SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

25 November 2008

GURU DIMINTA RASIONAL ISU PTK

Berita Harian
25/11/2008


BANGI: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berharap golongan guru bersikap rasional dalam isu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan tidak sekadar membantah pelaksanaan tanpa sebarang cadangan penyelesaian. Tanpa PTK, beliau berkata, suatu mekanisme lain diperlukan untuk membuat penapisan dan penilaian terhadap kira-kira 380,000 guru di seluruh negara bagi menentukan peluang peningkatan dalam kerjaya mereka. “Sekiranya membantah semata-mata, tidak mencukupi dan tiada sebarang makna, ia mesti dengan alasan kukuh serta cadangan membina.
“Isu PTK ini setiap tahun bermusim akan berbangkit. Justeru, ia bukan satu perkara yang mengejutkan tetapi saya berharap semua (guru) bersikap rasional, bagaimana kita hendak mencari jalan penyelesaian kepada satu jumlah guru yang begitu besar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Nilai Murni Budaya Tradisional di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, semalam. Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengancam memboikot peperiksaan PTK yang didakwa banyak memberi tekanan kepada kakitangan awam, jika ia tidak dimansuhkan tahun depan. Hishammuddin berkata, bukan bidang kuasa beliau untuk membuat keputusan berhubung peperiksaan PTK bagi guru, tetapi pandangan golongan itu sentiasa diambil kira.
Mengenai undangan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Koichiro Matsuura, menghadiri mesyuarat Pendidikan Untuk Semua (EFA) di Oslo, Norway, bulan depan, beliau yang juga Ahli Lembaga Eksekutif Unesco berkata, perbincangan itu penting bagi menghadapi bersama keadaan dunia yang dilanda pelbagai cabaran global kini. “Organisasi antarabangsa mesti bergabung kerana tidak mungkin negara tertentu mampu menanganinya secara persendirian,” katanya. Hishammuddin berkata, isu dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan dibawa untuk perbincangan dalam Umno dan juga Barisan Nasional (BN) bagi mendapat pertimbangan politik. Selain itu, katanya, beliau juga mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Awal Penggal yang meliputi pelbagai isu berkaitan sesi persekolahan seperti penjadualan, beg berat dan yuran, petang semalam.

Tiada ulasan: