SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

05 November 2008

KERAJAAN TIDAK CADANG HENTI KAKITANGAN KONTRAK

Petikan Utusan Malaysia
5/11/2008
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk memberhentikan kakitangan kontrak di dalam perkhidmatan awam seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan menyedari bahawa pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan akan membawa kepada penjanaan peluang pekerjaan yang lembap dan juga pengangguran.
Sehubungan itu katanya, kerajaan mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah tersebut antaranya mewujudkan skim latihan siswazah menganggur dan mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kosong.
''Pada masa ini, kekosongan jawatan kritikal dalam sektor awam adalah 18,000. Kekosongan ini akan diisi secara kontrak, sementara menunggu proses pelantikan secara tetap," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, lebih 1,300 kakitangan telah dilantik secara kontrak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun ini bagi meningkatkan keupayaannya dalam melaksanakan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman baru-baru ini mendakwa 50,000 kakitangan awam kontrak akan ditamatkan perkhidmatan mereka menjelang akhir tahun ini berikutan kekangan kewangan kerajaan.
Najib juga berkata, kerajaan melalui syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad akan melancarkan S"Graduate Employability Management Scheme" (GEMS) yang didasarkan pada skim graduan terdahulu yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat GLC dengan jayanya.
''Kerajaan bercadang untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha GLC dalam menangani masalah graduan menganggur ini dengan mewujudkan satu program bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sebelum mereka diserap atau mendapat pekerjaan di syarikat GLC mahupun swasta," katanya.
Sasaran program itu katanya, adalah untuk melatih sehingga 12,000 graduan dalam jangkamasa dua tahun.
''Kerajaan yakin, program ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan penggunaan domestik di samping memberi pengalaman yang berharga kepada graduan terlibat," ujarnya.

Tiada ulasan: