SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

25 November 2008

HISHAMMUDDIN: PPSMI DAPAT DILAKSANA DENGAN BAIK

Utusan Malaysia
25/11/2008
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Kementerian Pelajaran yakin Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dapat dilaksanakan dengan baik walaupun sentiasa menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian mengambil kira pendapat semua terutama pakar dalam soal pendidikan dan berharap ia akan dapat digunakan bagi mencari mekanisme terbaik untuk menjayakannya.
"Tidak mudah untuk kita menghadapi tekanan ini (pelaksanaan PPSMI). Setelah satu kohort ini kita terus mencari cara untuk menyesuaikan keadaan itu kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Pelaksanaan Nilai-Nilai Murni Kebudayaan Tradisional Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hishammuddin diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru berhubung pelaksanaan PPSMI yang menerima pandangan berbeza daripada banyak pihak.
Mengenai tindakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memboikot Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) terhadap guru-guru jika ia tidak dimansuhkan tahun depan, Hishammuddin berkata, semua pihak perlu rasional mencari penyelesaian terhadap perkara itu.
Katanya, walaupun kementerian tiada kuasa untuk menetapkan sebarang keputusan mengenai PTK untuk guru-guru, ia sentiasa mengemukakan cadangan kepada pihak bertanggungjawab demi menjaga kebajikan guru-guru di seluruh negara.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Orang-orang Inggeris pernah dijajah oleh kuasa asing. Pada ketika itu mereka menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa ilmu. Orang-orang Inggeris meninggalkan bahasa Latin kerana ia bahasa penjajah dan ia tidak dapat membantu memperkasakan orang-orang Inggeris. Orang-orang Inggeris mula maju selepas mereka menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Di Malaysia agak pelik sedikit kerana ramai yang suka mengambil langkah mengundur ke belakang. Orang Melayu meninggalkan bahasa Melayu dalam mengajar sains dan matematik supaya kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris. Ada yang mengeluarkan hujah dangkal di mana PPSMI perlu kerana banyak sumber ilmu dalam bahasa Inggeris. Ini termasuklah buku-buku, jurnal-jurnal dan sebagainya. Idea sebegini amat ganjil kerana ia tidak menyentuh langsung tentang menterjemah buku-buku, artikel-artikel jurnal dan bahan-bahan lain yang berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Ada orang Melayu yang mempunyai kelebihan mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di samping sains dan matematik. Mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja menterjemah. Dimanakah pula galakan kepada cerdik pandai Melayu untuk menulis lebih banyak bahan ilmu dalam bahasa Melayu?