan. Jangan sampai rakyat marah dan meluat dengan segala tuntutan yang hanya menguntungkan satu pihak saja, sedangkan rakyat tidak mendapat perkhidmatan dan layanan sewajarnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ketika ini tidak ada satu perkhidmatan yang PERCUMA termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam Kerajaan. Kalau sebuah syarikat swasta, pegawai-pegawainya akan dibayar BONUS atau IMBUHAN setiap tahun sebagai penghargaan mereka mencurahkan perkhidmatan dan khidmat bagi menguntungkan syarikat. Tidak timbul apa karenah dan metaliti pekerja tersebut. Yang penting graf keuntungan naik pada setiap tahun.

Tetapi lain pula dalam kontek perkhidmatan awam yang bertugas di agensi Kerajaan. Setiap usaaha dan perkhidmatan akan tertumpu kepada perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam. kalau sesuatu itu baik dan jabatan itu memperolehi ISO atau Sijil Akreditasi atau Sijil Kualiti, dikatakan agensi kerajaan itu bagus dan perkhidmatan yang diberikan itu berkualiti. Semua orang akan menunjukkan 'thumbs up' terutama pegawai-pegawai atasan senanglah nak naik pangkat lagi.

Tetapi sebaliknya hasrat yang dirancang itu tidak menjadi lain pula ceritanya. Semua pihak akan menuding jari kepada perkhidmatan Kerajaan yang tidak cekap, pemalas atau cuai. Yang lebih menyayat hati dan mendukacitakan ada dikalangan pegawai-pegawai atasan seperti sudu lebih dari kuah dengan menuding jari kepada pegawai-pegawai bawahan keatas kesilapan yang berlaku. Pepatah inggeris ada mengatakan 'a good managers always admit the mistake rather than pointing to its staff'.

Sebagai seorang 'Manager' - mereka perlu memotivasikan pemikiran dan metaliti mereka dan bersedia untuk menerima sebarang teguran atau kritikan secara membina bukannya menangkis atau melenting apabila ada aduan yang diterima. Kesian penjawat bawahan kerana kesilapan bukan berpunca dari mereka tetapi sistem pengurusan yang tidak cekap menjurus kepada visi atau misi sesuatu jabatan yang tidak tepat. Apakah penjawat bawahan yang merancang untuk menetapkan visi dan visi? Pastinya adalah 'manager-manager' ini.

Kalau bergaji lumayan pastinya tanggongjawab juga perlu besar - bagaimana nak meningkatkan visi & misi sesuatu jabatan. Penjawat bawahan dahlah gaji tak seberapa dibebankan dengan pelbagai visi & misi jabatan yang tiada didalam tugas hakiki mereka. Kerja bertimpa-timpa disamping nak memikirkan lagi ISO atau Akreditasi jabatan dan bonus pun tak seberapa.

Nak dapat bonus? Ianya dianggap bukan satu hak tetapi atas belas ikhsan dan setiap tahun Cuepac terpaksa meminta-minta untuk dibayar kepada penjawat awam. Tak seperti di syarikat-syarikat swasta, walaupun sedikit pastinya bonus akan dibayar setiap tahun. Oleh sebab itu ada perbezaan mentaliti kerja diantara penjawat kerajaan dengan agensi swasta. Perkhidmatan mereka dihargai.

Apabila perkhidmat tip-top dan memuaskan, bayar bonus dan pujian kepada agensi terbabit. Pegawai atasan senyum kerana akan dinaikkan pangkat tetapi apabila berlaku kemorostan dalam perkhidmatan awam, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada penjawat awam seolah-olah kemerosotan itu mereka yang lakukan. Ada suara sumbang yang mencadangkan wajar bayaran bonus di tarik balik atau tak perlu bayar. Pemikiran yang sempit tanpa memikirkan impak yang bakal diterima itu seolah-olah mereka yang melemparkan tuduhan itu datangnya dari mereka yang lupa tentang sejarah yang lalu. Kekalahan BN untuk menubuhkan Kerajaan pada PRU12 sedikit sebanyak berpunca kepada 'bonus' yang tidak dijelaskan kepada 1.2 penjawat awam.

Selain dari 'manager' atau penjawat awam, pengguna juga perlu dipersalahkan didalam menerima perkhidmatan awam tersebut kerana pengguna ketika ini adalah matang dan apabila sesuatu perkhidmatan itu dibayar maka mereka berkehendakkan sesuatu yang jauh lebih baik dari sebelumnya semasa perkhidnmatan itu percuma. Semua pihak perlu memikirkan sesuatu yang baik untuk semua pihak tetapi lebih menyedihkan ada 'manager' yang langsung tidak mahu berubah dan masih mengamalkan budaya konvesional.

Soal bayaran bonus atau tidak bukan isu besar yang ditonjolkan setiap hari dan diperkatakan didalam media atau dari mulut Pegawai JPA sendiri. Bayaran bonus ini merupakan 'bayaran mengenang budi' yang dibayar kepada perkhidmatan penjawat bawahan ini. Apakah 'bayaran mengenang hudi' kepada penjawat bawah dianggap sebagai 'rasuah' dan 'bayaran mengenang budi' kepada 'manager' di atas sebagai cernderahati?

Jangan pertikaikan apa yang diberikan oleh Kerajaan kepada penjawat awam seperti kebenaran untuk kerja sampingan, caruman semula KWSP, perlanjutan persaraan usia 56 kepada 58 tahun ...... bla ... bla kalau dilihat secara ilmiah ianya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada penjawat awam di bawah tetapi lebih menguntungkan kerajaan didalam mengaut keuntungan daripada ganjaran-ganjaran yang bakal diperolehi dari setiap penjawat awam yang menabung. Apakah rasionalnya insentif-insentif ini diujudkan? jangan memperniagakan perkhidmatan awam semata-mata untuk mencari keuntungan dan melabelkan 'bonus' sebagai scapegoat.

Suara Cuepac - mereka hanya bersuara jika ada kepentingan dan agenda. Cuepac hanya dianggap sebagai boneka. Osman Omar perlu berlajar dari bawah 'isu bonus' perlu diperjuangkan bukan hanya sebagai permintaan setiap tahun tetapi sebagai bayaran wajib bagi menghargai jasa dan khidmat kakitangan awam. Penjawat awam bukan sebagai pengemis meminta 'bonus' pada setiap tahun.

Last Updated on Sunday, 30 November 2008 02:41
www.suarajohor.com