SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

17 November 2008

GUNA KUASA PENGGUNA PAKSA PENIAGA TURUN BARANG

Utusan Malaysia
17/11/2008
KERAP benar kita bercakap tentang tindakan memboikot peniaga yang liat menurunkan harga barang. Biar pun tindakan itu wajar dilaksanakan, namun sehingga kini sukar untuk kita melihat sejauh mana pengguna bersedia memberikan kerjasama.
Hakikatnya, kedegilan peniaga menurunkan harga barangan keperluan adalah didorong oleh sikap pengguna itu sendiri.
Pengguna terus membayar harga yang ditetapkan dan jika ada pun rungutan hanya setelah barangan tersebut bertukar tangan. Sikap seumpama itu menyebabkan para peniaga bermaharajalela menetapkan harga sesedap rasa kerana mengetahui pengguna akan terus membeli.
Sebab itu harga barangan yang dinaikkan ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak berbulan-bulan lalu masih kekal hingga ke hari ini biar pun harga minyak telah diturunkan beberapa kali.
Logiknya para peniaga tidak akan menjual barangan keperluan dengan harga yang tinggi jika tiada pembeli yang sanggup membayar. Lebih daripada itu, ada pengguna yang langsung tidak menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk membuat perbandingan harga dan menganggap semua barangan dijual pada harga yang sama.
Begitu juga tidak ramai pengguna yang bersedia untuk memboikot para peniaga dengan alasan barangan yang dibeli adalah keperluan asas.
Kata mereka jika tindakan memboikot peniaga dilaksanakan, apa pula yang pengguna hendak makan atau pakai.
Sebab itu apabila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ingin menganjurkan perhimpunan memboikot para peniaga yang degil, satu perkara yang mesti diberi perhatian ialah memastikan cadangan tersebut mendapat sambutan.
CUEPACS, persatuan pengguna dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sepakat untuk melancarkan tindakan pemboikotan harus tahu bahawa tugas tersebut tidak mudah.
Tugas 'mengajar' golongan peniaga tamak tidak akan berjaya hanya dengan menganjurkan perhimpunan dan melaungkan desakan supaya harga barangan keperluan diturunkan pada kadar munasabah.
Paling penting ialah memastikan pengguna di negara ini yang sebahagian besarnya merupakan ahli CUEPACS tahu akan peranan serta tanggungjawab mereka. Bukan setakat itu mereka juga mesti menggunakan kuasa pengguna sepenuhnya dan bukannya menyerahkan leher untuk disembelih oleh peniaga yang mengambil kesempatan daripada sikap pengguna itu sendiri.
Pengguna mesti disedarkan bahawa hanya mereka yang mempunyai kuasa untuk memastikan para peniaga menurunkan harga barangan keperluan.
Oleh itu, perhimpunan untuk memboikot para peniaga bulan depan mesti dijadikan titik kesedaran di kalangan pengguna di negara ini untuk menjadi lebih bijak menggunakan kuasa yang ada pada mereka.
Tidak ada gunanya jika kerajaan bersungguh- sungguh ingin meringankan beban rakyat tetapi rakyat sendiri membiarkan hak mereka diperlekehkan oleh peniaga tamak.

1 ulasan:

konfius dot com berkata...

Saya ada buat kajian lebih 300 barang2 di Tesco, Mydin, Giant dan 99 Speedmart. Takde kesempatan lagi untuk Carrefour. List tu belum complete. Tapi saya ada buat summary list membandingkan semua harga barang untuk lebih 20 barang dan dapat berjimat RM40 untuk 20 barang. List barang2 tu boleh download kat http://www.konfius.com
Sebenarnya list ni utk mak saya dan saya harap dapat update list ni setiap minggu walaupun dalam kesibukan bekerja di universiti malaya.