SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

25 November 2008

PENGURANGAN SIMPANAN PEKERJA MAMPU JANA PERTUMBUHAN

Berita Harian
Oleh Nik Azman Nik Abdul Majid
nikazman@epu.gov.my
25/11/2008



Ramai tak faham manfaat langkah KWSP kurangkan kadar caruman daripada 11 kepada 8 peratus PADA 4 November lalu, kerajaan mengumumkan bahawa pekerja yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberi pilihan mengurangkan kadar caruman daripada 11 peratus kepada lapan peratus secara sukarela. Pengurangan tiga mata peratusan ini dibuat sebagai langkah sementara, iaitu mulai Januari 2009 hingga akhir 2010. Ia adalah langkah untuk mengurangkan beban pekerja dengan menambah pendapatan boleh guna berikutan paras harga barang dan perkhidmatan yang tinggi. Namun, ramai yang mempertikaikan langkah ini. Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat bahawa langkah ini akan menjejaskan simpanan pencarum pada masa hadapan kerana jumlah caruman telah berkurangan. Ramai juga yang keliru apakah faedah sebenar langkah ini. Sehingga Oktober 2008, ada 12 juta ahli yang mencarum dengan KWSP dan daripada jumlah itu 5.6 juta adalah ahli aktif. Daripada jumlah ahli aktif, 4.6 juta atau 82 peratus berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah. Separuh daripada jumlah ini pula berpendapatan RM1,000 sebulan dan ke bawah. Lihat Jadual 1.
Jika pencarum memilih untuk mengurangkan kadar caruman, pendapatan boleh guna mereka akan bertambah. Umpamanya, bagi isi rumah yang berpendapatan RM750 sebulan, pendapatan boleh guna akan meningkat RM22.50 sebulan. Sementara itu, bagi isi rumah yang berpendapatan RM1,500 dan RM2,000 sebulan, pendapatan boleh guna akan bertambah masing-masing RM45 dan RM60 sebulan. Pertambahan pendapatan ini mungkin terlalu sedikit bagi sesetengah pihak. Apalah besar RM22.50 kepada mereka yang berpendapatan RM4,000 ke atas. Mahu beli separuh kek Secret Recipe pun tidak cukup, apa lagi belanja kawan di Starbucks! Namun, jumlah ini amat bermakna bagi golongan berpendapatan kecil. Sebenarnya, banyak barang keperluan yang boleh dibeli dengan wang tambahan ini, seperti di Jadual 2, 3 dan 4. Malah bagi mereka yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, jumlah ini amat bermakna. Sebenarnya dengan RM22.50, RM45 atau RM60, mereka boleh membeli pelbagai barang keperluan seperti beras, tepung, gula, telur dan minyak masak walaupun dengan kuantiti yang kecil.
Di samping itu, pengurangan tiga mata peratusan ini dijangka mampu menjana pertambahan pendapatan boleh guna kira-kira RM4.8 bilion setahun pada peringkat nasional jika semua pencarum memilih caruman lapan peratus. Sebaliknya, jika 50 peratus daripada pencarum memilih berbuat demikian, jumlah pertambahan pendapatan boleh guna ialah RM2.4 bilion. Pencarum dapat menggunakan wang itu dan secara tidak langsung membantu menjana pertumbuhan ekonomi. Sekiranya keseluruhan jumlah RM2.4 bilion ini dibelanjakan, ia akan menambah RM2.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kerana berlaku kebocoran sebanyak RM0.1 bilion seperti import makanan. Dari segi kesan keseluruhan, KDNK dijangka meningkat 0.25 mata peratusan daripada pertumbuhan asas. Kenaikan KDNK ini disumbang oleh peningkatan penggunaan swasta (0.62 mata peratusan) dan pelaburan swasta (0.42 mata peratusan). Pada masa yang sama, ia dapat mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan. Sebaliknya, jika pencarum memilih untuk mengekalkan kadar caruman mereka, aktiviti ekonomi tidak dapat ditingkatkan lagi seperti yang diharapkan. Dalam situasi sekarang, negara lebih terdedah kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Jika hal ini terjadi, sebilangan kecil pencarum boleh kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Pengurangan kadar caruman ini bukanlah wajib. Kerajaan hanya memberi pilihan. Bagi mereka yang memilih untuk mengekalkan kadar caruman, mereka cuma perlu mengisi borang yang boleh didapati di laman web KWSP. Borang itu kemudian dikemukakan kepada majikan masing-masing tanpa perlu berurusan dengan pihak KWSP. Bagaimanapun, sebelum membuat keputusan, berfikirlah dengan bijak. Pilihan ada di tangan anda. Andalah yang menentukan masa depan anda sendiri kerana anda mampu mengubahnya! Keputusan di tangan anda. Penulis ialah Pengarah Ekonomi Makro, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Beliau boleh dihubungi melalui email: nikazman@epu.gov.my

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bila nak upgrade skim juruteknik?