SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 November 2008

CUEPACS DIBIDAS BOIKOT PEPERIKSAAN PTK

Utusan Malaysia
20/11/2008

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kementerian Sumber Manusia membidas Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kerana mencadangkan ahli-ahlinya supaya memboikot peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, cadangan itu tidak wajar dikemukakan kerana ia menyekat peluang untuk kakitangan awam mendapat kenaikan pangkat.
''CUEPACS tidak boleh menasihati ahli-ahlinya memboikot peperiksaan PTK sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan mengenainya malah tindakan tersebut dikhuatiri menjejaskan masa depan kakitangan awam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dengan wakil Majlis Peguam, majikan dan kesatuan sekerja di sini hari ini.
Presiden CUEPACS, Omar Osman baru-baru ini berkata, pihaknya akan memboikot peperiksaan PTK jika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih meneruskan peperiksaan itu pada tahun hadapan.
Menurut Omar, proses kenaikan pangkat kakitangan awam yang dinilai mengikut prestasi dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan lebih berkesan berbanding kaedah peperiksaan yang digunakan sekarang.
Subramaniam menjelaskan, CUEPACS boleh terus menyuarakan pandangan mereka terhadap peperiksaan PTK dan pada masa yang sama kerajaan akan mendengar serta mempertimbangkan cadangan yang baik.
Beliau berkata, selama ini kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada pandangan yang diutarakan oleh CUEPACS dalam usaha kongres itu membela nasib ahli-ahlinya.
''Ia terbukti apabila golongan kakitangan awam menerima kenaikan gaji sebanyak 40 peratus pada tahun lalu hasil tuntutan yang dikemukakan oleh CUEPACS," katanya.
''Peratusan kenaikan gaji itu juga disifatkan sebagai tertinggi dalam sejarah untuk kumpulan kakitangan awam tertentu di negara ini," katanya.
Mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata, ia bertujuan membincangkan pencapaian kerajaan dalam menyelesaikan isu- isu berkaitan perusahaan seperti penamatan kerja dan pertikaian.
''Kementerian melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan telah berjaya menyelesaikan lebih 3,225 kes perusahaan pada tahun ini,'' katanya.

Tiada ulasan: