SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

18 November 2008

CUEPACS, JPA PERLU CARI PENYELESAIAN ISU PEPERIKSAAN PTK

Berita Harian
18/11/2008

KETIKA Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengancam memboikot peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), kerajaan pula tetap bertegas tidak akan memansuhkan peperiksaan yang diperkenalkan kepada kakitangan awam sejak 2002 itu. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, menegaskan kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan Cuepacs untuk memansuhkan sepenuhnya PTK dan mahu kepemimpinan tertinggi kesatuan berkenaan berhenti membuat sebarang ugutan. Presiden Cuepacs, Omar Osman yang mewakili hampir 1.2 juta kakitangan awam baru-baru ini memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan sistem itu atau tidak. PTK ialah komponen Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang antara lain bertujuan menilai prestasi kerja kakitangan awam, termasuk menentukan kewajaran kenaikan pangkat, diperkenalkan pada 1 November 2002. Oleh kerana kedua-dua pihak bertegas dengan pendirian masing-masing, adalah lebih elok Cuepacs dan JPA terus berunding bagi merungkai segala permasalahan. Dalam rundingan itu nanti, Cuepacs boleh menyuarakan mengapa PTK tidak perlu dengan memberi butiran terperinci atau bahagian mana dalam PTK yang dikatakan tidak sesuai, manakala JPA pula hendaklah memberi sebab dan alasan lebih lanjut mengapa PTK tidak boleh dimansuhkan. Kita berpendapat tindakan untuk memulaukan PTK tahun depan kurang bijak, kecualilah segala saluran untuk merungkai masalah itu menemui jalan buntu, tetapi Ismail kelmarin menegaskan kerajaan sentiasa sedia membuka pintu rundingan bagi sebarang usaha memperbaiki sistem peperiksaan itu. Sebenarnya, Cuepacs sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan perkara berkenaan dan pihak JPA juga sudah melakukan beberapa penambahbaikan demi kebaikan anggota sektor awam. Pihak JPA menyatakan PTK adalah satu daripada mekanisme yang penting dalam menentukan kemampuan pegawai perkhidmatan awam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sempurna serta menilai prestasi kerja seseorang kakitangan awam. Mungkin apa yang tidak disukai pihak kesatuan ialah berkaitan kandungan peperiksaan itu sendiri dan JPA mungkin perlu mengubahsuainya mengikut keperluan kerjaya seseorang kakitangan awam. Cuepacs mendakwa PTK wajar dimansuh kerana soalan disediakan tidak menjurus kepada kerja dilakukan kakitangan sehingga menyebabkan ramai gagal selain tiada jaminan kenaikan gaji dan pangkat walaupun selepas lulus PTK. Jika pekerjaan seseorang itu ialah juruteknik, soalan khusus sepatutnya hanya mengenai pekerjaan itu. Berdasarkan hakikat itu, keseluruhan PTK perlu dirombak untuk diubahsuai berdasarkan keperluan kerjaya seseorang kakitangan awam, yang sepatutnya tidak dibebankan dengan terpaksa membaca pekeliling tertentu semata-mata untuk lulus PTK atau mungkin ada sistem penilaian baru yang lebih komprehensif serta tidak membebankan kakitangan untuk menggantikan PTK. Semua ini perlu dibincang lanjut antara Cuepacs dan JPA.

Tiada ulasan: