SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

17 November 2008

PTK TETAP DITERUSKAN

Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
17/11/2008



Kerajaan mahu Cuepacs berhenti buat ugutanKUALA LUMPUR: Kerajaan bertegas tidak akan memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang diperkenalkan kepada kakitangan awam sejak 2002, walaupun Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengancam memboikotnya jika ia terus dilaksanakan tahun depan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, menegaskan kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan Cuepacs untuk memansuhkan sepenuhnya PTK dan mahu kepemimpinan tertinggi kesatuan berkenaan berhenti membuat sebarang ugutan.
Katanya, tindakan Cuepacs yang mahu supaya semua kakitangan awam memboikot PTK jika ia tidak dimansuhkan mulai tahun depan adalah langkah yang tidak bijak kerana kerajaan sentiasa sedia membuka pintu rundingan bagi sebarang usaha memperbaiki sistem peperiksaan itu. "Keputusan Cuepacs berhubung PTK adalah langkah kurang bijak kerana kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa mahu menambah baik peperiksaan itu. Cuepacs sebelum ini beberapa kali sudah membangkitkan perkara ini dan kita juga sudah melakukan beberapa penambahbaikan. "Kita lakukan semua ini demi kebaikan anggota sektor awam. Kini sekali lagi mereka (Cuepacs) membangkitkan perkara yang sama dan ia sebenarnya bukan satu keputusan yang bijak," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Kelmarin, Cuepacs yang mewakili hampir 1.2 juta kakitangan awam mengancam untuk memboikot PTK jika kerajaan tidak memansuhkannya mulai tahun depan kerana mendakwa peperiksaan itu banyak memberi tekanan kepada anggota perkhidmatan awam. Presidennya, Omar Osman dilaporkan sebagai berkata, Cuepacs memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan sistem itu atau tidak. Dalam pada itu, laman web JPA berkata, PTK adalah satu daripada mekanisme yang penting dalam menentukan kemampuan pegawai perkhidmatan awam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sempurna. PTK yang antara lain bertujuan menilai prestasi kerja kakitangan awam termasuk menentukan kewajaran kenaikan pangkat, diperkenalkan pada 1 November 2002 menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002.
Ismail berkata, peperiksaan berkenaan tidak boleh dimansuhkan dengan sewenang-wenangnya kerana ia adalah elemen utama yang diperkenalkan bagi menilai prestasi kerja seseorang kakitangan awam. "Saya percaya semua organisasi sebenarnya mempunyai cara tertentu untuk menilai kerja setiap kakitangannya. Sebagai contoh, anda sebagai wartawan pun... saya pasti kerja anda juga dinilai oleh pengarang anda. "Begitu juga dalam perkhidmatan awam. Kita ada PTK untuk menilai prestasi kerja kakitangan awam," katanya. Ditanya jika pihaknya sedia untuk terus berbincang dengan Cuepacs berhubung isu PTK, Ismail berkata: "berapa kali kita mahu mengadakan perbincangan.... ini sudah menjadi cerita lama. Kita hanya boleh membuat penambahbaikan tetapi tidak akan memansuhkannya sama sekali," katanya.

Tiada ulasan: