SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 November 2008

CUEPACS: JANGAN MUDAH TERPEDAYA SKIM CEPAT KAYA

Utusan Malaysia
Oleh AU YEONG HOW
14/11/2008



KUALA LUMPUR 13 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengingatkan ahli-ahlinya agar jangan mudah terpedaya dengan taktik halus skim cepat kaya.
Presidennya, Omar Osman menegaskan, memandangkan ia adalah sesuatu yang serius, peringatan akan dibangkitkan pada Majlis Mesyuarat kesatuan itu yang berlangsung esok sehingga 15 November di Kota Kinabalu.
Katanya, skim cepat kaya itu antara lain menipu wang orang ramai dengan pujuk rayu menerusi Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
''Kami hendak seluruh jabatan dan kesatuan di peringkat negeri dapat menyampaikan mesej itu kepada ahli sekali gus mengelakkan mereka menjadi mangsa skim cepat kaya itu.
''Mana boleh kita mendapatkan pulangan yang begitu lumayan dalam masa yang singkat. Sekiranya kita menggunakan logik akal, kita akan sedar skim itu hanyalah satu helah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas surat pembaca bertajuk RM50 menjadi RM20,000? yang disiarkan di ruangan Forum Utusan Malaysia semalam. Pembaca yang hanya ingin dikenali sebagai Duda Buluh Kasap di sini mendedahkan skim piramid tersebut.
Katanya, Skim Mat Jenin itu hanya memerlukan seseorang melabur RM50 dan kemudian dijanjikan pendapatan lumayan RM20,000 selepas lima bulan. Akibatnya, katanya, hampir 4,000 pelabur yang kebanyakannya orang kampung berputih mata apabila 'kepala' skim cabut lari bersama duit mereka.
Sementara itu, Omar mengakui beliau pernah menerima SMS meminta nombor akaun banknya agar pihak yang tidak dikenali itu dapat memasukkan sejumlah RM30,000 kepadanya tetapi beliau mengabaikannya.
Malah, katanya, beliau turut menerima beberapa aduan daripada ahli-ahlinya tentang kewujudan SMS tersebut yang berlegar dan menggunakan modus operandi yang sama.
''Terbaru, dua bulan lepas, seorang ahli hampir menjadi mangsa setelah memberikan nombor akaunnya. Nasib baik, dia cepat-cepat menyuruh pihak bank membatalkan akaun banknya selepas menyedari sesuatu yang tidak kena," ujarnya.
Tegasnya, skim yang disangka cepat kaya itu hanya menyebabkan mangsa menjadi cepat bankrap dan pihaknya tidak dapat memberikan jumlah sebenar ahli-ahlinya yang menjadi mangsa skim cepat kaya itu setakat ini.

Tiada ulasan: