SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

15 November 2008

CUEPACS SABAH DIMINTA TINGKAT KUALITI KEPIMPINAN

Utusan Malaysia
15/11/2008

KOTA KINABALU 14 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Cawangan Sabah diminta meningkatkan kualiti kepimpinan bagi membolehkan menjadi sebuah badan yang benar-benar dapat membela nasib dan kebajikan ahli.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, badan tersebut perlu mencontohi keupayaan CUEPACS Pusat yang dilihat dapat menyuarakan hak-hak pekerja dalam sektor awam dengan berkesan.
"Saya berharap CUEPACS Sabah mengikut jejak langkah ini, walaupun saya sedar badan ini tidak pernah mengambil tindakan drastik terhadap kerajaan negeri, jabatan atau agensi-agensi tempat mereka berkhidmat.
"Ini adalah tugas mereka dan segala tuntutan serta tindakan yang diambil oleh CUEPACS terhadap kerajaan adalah demi kebaikan dan faedah ahli-ahlinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Bina Ummah Bagi Pemimpin CUEPACS dan Kesatuan Gabungan, di sini malam tadi.
Seminar tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Yayasan Dakwah Islamiah dan CUEPACS. Hadir sama, Presiden CUEPACS, Omar Osman dan Pengerusi CUEPACS Sabah, Pengiran Anak Pengiran Mubin.
Menurut Yahya, CUEPACS hari ini dihormati bukan sahaja di kalangan penjawat awam tetapi juga di kalangan peniaga, pengilang dan pelabur.
"Oleh itu, imej CUEPACS yang saya rasa pada tahap ini cukup membanggakan kerajaan dan ia perlu dipertahankan dan dipertingkatkan lagi.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa bekerjasama dan menghormati kesatuan-kesatuan sekerja," katanya.
Sementara itu, katanya, anggota sektor awam perlu terus meningkatkan lagi kualiti dan integriti perkhidmatan supaya dapat memenuhi harapan dan kehendak rakyat yang merupakan pelanggan kepada kerajaan.
"Rakyat kini sudah pandai menilai sumbangan dan perkhidmatan kita dan mereka mahu yang terbaik, cepat dan berkesan.
"Oleh itu, Kita perlu melakukan anjakan paradigma supaya selaras dengan hasrat kerajaan dan pucuk pimpinan negara yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam sebarang tindakannya," katanya.
Yahya berkata, Seminar Bina Ummah itu diharapkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja di kalangan pemimpin CUEPACS tetapi juga pemimpin kesatuan sekerja gabungan yang lain.
"Sudah tentu, jika kepimpinan sesuatu organisasi itu mantap, berkualiti dan berintegriti, maka hasilnya ialah ahli-ahli akan ikut serta dan sentiasa mengamalkan prinsip kepimpinan yang sama.
"Apa lagi mereka terdiri daripada anggota sektor awam, maka kesan kebaikan akan dirasai oleh anggota sektor awam dalam jabatan atau agensi di mana mereka berkhidmat termasuk juga di Sabah," katanya.
Tambahnya, pimpinan kesatuan sekerja turut diingatkan supaya sentiasa menyelesaikan sebarang isu berbangkit melalui perundingan.

Tiada ulasan: