SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

15 November 2008

CUEPACS: SERAP PEKERJA BERSTATUS KONTRAK

Utusan Malaysia
15/11/2008

KOTA KINABALU 14 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyerap kira-kira 50,000 pekerja di seluruh negara yang berkhidmat secara kontrak ke jawatan tetap menjelang 2010 .
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, langkah itu adil dan setimpal bagi membolehkan mereka turut mendapat kemudahan pencen apabila telah menamatkan perkhidmatan.
Beliau berkata, CUEPACS tidak mahu kakitangan kerajaan berstatus kontrak ini terus diamalkan dalam keadaan negara ini sudah pun 50 tahun merdeka dan isu ini akan dikemuka kepada kerajaan untuk dibincangkan.
"Kita juga tidak mahu melihat kakitangan berstatus kontrak ini, ada yang diberhentikan selepas 15 tahun atau lebih berkhidmat dalam sesuatu jawatan ekoran gagal ujian penilaian prestasi.
"Ini kerana satu punca pekerja-pekerja berstatus kontrak tidak memberi perkhidmatan yang terbaik ialah kerana menganggap mereka bukan kakitangan yang sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Perkhidmatan Kakitangan Awam dan Isu Semasa di Auditorium Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini hari ini.
Katanya, perkhidmatan di sektor awam tidak akan berkesan jika kerja secara kontrak masih diteruskan contohnya dengan menukar pekerja berpengalaman selama 10 tahun dengan kakitangan baru.
Menurutnya, CUEPACS mengambil berat masalah pekerja seperti ini lebih-lebih lagi mereka yang berumur melebihi 40 tahun kerana adalah sukar bagi mereka mendapat pekerjaan di tempat lain.
"Mereka mempunyai banyak tanggungan yang perlu dibayar seperti pinjaman perumahan, kereta, di samping perlu menanggung kos hidup keluarga masing-masing," katanya.
Lebih malang lagi, katanya, ada antara mereka yang sudah berkhidmat selama 20 tahun tetapi tidak mendapat kemudahan bukan sahaja pencen tetapi perubatan, sagu hati dan sebagainya.
"Di Jabatan Kemajuan Masyarakat sahaja ada 14,000 kakitangan bertaraf kontrak, manakala di Sarawak ada 4,000 pekerja kontrak yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun tetapi masih belum diserap ke jawatan tetap,'' katanya.
Beliau berkata, ada kakitangan bukan sahaja terdiri daripada mereka yang berjawatan rendah tetapi ada juga yang memegang jawatan bertaraf pegawai kanan sesuatu jabatan.

Tiada ulasan: